Dialog awam muzik: Adakah sekadar syarat?

Dialog awam muzik: Adakah sekadar syarat?

SESI Town Hall Industri Kreatif : Industri Muzik bersama Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil pada 17 Mac lalu diharap dapat mengubah masa depan industri muzik. – FB Fahmi FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOWN hall dalam bahasa Melayu bermaksud ‘dialog awam’ menurut terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka. Lazimnya dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kementerian tertentu bertujuan menyediakan platform perbincangan dua hala antara pemegang taruh dan badan pentadbir.

Dalam konteks industri muzik, kerajaan memainkan kedua-dua peranan itu. Sebagai pemegang taruh industri muzik, kerajaan mempunyai tanggungjawab:
 Melindungi, mempromosi dan memastikan perkembangan seimbang.
 Melindungi hak cipta dan harta intelek serta memastikan artis dan penggiat muzik mendapat ganjaran adil untuk karya mereka.
 Berfungsi mengawal selia dan membuat dasar industri yang mengawal operasi industri muzik termasuk dasar berkaitan pemberian lesen.
 Bertanggungjawab memantau dan mengawasi industri dari segi undang-undang dan peraturan industri muzik serta melindungi hak pengguna.
 Mempromosikan industri muzik dan mendorong perkembangan bakat muzik hingga ke peringkat antarabangsa.
 Memastikan keadilan dalam agihan peluang dan dana industri muzik serta memupuk kepelbagaian budaya dalam produksi dan penyampaian muzik.

Sebagai badan pentadbir, kerajaan berfungsi:
 Merangka dan melaksanakan dasar, memberikan lesen dan kebenaran kutipan royalti muzik.
 Menyediakan pembiayaan dan sokongan kewangan bagi menganjurkan program-program tertentu.
 Mempromosi serta melindungi warisan budaya dan mewujudkan infrastruktur mencukupi untuk perkembangan industri muzik.
 Merancang dan melaksanakan langkah-langkah dalam menghadapi cabaran atau krisis yang mungkin mempengaruhi industri muzik seperti pandemik atau perubahan teknologi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemegang taruh industri muzik merujuk kepada individu, entiti serta pihak-pihak lain yang memiliki kepentingan dalam industri muzik dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan, promosi dan kawal selia industri muzik.

Mereka termasuk artis, pemuzik dan semua individu yang terlibat dalam penghasilan karya muzik – penggubah lagu, penulis lirik dan penyusun muzik syarikat penerbitan dan rakaman muzik, pengurus artis, penerbit muzik dan penggubah muzik; badan penyiaran dan penstriman; jurufoto, juruvideo, pengarah, pereka grafik dan individu yang menyumbang kepada rekaan dan imej artis; pengguna muzik, pendidikan muzik, NGO, pemilik tempat pementasan, pengurus acara, penulis, wartawan, pengkritik dan media.

Persoalannya, adakah tindakan diambil oleh badan pentadbir selepas tamatnya dialog awam tersebut? Dan adakah penerbitan laporan pasca dialog awam yang dapat diakses oleh pemegang taruh diterbitkan di mana-mana laman web rasmi atau platform media kementerian atau agensi bertanggungjawab?

Laporan ini penting kerana pemegang taruh boleh ikut serta sekiranya ada keperluan kerjasama antara kedua-dua pihak bertujuan menyelesaikan sesuatu isu atau mempromosikan sesuatu kempen. Dan mengelakkan perbincangan isu lapuk pada setiap dialog awam, tetapi terus kepada isu dan cabaran semasa. Sebagai contoh, isu royalti muzik sehingga kini dibincang tanpa satu ketetapan dibuat oleh badan pentadbir.

Pemegang taruh mahu melihat kejujuran dan keterlibatan daripada pihak berkuasa dalam industri muzik. Mereka ingin memahami keputusan dan langkah-langkah diambil serta punya peluang untuk memberikan pandangan dan cadangan. Mereka mahu mendengar penjelasan mendalam tentang dasar-dasar dan keputusan yang mempengaruhi industri muzik. Mereka ingin memahami latar belakang dan alasan di sebalik keputusan-keputusan tersebut.

SOLUSI
Mereka ingin berasa pandangan dan keprihatinan mereka diambil kira dalam proses pembuatan keputusan. Ini memberi mereka rasa memiliki dan keterlibatan dalam membentuk arah industri muzik. Mereka ingin melihat cabaran-cabaran dihadapi oleh industri muzik diakui dan dibincangkan secara terbuka. Mereka mungkin boleh membantu mencari solusi dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah dihadapi oleh pelbagai pihak dalam industri.

Mereka mahu melihat industri muzik terus berkembang dan berinovasi. Ini termasuk mengenali peluang baharu serta merangka langkah-langkah untuk menggalakkan pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri.

Mereka mahu mendapatkan akses kepada maklumat terkini dan sahih mengenai perkembangan terkini dalam industri muzik. Ini membantu mereka membuat keputusan berdasarkan data dan informasi yang tepat.

Secara keseluruhannya, pemegang taruh mahu melihat dialog awam memberi ruang untuk keterlibatan, maklumat dan interaksi bermakna untuk membantu membentuk masa depan industri muzik yang lebih baik.

Ada 12 kementerian terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri muzik. Malangnya, industri muzik tidak punya penjaga khusus seperti industri filem yang dijaga oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) yang diluluskan oleh Kabinet pada 14 Julai 2021 masih tidak ada khabar berita sehingga kini.

Antara kementerian yang terlibat secara langsung dalam industri muzik ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Kementerian Komunikasi dan Digital; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pendidikan Malaysia; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kewangan.

Kementerian yang tidak terlibat secara langsung tetapi mempunyai implikasi terhadap industri muzik ialah Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Dalam Negeri.

Penyertaan dalam sesi dialog awam adalah tanggungjawab setiap pemegang taruh dan menjadi kewajipan mereka untuk hadir dalam sesi dialog awam sekiranya ingin membentuk landskap industri muzik yang lebih inklusif, berinformasi dan berdaya maju.

Kesungguhan badan pentadbir hanya akan dapat dinilai sekiranya mereka dapat menyediakan Laporan Pasca Dialog Awam yang dapat diakses dan dimuat turun di platform tertentu oleh sesiapa sahaja pada masa hadapan.-UTUSAN

PENULIS ialah bekas Penasihat Industri Kreatif/Muzik Kementerian Komunikasi & Multimedia dan Perunding Diplomasi Bahasa dan Budaya, Kementerian Luar Negeri. Kini Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat swasta dan Pengerusi Pertubuhan Republik Muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×