Naik had usia bersara tidak bijak?

Naik had usia bersara tidak bijak?

FAKTOR jangka hayat dan usia penduduk Malaysia yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun juga sering digunakan sebagai alasan untuk menaikkan had usia bersara. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK beberapa lama dahulu terdapat cadangan untuk melanjutkan lagi had usia persaraan dalam negara dari 60 tahun seperti ditetapkan ketika kini. Cadangan dikemukakan ini perlu mendapat pertimbangan teliti dan mendalam daripada kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.

Untuk rekod, had usia bersara di negara ini sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun lalu bermula 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan dari 55 kepada 56 tahun dan kemudian pada 2008 dilanjutkan dari 56 kepada 58 tahun. Perubahan sekali lagi disaksikan pada 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan dari 58 kepada 60 tahun.

Kini terdapat beberapa pihak mencadangkan had usia persaraan ini dinaikkan sekali lagi. Cadangan diberikan ini adalah berdasarkan beberapa faktor dan perkembangan semasa yang sedang berlaku di dalam serta luar negara seperti faktor ekonomi dan keadaan kewangan semasa negara. Faktor jangka hayat dan usia penduduk Malaysia yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun juga sering digunakan sebagai alasan untuk menaikkan had usia bersara ini.

Terdapat juga faktor keutamaan perlu diberikan terhadap sesetengah sektor kritikal pekerjaan tertentu melibatkan penggunaan tenaga mahir yang memerlukan pengekalan seseorang pekerja selama mungkin.

Faktor perbandingan terhadap beberapa negara lain yang mengambil langkah melanjutkan usia persaraan wajib di negara masing-masing seperti dilakukan Perancis baru-baru ini juga sering menjadi pertimbangan.

Walaupun semua faktor dinyatakan ini dilihat relevan dengan cadangan dikemukakan, namun secara realistiknya untuk menaikkan had usia bersara ini mungkin akan mengakibatkan timbul kesan atau impak negatif lain terutama terhadap pekerja terlibat serta masyarakat secara keseluruhannya. Walaupun kadar usia penduduk Malaysia dilihat meningkat dari tahun ke tahun, faktor kesihatan pekerja juga perlu diberi tumpuan.

Tidak dapat dinafikan, secara fitrahnya makin bertambah usia seseorang manusia, maka makin kurang tahap tenaga atau kualiti kesihatan mereka. Jika tahap tenaga dan faktor kesihatan seseorang pekerja terjejas akibat peningkatan usia, ini boleh menjejaskan kualiti kerja yang ingin dihasilkan kelak. Jika ini dibiarkan berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan kualiti perkhidmatan yang ingin diberikan kepada masyarakat sekeliling.

TAWAR HATI

Dengan penambahan had usia persaraan, ia juga akan menyebabkan ruang dan peluang baharu pekerjaan terutama di sektor perkhidmatan awam menjadi semakin mengecil serta sukar untuk diceburi generasi muda yang memerlukan pekerjaan. Secara tidak langsung, ia juga akan meningkatkan kadar pengangguran dalam negara untuk tempoh jangka masa panjang khususnya dalam kalangan generasi muda. Sekiranya dibiarkan berlaku juga, ramai generasi muda akan mula tawar hati dan berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan.

Sekiranya generasi muda yang berhijrah ke luar negara ini memiliki tahap kebijaksanaan dan kemahiran yang tinggi, maka negara kita mengalami masalah brain drain (penghijrahan cendekiawan) yang serius. Ini sekali gus akan merugikan negara. Negara kita akan menghadapi masalah kehilangan dan kekurangan pekerja tempatan yang muda, bijak, bertenaga dan berkemahiran. Akhirnya, negara kita akan mula bergantung sepenuhnya pada pekerja asing dan pekerja tua tempatan yang kurang bertenaga serta kurang daya inovasi dan kreativiti.

Namun begitu, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah untuk menaikkan had usia persaraan untuk sektor-sektor tertentu yang dilihat sebagai kritikal serta memerlukan langkah kenaikan had usia persaraan tanpa melibatkan semua jenis pekerjaan yang ada dalam sektor pekerjaan dalam negara. Apa-apa pun langkah yang ingin diambil, diharapkan cadangan dikemukakan untuk menaikkan had usia persaraan perlu diteliti lebih terperinci dan mendalam dengan mengambil kira pendapat daripada semua pihak berkaitan dengan isu berkenaan.

Perlu diketahui juga, rata-rata pekerja khususnya pekerja kelas bawahan memang ingin bersara awal kerana tidak tahan lagi untuk melayan kerenah majikan dan atasan mereka yang kurang profesional; tidak tahan lagi memenuhi segala sasaran kerja tahunan atau indeks prestasi utama (KPI) yang tidak realistik; tidak tahan lagi dengan jumlah gaji dan elaun bulanan yang kecil dan tidak sesuai dengan keadaan kos sara hidup meningkat pada masa kini di samping masalah kesihatan dialami mereka akibat peningkatan usia.

Yang dilihat ingin sangat bekerja lama sampai usia 100 tahun dan lebih selalunya dalam kalangan pihak atasan. Oleh itu, kajian teliti perlu dilakukan dengan mengambil kira pendapat semua pihak khususnya dalam kalangan pekerja bawahan dan bukan hanya pandangan daripada pihak atasan yang ingin berada di puncak kuasa dan bekerja buat selama-lamanya.

Isu had usia bersara ini adalah amat sensitif. Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada apa yang sedang berlaku di Perancis yang telah menaikkan had usia bersara pekerja mereka dari 62 ke 64 tahun, baru-baru ini. Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Perancis secara terburu-buru ini akhirnya menyebabkan ramai rakyat mereka bangkit merusuh di jalan raya. – UTUSAN

Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN