Bolehkah akademia pacu Malaysia Madani?

Bolehkah akademia pacu Malaysia Madani?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMA Hari Akademia yang jatuh pada 5 Oktober lalu agak janggal bunyinya, Akademia Pemacu Malaysia Madani. Amat berbeza dengan dekad-dekad lalu yang berkisar kepada hal-hal kecil sahaja – kebolehpasaran, teknologi terbaharu, penerbitan berwasit, penarafan itu dan ini dan sebagainya.

Seolah-olah itulah dunia akademik hakiki. Diberi sasaran untuk dicapai, lazimnya tidak manusiawi, lebih ekonomi yang terpencil dan rakus diwarnai dengan istilah dan teori modal insan!

Yang boleh diukur sahaja diambil kira. Yang tidak, disepak ke tepi. Tidak dipeduli pun. Malah dianggap merugikan!

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang digembar-gemburkan adalah penjajahan minda yang dipaksakan melalui aktiviti penarafan komersial seperti QS dan THE. Sekali gus hati nurani pendidikan kontang. Pendidikan tanpa roh, tanpa adab dan budi. Tidak madani!

Kerana pendidikan bertukar menjadi ‘mahal-dah-ni.’ Tidak mampu dibiayai, hutang sekeliling pinggang, walaupun kedudukan QS dan THE ‘membanggakan.’ Mendabik dada dalam kepalsuan dan penipuan terang-terangan! Pihak berwibawa pun pejam mata selama ini melainkan kebelakangan ini, baharu tengadah selepas kepala terhantuk berpuluh kali. Benjol di sana sini.

Umumnya disengajakan kerana tiada ukuran mutlak seperti mana harta benda ekonomi. Maka lahir mereka yang berijazah tetapi tanpa ilmu dan amal. Berpelajaran tetapi tidak terlentur dari segi moral dan etika. Buli, menghisap vape bersalut nikotin, keganasan seks, kebiadaban – semua terus berleluasa dalam pembentukan modal insan bukan insan sejahtera seperti tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang jarang sekali terungkap semenjak lebih 30 tahun lalu. Celaka sungguh!

Jikalau akademia kita dirundung kecelakaan sebegitu rupa, maka agak mustahil ia mampu memacu peradaban tinggi yang memukau jiwa sejahtera mengikut adunan fitrah manusiawinya.

Bergelar ‘asli digital,’ bukan ‘asli spiritual.’

Maka terbit soalan perdana – di mana letaknya akademia kita? Apatah lagi sebagai pemacu madani. Madani siapa? QS dan THE? Itu sudah banyak. Saban tahun meningkat belaka asalkan diberi pelincir berjuta ringgit.

Satu bentuk scammer akademik yang telah halal dan galakan sebagai kejayaan berkelas dunia, konon tafsiran mereka, petualang akademik yang disanjung tinggi. Sekali gus songsang daripada inti pati dunia ilmiah tulen sejak turun temurun sebelum dirobekkan petualang durjana bagi gelora nafsunya!

Akademia kini sujud di kaki mereka tanpa banyak bicara. Patuh dan taat mengkhianati hakikat berilmu tinggi yang manusiawi sifatnya. Bukannya industri dan teknologi tiada terperi yang mempermodalkan insan dan Ilahi. Tatkala madani boleh dijual beli!

LIMA PAKSI UTAMA

Jadi, madani apa yang hendak dipacu? Atau ke mana hala hendak dituju? Yang konvensional dan kaku? Untuk itu, perlu didekati semula makna akademia. Lima antaranya seperti berikut:

(a) Penyatuan ilmu – Yakni mengakui bahawa ilmu itu datang dari satu sumber, kemudian dicerai-beraikan untuk tujuan kefahaman khususnya yang lebih mendalam. Hatta gambaran yang sering dilakarkan adalah suatu pepohon yang mempunyai pelbagai dahan dan ranting sebagai pecahan ilmu khusus yang kait-mengait antara satu sama lain.

Lantas penceraian ilmu bukanlah mutlak tetapi hanya sementara untuk perincian bagi membolehkan ilmu diamalkan dalam konteks kesatuan yang harmonis dan seimbang. Ini mirip kepada kefahaman pendidikan lestari yang begitu lama berakar umbi. Namun, terabai apabila nilai manusiawi serta alam sekitar dianggap tidak penting kerana tidak tahu bagaimana hendak dicantum dan dikaitkan semula bagi mendapatkan rohnya kembali.

Lantas, akademia menjadi lumpuh dan sempit olahan dakyah neoliberalisme modal insan. Akademia dijadikan kilang modal insan untuk pasaran memenuhi keperluan ekonomi semata-mata melalui pelbagai istilah seperti perindustrian, teknologi tinggi, Revolusi Industri 4.0; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan lain-lain lagi. Tanpa manusiawi.

(b) Aspek beramal dengan ilmu yang ada – Yakni manfaat ilmu berkenaan mempunyai sasaran tertentu khususnya buat masyarakat tidak terbela, menepati tujuan pendidikan pembina sebuah negara yang adil lagi saksama.

Bukan masyarakat pincang atau lompang. Dengan kata lain, limpahan ilmu dari dunia akademia ke pangkuan masyarakat adalah gerak kerja utama dalam menaikkan taraf dan maruah melalui perkongsian ilmu tulen.

Hal ini kurang ditekankan melainkan tertumpu kepada industri dan pasaran pekerjaan yang sempit. Maka apabila akademia meningkat maju, masyarakat terus tercicir jauh ke belakang. Ternyata minda masih terjajah kerana dunia akademia terbelenggu.

(c) Kemerdekaan masyarakat dalam erti sebenar – Umum tidak lagi bergantung kepada mana-mana pihak untuk kebajikannya. Baik kerajaan sekalipun. Bermaksud ia mampu berdikari dalam memupuk kerjasama sesama mereka menggunakan limpahan ilmu yang diperkongsikan dunia akademia seperti dalam (b) mengikut kerangka kesatuan ilmu (a).

(d) Bersangkut rapat dengan penyelidikan dan inovasi yang bertanggungjawab (PIB).

Istilah ‘bertanggungjawab’ ditambah sebagai peringatan akan perlunya kerjasama erat antara akademia dengan sesiapa sahaja yang turut serta melangsungkan PIB.

Apatah lagi selaku penerima manfaat PIB yang dirancang teliti. Pendek kata, usaha yang dilakukan teratur merangkumi aspek (a) hingga (c) sebagai pendekatan melaksanakan PIB dari mula sampai selesai.

Bukan setakat membolot manfaat akademia umpama penerbitan, pasaran atau perundingan tanpa menekan agihan hak kepada masyarakat secara langsung.

Aspek terakhir,

(e) Kolaborasi atau libatsama dari semua peringkat dan lapisan masyarakat. Baik individu mahupun organisasi di negara ini, serantau atau global, ia mesti adil serta seimbang lagi sejahtera dalam pelaksanaan menyeluruh.

Bukan hanya keuntungan kebendaan, tetapi turut menegakkan nilai budaya beretika mencakupi ummah serta kemanusiaan sejagat, rahmatan lil alamin.

Dengan tegaknya lima paksi ini, baharulah terjawab soalan yang dikemukakan dalam judul di atas. Dunia akademia sudah lama berganjak. Tidak lagi konvensional! – UTUSAN

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini