ISU lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bukanlah memeranjatkan terutama kami yang sudah berkecimpung hampir 30 tahun dalam bidang TVET.
Malah, isu ini sebenarnya turut melanda banyak institusi latihan kemahiran awam (ILKA) lain seluruh negara. Namun begitu, menjadi persoalan banyak pihak juga ialah mengapakah TVET terus menjadi isu dan polemik saban tahun (terutama dalam tempoh 10 tahun kebelakangan) menjadi masalah yang semakin buruk kepada negara pada hari ini dan masa depan?
TVET adalah proses pendidikan dan latihan kemahiran yang perlu ditangani secara komprehensif daripada peringkat sekolah, lepasan sekolah (pengajian tinggi/latihan kemahiran tinggi) serta sistem pembelajaran sepanjang hayat (pekerja/pengalaman).
Ia ibarat satu sistem rantaian yang jika terputus salah satu rantaiannya, maka rosaklah TVET negara.
Pemerhatian saya terhadap kebanyakan ulasan yang diberikan pelbagai pihak selama ini memperlihatkan pelbagai isu dan perkara yang dibincangkan adalah masalah TVET di peringkat lepasan sekolah termasuklah isu ILKBS. Maka tidak hairanlah jika isu TVET banyak diulas dan didominasi oleh golongan peringkat pengajian tinggi dan Kementerian Pengajian Tinggi sendiri kelihatan menjuarai TVET berbanding kementerian lain seperti Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Proses pembinaan minat terhadap TVET sepatutnya diberi penekanan penting sejak di peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah.
Laporan Pertubuhan Pendidikan Antarabangsa (UNESCO) pada 2022 mengkategorikan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai penglibatan belia yang rendah dalam sektor TVET iaitu sekitar 6 peratus sahaja. Ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara seperti Singapura (65 peratus) dan Thailand (40 peratus).
Kegagalan melaksanakan mata pelajaran TVET sepenuhnya di peringkat sekolah sebenarnya menjadi antara faktor utama kecenderungan dan minat terhadap TVET semakin berkurangan dan tidak keterlaluan sudah mula berada di tahap yang amat kritikal.
Ketika ini, pelaksanaan TVET di peringkat sekolah hanyalah sekitar tujuh peratus sahaja melalui program Kolej Vokasional (KV) dan Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA).
Walaupun ada diperkenalkan subjek Vokasional (MPV), namun keberkesanannya untuk memenuhi keperluan TVET belum sampai ke tahap yang diperlukan. Manakala mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) juga gagal memenuhi kehendak pencapaian TVET di sekolah dan inilah keluhan guru-guru juga.
Berdasarkan statistik yang dipaparkan di laman sesawang KPM, terdapat 347 buah SMK (sekolah harian) yang menjalankan program PVMA dengan menawarkan 12 program sahaja seperti penyejuk bekuan, pendawaian elektrik, multimedia, tanaman dan lain-lain. Penglibatan pelajarnya juga pasti sangat terhad. Sedangkan hakikatnya bilangan pelajar sekolah menengah sahaja seramai lebih dua juta orang dengan jumlah sekolah menengah hari ini pula sebanyak 2,440 buah.
REFORMASI
Antaranya ialah, kerajaan perlu mewajibkan mata pelajaran TVET di semua peringkat sekolah sepertimana yang pernah dilakukan suatu masa dahulu yang dikenali sebagai mata pelajaran Seni Perusahaan, Ekonomi Rumahtangga (1970an-80an) dan kemudiannya ditambahbaikkan dengan Kemahiran Hidup sekolah rendah dan menengah (1990an).
Pada 2015, KPM pernah mentransformasikan TVET di peringkat sekolah dengan memperkenalkan program seperti Pendidikan Asas Vokasional (PAV) untuk pelajar menengah rendah (tingkatan 1 hingga 3), PVMA (4 dan 5) serta Pendidikan Industri Menengah Atas (PIMA), selain menaik taraf dan enrolmen pelajar KV seluruh negara.
Sebagai langkah mereformasikan TVET di sekolah dan mengambil kira kekangan yang ada, kerajaan hanya perlu menambah baik sahaja program di atas atau seumpamanya dengan memastikan enrolmen meningkat secara berperingkat daripada tujuh kepada sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keseluruhan pelajar sekolah dalam tempoh lima tahun mulai sekarang. Ini juga penting dalam menangani bilangan pelajar yang cenderung akademik di sekolah sebenarnya hanyalah sekitar 30 hingga 40 peratus, berbanding cenderung lain-lain seperti TVET iaitu sebanyak 60 hingga 70 peratus.
Bagi mengisi keperluan ini, kerajaan perlu menjadikan dasar TVET di sekolah sebagai satu dasar yang tegas, mempunyai pelan pembangunan untuk tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, menyediakan peruntukan dan kemudahan yang secukupnya serta menyediakan tenaga pengajar terlatih di setiap sekolah.
Dalam masa yang sama kerajaan wajib melaksanakan rasionalisasi terhadap semua institusi latihan kemahiran TVET (awam dan swasta) untuk bekerjasama dengan KPM bagi membolehkan usaha menggerakkan penyertaan pelajar sekolah dilakukan secepat mungkin.
Antaranya ialah menggunapakai bersama kemudahan ILKA dan ILKS sebagai pusat pembelajaran berjadual yang membolehkan sebahagian masa digunakan oleh pelajar sekolah seperti Giat MARA, Kolej Komuniti dan ILKS yang menjadi pilihan ibu bapa tanpa pelajar meninggalkan pembelajaran lain di sekolah.
Dengan berteraskan konsep pensijilan tunggal seperti Sijil Kemahiran Malaysia, pelaksanaan ini membolehkan TVET dimiliki oleh semua pelajar, malah dapat memastikan mereka memilih untuk memasuki pasaran kerja sebagai tenaga kerja terlatih dan berpendapatan tinggi seawal mungkin. Selain itu, mereka juga boleh memilih untuk menyambung pengajian atau latihan TVET di peringkat yang lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berdasarkan pengalaman, walaupun terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah minat terhadap pengajian ini selagi TVET tidak dilaksanakan sepenuhnya di peringkat sekolah, selagi itulah masalah TVET akan terus berkumandang. Bagai cerita yang tiada berkesudahan.-UTUSAN
DATUK Nordin Abdul Malek ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW).










