KITA akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-66 hujung bulan ini dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Tema ini amat sesuai dan relevan bagi tahun ini kerana Kerajaan Persekutuan yang dibentuk sejurus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah kerajaan perpaduan.
Kerajaan perpaduan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah umumkan pendekatan konsep Malaysia Madani. Secara ringkasnya, konsep ini lebih mementingkan perpaduan dan pembangunan holistik antara kaum.
Dalam pada itu, Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban. Malah pendekatan pentadbiran kerajaan Malaysia Madani pula berteraskan nilai keterangkuman atau inklusif dalam semua perspektif.
Tema kemerdekaan tahun ini didapati amat relevan kepada suasana politik semasa kerana perpaduan antara kaum mahupun dalam kalangan kaum itu sendiri didapati merosot malah semakin pecah belah kesan permainan politik perkauman yang dianjurkan sesetengah pihak.
Akhir-akhir ini segelintir pemimpin dan ahli politik dilihat lebih mendahului kepentingan diri dan kaum daripada kepentingan negara dan kestabilan politik.
Sehubungan ini, rakyat terutama golongan muda atau kumpulan Undi18 perlu mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara.
Pemimpin-pemimpin yang mengorak langkah mencapai kemerdekaan pada suatu ketika lebih mementingkan perpaduan antara kaum daripada kepentingan kaum yang mereka wakili.
Sebagai contoh, kita lihat bagaimana pemimpin yang mewakili kaum Cina dan India bekerjasama dan bertolak ansur dengan pemimpin Melayu dalam menyediakan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas dan teras kepada bukan sahaja menuntut kemerdekaan malah wadah pembentukan dan pembinaan sebuah negara berdaulat dan bebas serta bersatu padu.
Perkara 152 dan Perkara 153 yang menjadi inti pati atau jiwa Perlembagaan Persekutuan adalah hasil kerjasama, kesefahaman dan pengorbanan yang tidak bandingannya terserlah dalam kalangan pelbagai kaum.
Perkara 152 yang berkaitan dalam mengangkat bahasa Melayu, meskipun tulisan Jawi sudah pun diterima pakai dalam pentadbiran kesultanan Melayu sebelum era penjajahan Inggeris, sebagai bahasa rasmi sambil tidak menafikan hak dan peluang pembelajaran dan penggunaan bahasa ibunda bukan Melayu seperti Mandarin dan Tamil.
Perkara 153 pula menobatkan hak istimewa kepada orang Melayu sambil menawarkan hak-hak tertentu kepada warga bukan Melayu adalah contoh jelas memaparkan betapa tingginya semangat kerjasama, toleransi malah tolak ansur yang wujud antara kaum dalam mencapai kemerdekaan pada 1957.
Persoalannya, apakah nilai dan semangat kerjasama, toleransi dan tolak ansur masih diwarisi oleh generasi pascamerdeka? Didapati pada akhir-akhir ini, budaya menafikan perjuangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang mewakili pelbagai kaum dalam mencapai kemerdekaan menjadi ketara.
Sebaliknya, ada pihak cuba menghidupkan pemikiran ‘perkauman’ yang sempit dalam kalangan anak muda.
TIKTOK
Kempen dalam media sosial sempena pilihan raya negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini didapati lebih dihiasi kiriman-kiriman menyentuh sensitiviti kaum.
Malah, platform TikTok saban hari berlegar dengan kiriman-kiriman berbaur perkauman.
Ia membimbangkan kerana mampu menghancurkan dan meruntuhkan keharmonian dan perpaduan yang terbina sejak puluhan tahun sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Pemimpin dan masyarakat terdahulu rela mengetepikan kepentingan diri termasuk kepentingan politik parti dan kaum malah sanggup melepaskan sebahagian hak-hak yang mereka warisi turun-temurun kerana berhasrat hidup bersama dengan lain-lain kaum dalam negara tercinta ini.
Misalnya, sultan dan raja-raja Melayu atau pemerintah yang sah bagi Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah Inggeris, sanggup menerima dan menjadikan orang Cina dan India sebagai warganegara.
Pengurniaan hak kerakyataan kepada orang bukan Melayu adalah satu pengorbanan amat tinggi nilainya dalam konteks politik Tanah Melayu sebelum merdeka.
Begitu juga komuniti Cina dan India didapati setia, jujur dan sanggup menobatkan status hak istimewa kepada kaum pribumi atas pengorbanan mereka. Dengan kesefahaman ini, orang Melayu dan bukan Melayu berganding bahu bertungkus-lumus membangunkan negara ini sebagai sebuah negara maju di Asia Tenggara.
Dengan kerjasama antara pelbagai kaum, kerajaan berjaya dalam matlamat mengubah landskap negara ini daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian. Kualiti hidup rakyat bertambah baik.
Kemudahan infrastruktur yang menakjubkan dilaksanakan dan peluang pendidikan diperluaskan.
Hampir 80 peratus rakyat kini menikmati kehidupan baik seperti terdapat di bandar-bandar negara maju di dunia. Pendapatan per kapita meningkat daripada hanya RM3,005 pada 1970 kepada RM34,125 (2014) dan menokok kepada RM52,819 pada 2022.
Pendapatan isi rumah purata meningkat kepada RM8,479 pada 2022.
Hampir 95 peratus rakyat celik huruf dan angka. Kadar kemiskinan keseluruhan pula dikurangkan daripada 49 peratus pada 1970 kepada 1.9 peratus (2022).
Kadar kemiskinan mutlak merosot kepada 6.2 peratus pada 2022. Bilangan isi rumah miskin tegar berpendapatan di bawah RM1,198 pula menurun kepada 0.2 peratus (18,445 isi rumah). Insiden kemiskinan mutlak dikurangkan. Hanya kira-kira 487,576 isi rumah dikesan dalam golongan kemiskinan mutlak pada 2022.
Justeru, rakyat perlulah menghayati prinsip-prinsip ditonjolkan dalam tema kemerdekaan tanpa mengira perbezaan kaum, agama, budaya dan ideologi politik.
Jom, bertekad hidup bersatu padu dengan aman damai dengan mengetepikan perbezaan warna kulit, fahaman politik malah lokasi tempat tinggal.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah
penganalisis sosiopolitik negara.










