PELANGAI, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Bentong. Parti mana yang akan muncul sebagai pemenang akhir dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 7 Oktober nanti menjadi tumpuan rakyat seluruh negara.
70 peratus pengundi DUN Pelangai orang Melayu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lepas, UMNO menewaskan Pas dengan majoriti 4,048 undi dalam pertempuran tiga penjuru. Kadar perolehan undi UMNO sebanyak 58 peratus. Parti Amanah Negara (Amanah) pula mengutip 2,031 undi.
UMNO mendapat sokongan lebih cemerlang pada 2022 berbanding PRU 2018. Sokongan diraih UMNO pada 2018 hanya 52 peratus.
Kini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah bergabung dan membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan. Kerajaan negeri Pahang juga ditadbir oleh PH-BN.
Tambahan lagi, berlandaskan momentum kemenangan PH-BN di dua PRK di Johor, ramai menjangkakan UMNO berpeluang tinggi menghalang PN dalam PRK di Pahang kali ini.
Kedua-dua PRK di Johor menyaksikan kebangkitan semula UMNO menghadang ancaman gelombang hijau. Pelangai kubu kuat tradisi UMNO. Kali ini mendapat kerjasama erat PH, UMNO kelihatan tidak sukar untuk mempertahankannya, malah lebihan majoriti dijangka terus meningkat.
Pada PRU 2018, BN hanya mampu mempertahankan Pahang dan Perlis. BN habis kecundang di sembilan negeri lain di Semenanjung. Terbukti UMNO memiliki kekuatan agak luar biasa di dua negeri itu hasil komitmen dan kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak dan ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Pada PRU15, PN mencabar kedudukan BN di Pahang secara mengejut. PN dan BN masing-masing menang 17 kerusi DUN. PH muncul sebagai kingmaker. Akhirnya, BN dan PH bersepakat menubuhkan kerajaan negeri.
Walaupun bilangan kerusi diraih UMNO merosot daripada 24 menjadi 16, namun kadar perolehan undi di Pelangai bertambah baik. UMNO juga mencapai kemajuan dalam perolehan undi di lima kerusi DUN lain termasuk Jelai, Benta, Peramu Jaya, Bebar dan Kemayan.
UMNO mengalami kekalahan teruk di seluruh negara pada PRU15. Akan tetapi di Pahang, sekurang-kurangnya parti itu masih bertahan memperoleh lima kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN. Ramai menganggap kebolehan Najib mentadbir negeri itu dengan baik secara berpanjangan merupakan faktor penerimaan UMNO dalam kalangan warga Pahang.
Meskipun kejayaan PN menakluki tujuh kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN di Pahang memberikan tamparan hebat kepada BN dan PH, namun kebanyakan kemenangan diperoleh melalui pertempuran tiga penjuru antara BN, PN dan PH. Disebabkan BN dan PH belum bersepakat sebelum PRU15, maka PN berkesempatan memujuk pengundi Melayu secara berkesan.
PN menang empat kerusi Parlimen dengan mendapat majoriti undi kurang lima peratus daripada undi keseluruhan. Sementara itu, PN mencapai kemenangan di tujuh kerusi DUN dengan lebihan undi kurang daripada 1,000.
RETORIK
Dengan lain kata, kekuatan BN dan PN tidak jauh beza. Kini, PH dan BN-UMNO menggembleng tenaga. Andai kata UMNO tetap berpengaruh dalam kalangan pengundi Melayu, kerajaan perpaduan mempunyai peluang cerah untuk menggoncang kedudukan PN di Pahang.
Pelangai selama ini ditandingi UMNO dan tidak pernah kalah kepada mana-mana parti. UMNO kini memerintah bersama PH di Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang. Maka PH-BN sememangnya menguasai kelebihan dalam pertempuran PRK Pelangai.
Kekalahan PN di Pulai dan Simpang Jerai pada PRK Johor menunjukkan kempen PN untuk menafikan penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen kerajaan perpaduan kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Johor. Pengundi berbilang kaum tidak menerima retorik politik PN secara membuta tuli.
Sungguhpun Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing memenangi 43 dan 31 kerusi Parlimen serta berjaya menguasai DUN Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah melalui PRU15, namun daripada tinjauan saya, ancaman PN semakin berkurangan ke arah selatan Semenanjung. Tiupan gelombang hijau menjadi lemah di Negeri Sembilan dan Melaka.
Apabila sampai ke Johor, ancaman hampir berhenti.
Tambahan pula keberatan dan keengganan pengundi bukan Melayu menerima naratif politik PN yang terlalu menonjolkan perjuangan berunsur perkauman dan keagamaan, maka agak sukar bagi gagasan itu mendekati hati 30 peratus pengundi bukan Melayu di DUN Pelangai.
Memandangkan persaingan politik antara PH-BN dan PN semakin sengit dan berisiko menimbulkan huru-hara kepada politik negara, hampir semua pengundi berhasrat semoga kerajaan perpaduan dan PN bersaing secara sihat dan amanah. Hayatilah semangat demokrasi yang berhemah semasa berpolitik untuk mengejar agenda masing-masing.
Sesungguhnya perjuangan politik merupakan satu perlumbaan untuk membela nasib rakyat ke arah kehidupan lebih baik. Pilihan raya bukan padang permainan politik melaga-lagakan rakyat berbilang kaum untuk menjadi musuh dan lawan.
Di samping itu, kini negara sedang menghadapi pelbagai cabaran kritikal, khususnya ekonomi dan kewangan ekoran ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik sedunia. Nilai ringgit semakin menyusut terhadap mata wang utama dunia. Rakyat kita perlu sehati sejiwa membangunkan ekonomi negara dan mengelak daripada berpolitik secara berlebih-lebihan.
Kerusi Parlimen Bentong sedang disandang oleh DAP. Difahamkan DAP akan mengerahkan tenaga sepenuhnya demi kemenangan UMNO di Pelangai.
Natijahnya, dengan meninjau faktor-faktor pemilihan termasuk rekod kecemerlangan lalu, kesepaduan jentera pilihan raya BN-UMNO dan PH dengan pelantikan bijak Datuk Amizar Abu
Adam, anak peneroka tempatan sebagai calon kerajaan perpaduan dalam PRK itu, BN-UMNO kelihatan memegang beberapa kelebihan mendahului lawannya untuk mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai. – UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










