Nak ganti PH, PN kena ‘pikat’ bukan Melayu

Nak ganti PH, PN kena ‘pikat’ bukan Melayu

GABUNGAN PN terutama Pas dan Bersatu berjaya meluaskan pengaruh dalam generasi muda melalui rangkaian internet dan penggunaan media sosial. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Perikatan Nasional (PN) mengecam ketidakcekapan pentadbiran kerajaan perpaduan dengan hasrat menyerap sokongan akar umbi UMNO di Johor. Pelepasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tersabit 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram juga disangkut pautkan dengan kerajaan perpaduan.

PN cuba menampilkan imej positif calon mereka bagi memikat hati pengundi dalam PRK di Johor. PN menghantar orang tempatan dan ahli profesional sebagai calon untuk mendekati pengundi setempat.

Pertarungan semakin sengit, PN kelihatan semakin konservatif dan radikal. Hujah-hujah berunsurkan Melayu Islam yang dilontar Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbulkan kebimbangan pengundi bukan Melayu. Nampaknya, pengundi Melayu seolah-olah bersetuju dengan hasutan dan permainan sentimen itu.

Masyarakat bukan Melayu berasa hampa dan takut dengan perbuatan tersebut.

Akhirnya, peratus keluar mengundi di Pulai 47.33 peratus manakala Simpang Jeram 54.72 peratus. Makin ramai pengundi tidak keluar mengundi bermaksud makin ramai orang tidak mengambil berat tentang perkembangan politik negara.

Walaupun jumlah dan peratusan undi yang dikutip PN lebih tinggi berbanding pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas, namun kadar mengundi pada PRK di Johor sebenarnya kurang daripada 60 peratus. Keadaan ini menyebabkan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) berjaya meraih sokongan asas dan terus menang.

Keputusan kedua-dua PRK di Johor menunjukkan naratif politik PN kurang diterima oleh rakyat Johor. Rancangan PN untuk memancing undi orang muda kelihatan terhad kepada kawasan tertentu sahaja. Sentimen berbaur perkauman dan keagamaan yang ekstrem daripada tokoh-tokoh PN menjadi impak menambahkan lagi kerisauan masyarakat Tionghoa dan India.

Oleh itu, keputusan PRK di Johor menunjukkan gelombang hijau gagal menembusi kubu kuat PH-BN di negeri itu.

Jadi, bagaimanakah PN boleh mengukuhkan momentum gelombang hijau mereka? Bagi saya, pemimpin heavyweight PN terbuka hati untuk menerima idea dan konsep baharu. Gabungan PN terutama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya meluaskan pengaruh dalam generasi muda melalui rangkaian internet dan penggunaan media sosial.

Seterusnya PN harus melakukan perubahan dan pembaharuan agar tidak terlalu memfokuskan masyarakat Melayu Islam. Padahal PN perlu memberikan perhatian untuk meraih sokongan bukan Melayu daripada PH.

Cadangan saya buat PN, pertama, pada zahirnya Pas, Bersatu dan Gerakan bukan parti yang mewakili satu kaum. Dalam PRN lepas, PN menamakan sebilangan wakil bukan Melayu sebagai calon pilihan raya. Tindakan ini menunjukkan PN kelihatan lebih terbuka dan bertoleransi berbanding UMNO, MCA dan MIC.

PUTRAJAYA

Strategi ini menunjukkan PN secara tidak langsung menerima hakikat Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Oleh demikian, pada masa depan, PN tidak harus menyasarkan undi Melayu semata-mata dalam perjuangan mereka untuk membentuk kerajaan. Kalau PN sanggup menyerap sebahagian sokongan bukan Melayu, peluang mereka menakluki Putrajaya akan menjadi lebih cerah.

Kini, ramai orang Cina dan India amat sangsi, marah dan sedih terhadap kerajaan perpaduan atas pembebasan Ahmad Zahid oleh mahkamah. Dengan itu, PN haruslah mengambil kesempatan ini untuk mengusulkan dasar serta cadangan alternatif yang lebih baik daripada kerajaan seperti penjaminan hak asasi, penambahbaikan ekonomi negara, penanganan inflasi, penghapusan kemiskinan dan pembanterasan rasuah. Sekiranya PN sanggup mengetengahkan jalan-jalan penyelesaian lebih baik daripada kerajaan perpaduan, tidak mustahil bukan Melayu memberi sokongan kepada PN.

Kedua, PN perlu memberikan ruang kepada pemimpin bukan Melayu dalam gagasannya untuk menyuarakan wacana politik sendiri supaya kepentingan kaum-kaum diwakili juga mendapat perhatian. Pemimpin yang disingkir oleh DAP, PKR, MCA dan MIC mungkin boleh diserap ke Sayap Bersekutu Bersatu untuk memperkuat PN.

Semasa PRN di Selangor pada 12 Ogos lalu, sayap itu bertanding 10 kerusi di kawasan majoriti bukan Melayu. Mereka mengutip 10 peratus undi di lapan DUN. Kutipan undi di lima kerusi DUN mencapai 20 peratus dan ke atas.

Keputusan tersebut bermaksud kesanggupan pengundi Melayu menyokong pemimpin bukan Melayu yang mewakili PN. Ini satu perkembangan positif bahawa pengundian mengikut identiti kaum sudah dipecahkan.Apabila tiba masanya, ahli-ahli Sayap Bersekutu Bersatu boleh diterima sebagai ahli penuh.

Ketiga, kini PH dan PN merupakan dua ‘gajah’ besar dalam politik. Kedua-dua blok ini mempunyai kelebihan masing-masing tetapi sebenarnya kekuatan mereka hampir sama. Yang berbeza, bukan Melayu memihak kepada PH manakala hampir keseluruhan sokongan PN daripada masyarakat Melayu Islam. Fenomena ini menggambarkan persaingan politik tidak sihat.

Kini, PH sedang berhempas-pulas meraih sokongan pengundi Melayu. Tetapi PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mengalami dilema kerana dikecam menyebelahi pemimpin UMNO yang tidak beramanah. Sebaliknya, PN pula menanggung beban sebagai penyokong dasar Islamik kerana bersekutu dengan Pas. Namun, disebabkan PN merupakan parti pembangkang, mereka lebih mudah mendapat sokongan mantap daripada pengundi Melayu. Oleh demikian, PN mempunyai banyak ruang untuk membentuk semula imej politik mereka.

Pada saya, PH sebenarnya sebagai gagasan mewakili politik pluralisme liberal, PN pula mewakili politik pluralisme konservatif. Untuk menarik sokongan bukan Melayu, pemimpin PN boleh beransur-ansur menjadikannya parti bersayap kanan yang konservatif, yakni tetap memegang janji kepada pengundi Melayu sementara pengundi bukan Melayu tidak akan kehilangan pelbagai kebebasan dan hak asasi sedia dinikmati.

Kesimpulannya, persaingan PH dan PN tidak harus menjadi permainan jumlah sifar (zero-sum game) antara kaum. Sehubungan itu, PN hendaklah menuju ke haluan menonjolkan kepelbagaian dalam politik. Untuk menggantikan PH-BN sebagai kerajaan memerintah, PN perlu diterima oleh semua rakyat berbilang kaum. – UTUSAN

Penulis ialah lulusan sarjana politik dari Universiti Soochow, Taiwan. Juga kolumnis di akhbar berbahasa Cina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×