Undilah kerana percaya, bukan terpedaya

Undilah kerana percaya, bukan terpedaya

PARA pengundi dalam PRK di Johor dan Pahang tidak lama lagi diharap sudah membuat ketetapan tersendiri terhadap siapa dan parti mana mahu dipilih. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBARISAN sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos lalu cukup meriah dan menarik. Menampilkan kegagahan, ketangkasan dan semangat juang tinggi dalam mengekalkan kedaulatan ibu pertiwi. Manifestasi umumnya ialah Malaysia tetap makmur dan gemilang serta sentiasa disayangi rakyat.

Kesalnya, jika ada pihak yang sengaja mencetuskan jiwa kontra dengan damai hati mensyukuri nikmat merdeka. Malaysia yang indah permai ini tidak wajar dikotori dengan sebarang anasir negatif sehingga menimbulkan rasa resah dan yang boleh mencuit emosi rakyat.

Sejak sekian lama, kestabilan negara dibina atas semangat saling menerima, menghargai dan menghormati segala yang sudah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan. Ditambah pula dengan pendekatan pemerintahan yang tidak mengetepikan semangat konsensus, bersederhana, inklusif dan adil saksama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harmoni terusik apabila ada slogan perjuangan yang tidak menepati asas struktur kenegaraan sudah dipersetujui cuba dimainkan. Juga, kurang selesa jika ada unsur cuba meraih keuntungan politik (political mileage) melalui retorik agama dan sikap yang mirip kepada mengutamakan wilayah atau kedaerahan. Sepatutnya demi kestabilan, semua pihak perlu setia dan sedia membantu mencari apa jua perancangan dan tindakan terbaik demi kepentingan rakyat dan negara.

Tidak habis-habis dengan cerita memburuk-burukkan di sana sini. Sehinggakan negeri-negeri seperti Pahang dan Johor yang sudah selesa di bawah pemerintahan sedia ada turut cuba diganggu, dirobek semata-mata untuk melunas marah dan geram peribadi atau puak yang ‘kecewa.’ Nampak sangat pihak-pihak dimaksudkan ini cuba mengambil peluang mengharapkan sesuatu yang boleh memberi ‘moral’ kepada mereka berikutan akan berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) di kedua-dua negeri itu dalam sehari, dua ini.

Apa pun, para pengundi di tempat-tempat terbabit diharap sudah membuat ketetapan tersendiri terhadap siapa dan parti mana mahu dipilih. Mereka tentu mengambil kira prestasi pemerintahan negeri, sekali gus menghantar isyarat mahukan politik negara sentiasa aman dan stabil. Rakyat atau pengundi sebenarnya berperanan besar dalam mencorak landskap politik negara yang boleh menepati keperluan mereka.

Berapa banyak ruginya masa dan tenaga melayani karenah politiking yang tidak berkesudahan? Sedangkan negara perlukan suasana yang mendamaikan untuk menjurus tumpuan kepada tadbir urus yang lancar dan berkesan. Dunia diancam pelbagai unsur yang menggugat keamanan dan kestabilan. Ini termasuk aspek politik, kesejahteraan sosial, keselamatan dan perubahan iklim yang tidak menentu.

TERHORMAT

Malaysia perlu kukuh dan stabil pemerintahannya. Kestabilan kunci kemajuan, pembangunan dan kedaulatan. Kestabilan membuatkan pihak luar menghormati negara. Dan kestabilan menggamit pelaburan luar boleh mengembangkan pendapatan dan ekonomi negara selain rakyat berpeluang mendapat pekerjaan yang sesuai. Sokongan padu semua pihak memudahkan kerajaan melaksanakan usaha meningkatkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Agenda membangun dan mempertahankan kedaulatan negara tidak semurah melayani karenah kalangan yang sudah tidak tersenarai dalam mana-mana parti politik ‘secara terhormat.’ Justeru, rakyat atau pengundi di PRK Pahang dan Johor khususnya, tidak perlu terikut atau terpedaya dengan cemuhan tidak bertepi, kritikan tidak terhenti dalam kalangan individu atau puak yang dimaksudkan.

Dunia politik di Malaysia bukan baharu. Sudah 66 tahun merdeka, dan sudah sedemikian lama juga rakyat mengenali rentak dan gaya politik baik atas nama ‘orang’ atau parti. Orang politik yang hanya tahu mengkritik dan mengatakan pihak lain serba tidak kena secara berpanjangan selalunya diibaratkan sebagai kokok berderai-derai sedangkan ekornya berbau.

Pun, rakyat sepatutnya sudah masak dengan sikap ‘terdesak’ sesetengah pihak sehingga sanggup menjalankan kempen politik dengan ‘menjual’ hukum halal haram membabitkan agama. Islam itu agama suci.

Islam bukan milik mana-mana parti politik. Orang yang mulia di sisi Islam adalah mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Dan menurut Islam, golongan yang berfikiran sihat sentiasa mementingkan kesejahteraan akhirat tanpa mengetepikan aspek keselamatan dan kedamaian hidup di dunia.

Tentu umat Islam menerima baik teguran Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad supaya bertertib dalam tutur kata bagi mengelak perpecahan. Katanya, berpolitik bukan semestinya mengeluarkan kata-kata, tuduh menuduh yang boleh mencetus permusuhan sesama sendiri. Beliau menyarankan agar berpolitik perlu menyelusuri landasan ‘siasah’ yang menjuruskan kepada pembangunan dan kemajuan negara serta rakyat.

Ya, kalau pun keterlaluan mahu menagih sokongan pengundi, bawalah tawaran-tawaran munasabah yang boleh melegakan rakyat. Seperti sering disebut, mengkritik biar membina, menegur biar bertempat, bertutur biar ada adab dan susilanya. Menarik untuk dinilai satu lagi sudut peringatan Mufti Kelantan itu, iaitu berpolitik jangan sampai umat Islam menjadi lemah, mundur dan ketinggalan.

Jangan remehkan mana-mana proses pilihan raya. Segala keputusan pilihan raya boleh memberi imej dan cerminan tersendiri terhadap sesebuah parti yang bertanding. Apatah lagi jika membabitkan parti atau komponen yang menerajui kerajaan baik di peringkat negeri atau Persekutuan. Sebaiknya, elak daripada merugikan masa, tenaga, fikiran dan peluang yang ada.

Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebelum buat pilihan, fikir-fikirlah hasilnya. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×