Modul Hadis 40: Cukup, tidak perlu dalil lain

Modul Hadis 40: Cukup, tidak perlu dalil lain

MODUL Hadis 40 Imam Nawawi akan membentuk perwatakan murid dan pelajar Islam dari segi adab, akhlak dan integriti melalui penerapan sebilangan nilai Islam. – GAMBAR HIASAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUKUP malang sekali apabila perlu dicari dalil untuk melaksanakan Modul Hadis 40 Imam Nawawi meskipun untuk murid dan pelajar Islam dalam mereka mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.

Ia sepatutnya tidak sedemikian kerana bukan sahaja hak umat Islam, juga kewajipan mereka untuk benar-benar memahami Islam bagi menjadi penganut yang baik.

Ini kerana modul itu yang walaupun mengandungi 42 hadis sahaja, setelah dihimpun daripada jumlahnya yang agam, didapati berupaya menyampaikan inti pati ajaran Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiap hadis dalam modul itu yang berdasarkan prinsip asas Islam, sebenarnya bukan sahaja akan memperkasa murid dan pelajar Islam dari segi pengetahuan agama anutan mereka. Ia juga akan membentuk perwatakan murid dan pelajar Islam dari segi adab, akhlak dan integriti melalui penerapan sebilangan nilai Islam.

Inilah yang akan terhasil kerana modul itu sememangnya akan mempunyai dampak positif, selain akan memastikan pengukuhan pengamalan pelbagai nilai Islam dalam kalangan murid dan pelajar Islam.

Inilah sebenar-benarnya matlamat penggunaan modul ini melalui hanya mata pelajaran Pendidikan Islam untuk murid dan pelajar Islam sahaja. Ia dapat diteliti pada kesemua hadis dalam modul itu yang secara asas rata-ratanya menganjurkan pembangunan insaniah yang kerohaniannya tinggi lagi sempurna.

Sehubungan ini, antara perkara yang diangkat melalui hadis itu ialah kecemerlangan dan tanggungjawab, kebajikan dan sedekah, kebaikan dan keburukan serta kecintaan sesama manusia.

Oleh itu, tiada keperluan langsung untuk mencari dalil lain bagi mewajarkan penggunaan modul tersebut pada hanya murid dan pelajar Islam. Ini kerana itulah pewajarannya yang sejati, iaitu tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan golongan muda Islam yang taat dan patuh kepada ajaran Allah.

Ia begitu ketara dan tidak perlu lagi mendalilkan pelaksanaannya melalui natijah yang semacam dibuat-buat berdasarkan pelbagai implikasi yang dijangka kelak.

Sebenarnya dalam memberi hujah yang disandarkan kepada implikasi tertentu menerusi sesuatu rumusan itu, ia sebenarnya mewujudkan pelbagai persoalan lain, yang kekadangnya tidak pun merupakan isu sebelum ini.

Sehubungan ini, dengan menyatakan bahawa modul itu sesungguhnya berkait rapat lagi langsung dengan kestabilan negara, ia seolah-olah mengatakan golongan muda Islam di negara ini antaranya adalah kelompok cabuh sehingga perlu dididik untuk mengutamakan keamanan.

SUBVERSIF

Begitu juga dengan kenyataan bahawa modul ini akan dapat membendung radikalisme, iaitu fahaman yang mahukan perubahan subversif dan ekstremisme, yakni tindakan tidak rasional lagi melampau.

Kenyataan begini membayangkan seakan-akan wujudnya pemikiran keterlaluan dalam kalangan golongan muda Islam kita yang bukan sahaja mengancam ketenteraman awam, juga berbahaya kepada keselamatan negara.

Selain dua kenyataan itu, ada juga pihak mengatakan modul itu akan merintis jalan kepada wujudnya kesederhanaan. Ia juga seperti mengatakan bahawa golongan muda Islam kita ekstrem sehingga perlu dididik untuk bersifat sederhana, iaitu tidak melampau.

Ada juga pihak yang menyatakan modul ini adalah untuk mengurus kepelbagaian yang menjadi cabaran di negara ini. Dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, ia seumpama mengatakan bahawa golongan muda Islam di negara ini tiada sifat toleransi sehingga ada keperluan dididik untuk menghargai kepelbagaian.

Sebenarnya kesemua dalil itu bertujuan menyakinkan pihak bukan Islam yang membantah penggunaan modul ini walaupun terhad kepada hanya murid dan pelajar Islam, menempelak diri sendiri.

Ini kerana melalui penghujahan begini, ia sebenarnya membawa kepada keadaan yang hanya merosakkan imej umat Islam selain memudaratkan lagi keadaan yang sarat dibelenggu Islamofobia.

Melalui dalil sebegitu, ia semacam mengesahkan buruk sangka dan stereotaip kelompok bukan Islam terhadap umat Islam bahawa ia memang benar dan kini mahu diperbetul melalui modul ini.

Walaupun untuk mengenakan pihak lawan politik yang didakwanya sebagai memanipulasi Islam, kerajaan tidak patut berhujah sebegitu yang sebenarnya tidak pun sebegitu.

Sebaliknya kerajaan perlu memberitahu perkara sebenarnya kepada yang membantah, iaitu modul ini mahu diguna pakai sebagai pemangkin kepada pemahaman ajaran Islam dan pengamalan nilai Islam. Dalam hal ini, ia pertama-tamanya untuk menjadikan umat Islam yang soleh dalam kalangan murid dan pelajar Islam.

Dengan kesolehan ini, mereka pasti akan lebih berpedoman untuk melakukan perkara yang baik-baik mengikut ajaran Islam. Ini sudah tentu mempunyai implikasinya yang positif kepada keharmonian negara, antaranya melalui sifat kesederhanaan dianjurkan Islam.

Implikasi kesederhanaan ini tidak patut sesekali ditonjolkan sebagai kepentingan utama atau langsung daripada modul ini. Sehubungan ini, ia hasil sampingan setelah kepentingan utamanya ada pada umat Islam.

Cara begini adalah penting bukan sahaja untuk menjaga syiar Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang, keamanan dan toleransi. Lebih penting lagi, ia tidak akan mengelirukan kelompok bukan Islam yang perlu dibekalkan maklumat sebenar terlebih dahulu, dan bukannya bersifat jangkaan daripada yang sebenar itu.

Sebetulnya dengan memberitahu perkara sebenar, mereka sendiri juga boleh mengenal pasti implikasi itu dengan membuat rumusan sendiri yang positif sifatnya. Cara ini akan lebih menyakinkan mereka daripada diberitahu pihak lain yang ditanggapi sebagai berkepentingan langsung dalam isu Modul Hadis 40 Imam Nawawi itu. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×