SAYA membaca suatu laporan rasmi bahawa sepanjang 26 tahun lepas, RM4.5 trilion telah lesap dari Malaysia, hasil rasuah dan salah guna kuasa. Perkara ini punca utamanya yang semua tahu adalah kerana parti politik. Guna duit negara macam duit sendiri. Semua atas alasan sumbangan politik.
Patutnya, kalau betul untuk sumbangan politik yang akhirnya untuk rakyat, dengan RM4.5 trilion, kita sudah boleh jadi negara maju. Patut sudah kurang benar rakyat miskin, kerajaan sudah boleh jaga benda asas. Namun, lepas 65 tahun merdeka, masih lagi ada masalah air? Tak boleh brain (faham).
Negara ini negara kaya sumber. Minyak dan galian merata-rata. Kita juga punya cuaca tropika dan stabil sepanjang tahun. Patut jadi negara pertanian terkuat di rantau dengan tanaman padi, kelapa sawit dan getah.
Namun, ekonomi kita 40 tahun ini makin merudum. Ringgit dulu tahun 1980 hanya RM2.21 ke satu dolar Amerika Syarikat (AS) sekarang sudah RM4.50. Sekali ganda jatuhnya. Bandingkan dengan negara sekeliling kita.
Apa jadi dengan kekayaan yang kita ada? Jawapannya ialah melalui Indeks Kroni Dunia. Selama 20 tahun ini, Malaysia negara nombor dua terteruk dalam dunia mengamalkan ekonomi kroni. Cuma baru-baru ini sahaja kita baik sedikit. Jadi negara nombor tiga selepas Russia dan Ukraine.
Kadang-kadang saya tanya, duit punya banyak disakau orang politik ini hendak buat apa? Kita tahu mereka ada berbilion di luar negara. Tujuh keturunan tidak habis. Lepas meninggal, keluarga bergaduh kerana harta pusaka.
Setelah berfikir, baru saya sedar. Orang politik takkan bagi kekayaan negara ini berlegar dalam kalangan rakyat biasa. Hanya untuk golongan elit politik mereka. Kenapa? Jawapannya, adalah kerana kuasa.
Mereka mahu rakyat kekal miskin dan hidup sederhana, kerana mereka boleh ada kuasa memberi. Mereka hendak rakyat pajak otak dan pajak budi. Bolehlah ini ditukar kepada undi.
Tidak masuk akal, 33 tahun memerintah, di Kelantan masalah air pun tak boleh selesai. Di Sabah, sejak 1963, kerja pun susah nak dapat. Mereka kena merantau pula.
Memang benda ini dibuat secara sengaja. Mereka hendak kekalkan kuasa. Contoh di Kelantan, dapat RM400 juta daripada Kerajaan Pusat. Apa benda pertama sekali mereka buat? Exco dan menteri besar beli Mercedes-Benz seorang sebuah.
Naikkan bonus sendiri. Kalau macam ini, dapatlah duit banyak mana, tidak adanya mereka hendak selesai masalah air. Tambah undi dari tahun ke tahun tetap mereka dapat.
MISKIN
Kata seorang bekas menteri kepada saya, “Kebanyakan strategi politikus Melayu Islam, ialah kekalkan rakyat dalam kemiskinan. Kerana hanya orang miskin yang lebih dekat dengan Tuhan. Barulah politik agama dan kaum boleh lekat”.
Apabila susah, tidak payahlah hendak minta wakil rakyat buat kerja. Cukup anda berdoa, serahkan semua pada Yang Esa. Sampai dibuat slogan “nak kemajuan ke nak Islam?”
Walhal, ustaz saya pernah mengajar dulu. Ada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kemiskinan itu dekat dengan kekufuran”. Maknanya, lagi miskin, lagi senang berbuat dosa. Umat akan terdesak juga. Hendak beramal pun bukan di kepala.
Contohnya, Kelantan iaitu negeri termiskin di Semenanjung. Mempunyai rekod jenayah tertinggi di Malaysia. Jenayah dadah dan seksual ke atas kanak-kanak dan haiwan, tertinggi di sana. Sampai polis pun bersuara. Tapi pemimpin mereka tidak rasa apa. Buat ‘dek’ sahaja. Ini bukti kekufuran kerana kemiskinan.
Islam bukan agama yang menggalakkan kemunduran. Islam agama progresif yang patutnya menguntungkan seluruh bangsa di dunia. Mereka patut nampak syafaatnya (kelebihan).
Dalam al-Quran, jelas surah Quraish menetapkan, bagaimana pembinaan negara harus dibuat. Ada lima perkara pemerintah harus buat untuk rakyat:
i. Galakkan perpaduan berbilang kaum dan agama;
ii. Perkuatkan ekonomi negara;
iii. Sediakan tempat dan kemudahan yang baik untuk beribadat;
iv. Memastikan ada makanan yang cukup dalam negara (keselamatan makanan);
v. Memastikan keselamatan dalam negara dan rakyat terjaga.
Walaupun ini termaktub jelas dalam al-Quran, tapi adakah ini yang dibuat oleh pemimpin Islam kita? Tengokkan perkara (iii), patutnya kita tanya. Kalau air pun jarang ada, hendak beribadat macam mana? Belum lagi cerita pasal sediakan kerja.
Saya bukan ustazah, nak terangkan surah di atas. Tapi ia jelas sejelasnya. Tak perlu ada dalil menolak. Kalau saya jumpa pemimpin Islam kita yang kata rakyat perlu tolak kemajuan, saya akan tunjukkan surah ini kepadanya, tengok apa dia kata?
Rakyat harus bangkit bertanya pemimpin ulama kita. Jangan walak (taat) atau pajak otak kepada mereka. Jangan kita pangkah, hanya kerana dia sama agama dengan kita. Atau berwirid lebih panjang dari kita.
Banyak lagi pemimpin tanpa kopiah di kepala, yang niatnya ikhlas hendak membina negara atas landasan Islam juga. Namun kerana hendak bawa kemajuan, mereka ‘kafir’ dan ‘liberal’ kan dia. – UTUSAN
PENULIS ialah bekas Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.