MUSIM pilihan raya datang lagi. Kali ini giliran pilihan raya negeri (PRN). Enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu terlibat dalam PRN, hari ini.
Kebiasaannya, rata-rata rakyat gemar cakap-cakap politik di kedai kopi, kedai mamak, sewaktu makan bersama teman-teman dan dalam media sosial. Yang ironinya, ada yang bercakap sahaja tetapi tidak diterjemahkan dalam kertas undi. Ini amat merugikan rakyat, negeri dan negara. Sebagai rakyat yang layak mengundi, tolong terjemahkan melalui hati dan bukan emosi di kertas undi agar dapat memilih calon yang benar-benar layak untuk memimpin.
Desas-desus menyatakan kemungkinan ada rakyat yang layak mengundi tidak mahu mengundi atau ada niat untuk merosakkan kertas undi atau menjadi pengundi atas pagar pada PRN kali ini. Antara faktor-faktor penolakan tidak mahu mengundi seperti letih dengan sikap parti-parti yang bertanding kerana tiada perubahan dibawa kepada rakyat, bahan-bahan kempen berbaur hasutan, tuduh menuduh yang tidak mendatangkan hasil pada rakyat. Faktor-faktor lain seperti kebanyakan bahan kempen dihidangkan kepada rakyat dengan ayat-ayat sandiwara, janji-janji kosong dan tiada hasil selepas kempen, tawar hati, tidak boleh balik mengundi kerana kerja atau peperiksaan.
Kira-kira 9.67 juta pengundi layak mengundi hari ini di enam negeri. Lebih separuh daripada mereka merupakan belia di bawah umur 39 tahun dengan 661,905 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun, 2.17 juta berumur 21 hingga 29 tahun dan 2.16 juta berumur antara 30 hingga 39 tahun. Adalah satu kerugian pada rakyat, negeri dan negara jika peratus mengundi pada hari ini adalah sedikit.
Justeru, bagi meningkatkan kesemua pengundi balik mengundi pada masa akan datang, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu aktif seperti kempen kesedaran mengundi melalui media massa dan media sosial kepada semua lapisan rakyat yang layak mengundi agar mereka benar-benar faham akan tanggungjawab mereka. Kerajaan juga boleh mewajibkan semua lapisan rakyat yang layak mengundi wajib berbuat demikian. Jika tidak mengundi, boleh dikenakan denda seperti dipraktikkan oleh Singapura dan beberapa negara lain. Adalah satu kerugian jika rakyat yang layak mengundi tidak menunaikan tanggungjawab mereka.
Sehubungan itu, tokoh-tokoh agama, cendekiawan dan profesional ada menyatakan nasihat dan panduan bagi pengundi dan kenapa perlu mengundi sebagai perkongsian dan rujukan.
Ali bin Abi Thalib r.a. menyatakan, “Kezaliman akan terus ada bukan kerana banyaknya orang-orang jahat, tapi kerana diamnya orang-orang baik.”
SYARAK
Menurut Syaikh Yusuf Qardhawi (Ketua Persatuan Cendekiawan Muslim Antarabangsa), setidak-tidaknya ada tiga cara dalam mempertimbangkan pilihan calon oleh pengundi, iaitu jika semuanya baik, pilihlah yang paling banyak kebaikannya; jika ada yang baik dan ada yang buruk, pilihlah yang baik; dan jika semuanya buruk, pilihlah yang paling sedikit keburukannya.
Ketua Majelis Intelektual dan Ulama Muda Indonesia (MIUMI) Dr. Hamid Fahmy Zarkasyi pula berkata, “Jika anda tidak mahu ikut mengundi kerana kecewa dengan pemerintah dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parti Islam, itu hak anda. Tapi ingat, jika anda dan jutaan yang lain tidak ikut mengundi maka jutaan orang fasik, sekular, liberal, ateis akan ikut mengundi untuk berkuasa dan menguasai kita. Niatlah berbuat baik meskipun hasilnya belum tentu sebaik yang engkau inginkan.”
Recep Toyyib Erdogan (Presiden Turkiye) berkata, “Jika orang baik tidak ikut terjun ke politik, maka para penjahatlah yang akan mengisinya.”
Necmetti Erbakan (bekas ahli politik Turkiye) pula menyatakan, “Muslim yang tidak peduli politik akan dipimpin oleh ahli politik yang tidak peduli kepada Islam.”
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah menyebut, “Berdasarkan kepada kepentingan pelantikan pemerintah, makanya kami cenderung untuk menyatakan bahawa haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya dari sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi.” (Bayan Linnas Siri ke-126: Hukum Merosakkan Undi, 12 Februari 2018).
Imam Hassan al-Banna berkata, “Memberikan undian adalah suatu penyaksian. Manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah).”
Akhir kata, baliklah mengundi, datanglah mengundi. Pilihlah calon yang benar-benar layak, baik, amanah, berkata benar, bertanggungjawab dan berwibawa dalam memimpin negeri dan negara ke arah peradaban politik, ekonomi, sosial dan budaya, stabil, terjamin dan makmur serta mesra rakyat demi negara tercinta. – UTUSAN
Dr. Shamshul Anaz Kassim ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis.











