Bantuan khas batik pacu patriotisme, jana pendapatan rakyat

Bantuan khas batik pacu patriotisme, jana pendapatan rakyat

SEMUA pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai batik pada setiap Khamis sebagai memanifestasikan semangat patriotik dalam kalangan penjawat awam dan sokongan mampan kepada industri batik tempatan. – UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun setiap kali tiba tarikh 3 Disember, negara meraikan sambutan Hari Batik Malaysia. Pengisytiharannya diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Disember 2021. Malah, pelancaran logo batik Malaysia pada sambutan kali kedua dilaksanakan untuk membantu rakyat membeli batik Malaysia yang asli, sekali gus membantu mengekang penjualan batik Malaysia palsu. Aplikasi Craft on the go boleh dimuat turun sebagai sumber rujukan sahih bagi memastikan keaslian batik Malaysia.

Selain melihat kesinambungan penggunaan aplikasi tersebut, pembeli juga perlu cakna Malaysia mempunyai lima jenis asas batik yang asli, iaitu batik canting, batik terap, batik sutera, batik sarung dan batik alternatif. Pembeli perlu memerhatikan perbezaan warna antara bahagian luar dan dalam bagi mengenal pasti batik Malaysia. Batik Malaysia mempunyai warna yang sama dan terang di bahagian luar dan dalam, bukan batik Malaysia pula mempunyai perbezaan warna ketara iaitu di bahagian dalam lebih pudar dari luar.

Seiring hala tuju Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), iaitu Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat, agensi kerajaan ini berjaya mencapai satu memorandum persefahaman di antara beberapa pemain industri utama, iaitu Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Persatuan Pengendalian Syarikat Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk membudayakan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan jemaah umrah mengikut kesesuaian pakej yang bakal dilaksanakan dalam jangkaan musim cuti sekolah November dan Disember tahun ini. Jemaah umrah Malaysia bakal menjadi duta kecil dalam memperagakan batik Malaysia di persada antarabangsa.

Malah, aktiviti-aktiviti pemerkasaan celik batik Malaysia berlangsung dengan gemilangnya apabila Program Malaysia Membatik berjaya melakar sejarah dalam The Malaysia Book of Records sempena Acara Mewarna Batik Teramai ketika sambutan Hari Batik Malaysia 2022. Sementara itu, aktiviti-aktiviti seperti Eksplorasi Kraf, Ekspresi Kraf Batik, Jualan Produk Kraf Batik, Pameran Kraf, Pameran Institut Kraf Negara (IKN), Craftganza, Zumbatik, demonstrasi serta interaktif kraf dan persembahan kesenian berlangsung secara serentak di seluruh cawangan Kraftangan Malaysia.

Sejak 1985, pemakaian batik oleh pegawai perkhidmatan awam telah dilaksanakan. Namun, pada tarikh keramat 21 Ogos 2023, peraturan baharu dinyatakan dalam surat edaran Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan berkuat kuasa yang mana mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam memakai batik pada setiap Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain sebagai memanifestasikan semangat patriotik dalam kalangan penjawat awam dan sokongan mampan kepada industri batik Malaysia.

Sejajar dengan usaha menjunjung martabat batik Malaysia, kami merasakan satu inisiatif proaktif untuk mengasuh minda masyarakat membudayakan penggunaan batik Malaysia ialah melalui pemberian bantuan. Skop kecilnya terdapat beberapa langkah yang wajar diambil oleh kerajaan.

COVID-19

Pertama, kami mencadangkan program pelepasan cukai batik Malaysia juga wajar dilaksanakan seperti mana pernah dilaksanakan ketika wabak pandemik Covid-19 mulai reda. Kerajaan ketika itu mengambil langkah memberi pelepasan cukai pelancongan sebanyak RM1,000 (terhad) untuk individu dalam memulihkan industri pelancongan setelah mengalami kerugian amat besar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, pelepasan cukai untuk jenis potongan individu pada taksiran tahunan wajar dilaksanakan setiap tahun dalam konteks gaya hidup – pelepasan tambahan kegunaan/manfaat diri sendiri, suami/isteri atau anak sementelahan pula apabila telah dikuat kuasa kewajipan memakai batik Malaysia kepada seluruh 1.7 juta penjawat awam.

Kita harus melihat batik Malaysia boleh diterapkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah juga kerana melalui pengalaman kami yang bersekolah harian sekitar 1990-an tidak pernah merasa memakai ‘pakaian rasmi batik’ ketika waktu perdana persekolahan melainkan hanya memandang pada pemakaian batik oleh pelajar sekolah berasrama.

Kedua, kami merasakan sudah sampai masanya pemakaian batik Malaysia dipraktikkan di sekolah-sekolah. Malah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja pemakaian batik kepada setiap pelajar sekolah pilihan. Di peringkat usia kanak-kanak, proses kognitif mereka sangat aktif berkembang maka wajar kita terapkan amalan pemakaian batik untuk memupuk semangat patriotik. Kanak-kanak umpama rebung yang mudah dilentur dan diasuh mindanya.

Ketiga, kami ingin menyampaikan hasrat rakyat marhaen berkaitan bantuan khas e-dompet batik sekiranya benar-benar ingin meningkatkan penjualan batik Malaysia yang konsisten sekali gus menanam semangat patriotik. Setakat hari ini, sebanyak 815 pengusaha telah berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dan ini memberi gambaran jaminan bahawa bekalan batik Malaysia mampu memenuhi permintaan pasaran secara lokaliti. Teori ekonomi menghuraikan konsep penawaran dan permintaan merupakan konsep sama antara satu sama lain. Penawaran boleh didefinisikan sebagai bilangan barang yang tersedia untuk dibeli pengguna manakala permintaan adalah keperluan pengguna terhadap barang tersebut. Seiring teori ini, permintaan di pasaran akan meningkat apabila kuasa pembelian digandakan. Oleh itu, kami merasakan wajar cadangan bantuan khas e-dompet batik Malaysia kepada rakyat dalam mendukung semangat konsep Malaysia Madani yang memberi impak maksimum kepada pembekal dan pengguna sekali gus menjana ekonomi rakyat dan negara.

Akhir kata, kami mengharapkan usaha-usaha dicadangkan iaitu program pelepasan cukai batik Malaysia, pemakaian batik Malaysia dipraktikkan di sekolah-sekolah, dan bantuan khas e-dompet batik Malaysia akan dapat membantu rakyat dan industri kraf batik tempatan. Usaha ini sekali gus akan dapat meningkatkan pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan memperkukuhkan rangkaian pengeluaran industri tempatan negara yang mana mempunyai serampang dua mata.

Peningkatan penggunaan produk batik daripada rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa sekali gus dapat menjana kesan pengganda ekonomi di mana ia akan meningkatkan pendapatan industri kecil dan sederhana yang terlibat dengan industri kraf batik tempatan, seterusnya memberi peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat serta meningkatkan sosioekonomi mereka. Ini sekali gus dapat memaksimumkan pendapatan negara bilamana rakyat mempunyai kuasa beli tinggi serta membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi mampan.

Secara tidak langsung, rakyat dari segenap lapisan masyarakat juga akan dapat membudayakan penggunaan batik Malaysia sebagai warisan sepanjang zaman dan tidak terhad sebagai pemakaian rasmi semata-mata. Semangat patriotik rakyat kepada negara sekali gus akan dapat direalisasikan melalui pemakaian batik tempatan. – UTUSAN

KEDUA-DUA penulis ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Kampus Alor Gajah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN