PELBAGAI reaksi rakyat Malaysia ekoran penerbitan Peta Baharu China 2023 beberapa hari lalu. Ada pihak berasa takut dan gementar kerana China sebagai kuasa besar mendakwa sebahagian perairan Malaysia yang dikategori sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) adalah milik mereka.
Terdapat jua kumpulan rakyat membuat tafsiran, apa terkandung dalam peta tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana dakwaan itu terutama berkait dengan sembilan garisan putus-putus sememangnya sudah berdekad wujud atau lebih tepat lagi pada 1947.
Tetapi ada juga kumpulan rakyat kita yang menilai terbitan peta 2023 itu sebagai lucu kerana sebelum ini, garis putus-putus itu berjumlah sembilan tapi kini sudah menjadi 10 merangkumi Taiwan.
Hakikatnya juga, ada masyarakat antarabangsa menggelar tuntutan garis putus-putus itu sebagai lidah lembu bukan sahaja kerana bentuknya menyerupai lidah haiwan berkenaan tetapi juga kerana kedudukan sebenar garis tersebut sukar ditentukan dengan tepat.
Mungkin nampak pelik tetapi hakikatnya rakyat yang tidak terkejut dan mentafsirkan pertambahan garis putus-putus sebagai peristiwa melucukan dianggap masyarakat peka dengan apa yang tercetus di Laut China Selatan. Kumpulan yang gempar pula dianggap tidak prihatin hal geopolitik perairan sensitif itu dan mendesak kerajaan membantah sekeras-kerasnya tindakan Beijing ini sehingga ada yang mencadangkan supaya isu ini dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) seperti mana kes Batu Puteh dengan Singapura serta Sipadan dan Ligitan bersabit dengan Indonesia.
Walaupun sembilan garis putus-putus ini sudah wujud sejak 1940-an lagi tetapi negara-negara pesisir terbabit seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Vietnam dan Filipina tidak begitu ambil peduli kerana tuntutan China itu begitu kabur sekali. Tetapi apabila Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) diwujudkan pada 1982 yang memperkenalkan konsep ZEE negara pesisir, maka tuntutan garis putus-putus China ini mula mendatangkan masalah. Tambahan pula apabila kelebihan kekuatan tentera China digunakan untuk menguatkan tuntutan Beijing.
Mungkin jua kumpulan yang berasa gempar dan menuntut supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Beijing tidak tahu bahawa Malaysia dan Vietnam adalah antara dua negara pertama yang mencabar tuntutan Beijing ini melalui mekanisme perundangan antarabangsa.
Ini kerana pada 6 Mei 2009, kedua-dua negara ini secara bersama memfailkan maklumat had sempadan ZEE masing-masing kepada Suruhanjaya Batas Pelantar Benua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu selaras peruntukan UNCLOS kerana Malaysia dan Vietnam sebagai ahli perjanjian antarabangsa ini masing-masing telah meratifikasikan perjanjian UNCLOS pada 1996 dan 1994.
Beijing yang juga ahli UNCLOS membantah tindakan Kuala Lumpur dan Hanoi dengan menyertakan peta mengandungi sembilan garis putus-putus sebagai hujah bantahan mereka tetapi tidak pula dinyatakan peruntukan perundangan mana digunakan.
NELAYAN
Manila pula mengambil maklum tindakan Malaysia dan Vietnam dengan meletak kaveat bahawa beberapa kawasan di Pulau Borneo masih dalam pertikaian walaupun isu ini tiada kena mengena dengan pemakluman Malaysia kepada Suruhanjaya Batas Pelantar Benua. Jakarta pula tidak membantah tetapi dalam masa sama mempersoalkan tuntutan garis putus-putus China.
Lebih menarik lagi apabila Manila membuat aduan kepada ICJ dan pada 2016, hakim mahkamah tersebut membuat keputusan Beijing tidak mempunyai asas perundangan dalam tuntutan sembilan garis putus-putus berkenaan. Maksudnya, tuntutan Beijing menggunakan dalil sejarah lampau tidak diiktiraf oleh perundangan antarabangsa termasuk UNCLOS.
Sehingga Kod Tatacara (CoC) Laut China Selatan yang pada ketika ini masih lagi dalam peringkat perbincangan di antara ASEAN dan China dimuktamadkan, maka status quo perairan tersebut kekal. Maksudnya, beberapa terumbu atau beting Kepulauan Spratly dalam ZEE Malaysia seperti Pulau Layang-Layang atau Terumbu Ubi adalah milik negara.
Sama jua nelayan Sarawak mempunyai hak untuk menangkap ikan di sekitar Beting Patinggi Ali kerana beting itu berada dalam ZEE Malaysia. Tidak wujud hak negara asing untuk menghalang nelayan kita melaksanakan tugas mereka menangkap ikan dalam ZEE Malaysia. Jika nelayan kita ditegah atau dihalau, Wisma Putra tidak pernah culas mengemukakan bantahan diplomatik mengikut saluran yang betul.
Malaysia juga mempunyai hak untuk meneroka hasil semula jadi seperti minyak dan gas dalam ZEE tanpa gangguan. Peristiwa menimpa kapal cari gali minyak sewaan Petronas, West Capella pada 2020 yang dibayangi kapal asing juga menerima bantahan diplomatik. Begitu jua projek cari gali minyak dalam ZEE Malaysia seperti projek Kasawari adalah milik Malaysia seperti diperuntukan oleh UNCLOS.
Hakikatnya, Peta Baharu China 2023 tidak mengubah pendirian Malaysia kerana konsep status quo Laut China Selatan tetap terpelihara. Hakikatnya juga Malaysia menaruh kepercayaan terhadap saluran diplomasi dengan harapan CoC Laut China Selatan dapat dimuktamadkan dalam masa tiga tahun seperti dipersetujui dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43.
Kuala Lumpur tidak pernah cuai dalam mempertahankan hak negara di Laut China Selatan. Mungkin juga kerana pendekatan diambil sedikit berbeza dengan Indonesia, Vietnam atau Filipina yang dianggap lebih agresif, maka sebab itu timbul tanggapan kita tidak melakukan sesuatu untuk menongkah tuntutan sembilan garis putus-putus China. Tidak menghairankan jika ada rakyat kita yang terkejut dengan kemunculan Peta Baharu China 2023, walhal isu ini sentiasa dalam perhatian Wisma Putra. – UTUSAN
Penulis ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).











