Carilah 10 pemuda itu… - Utusan Malaysia

Carilah 10 pemuda itu…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini tahun 2023. Bukan lagi di tahun-tahun 1990-an dan 1980-an. Kita masih hairan mengapa ada parti politik sibuk mendambakan ahli.

Mahu keahlian sampai beratus ribu, berjuta-juta. Mengapa perlu begitu? Ahli tidak menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum. Rakyatlah pengundi dan ‘raja’nya yang harus dijaga.

Tolehlah kepada parti-parti lain. Berapa aktif, agresif akar umbinya? Mereka hanya ada pejabat kecil di negeri sahaja. Tidak ada pun apa yang sering dilaung dipanggil ‘pergerakan akar umbi’ atau grassroots. Ada parti di setiap ceruk daerah dan bahagian punya pejabat. Tapi adakah ia bermanfaat untuk parti?

Akhirnya kalah juga. Ahli parti tikam belakang bagi undi kepada pihak musuh. Boleh difikirkan – apakah perlu yang dipanggil ‘cawangan, bahagian, cabang atau ranting’ dirombak secara radikal? Sistem bahagian sudah tidak rasional, perlukan sistem yang baharu? Di kala sesebuah parti bergerak sebagai pembangkang dan ketiadaan wang, parti dominan harus ikut cara mereka.

Bermodalkan air liur. Publisiti percuma. Tiada lagi TV3 dan RTM. Namun yang perlu parti lahirkan ramai ikon anak muda. Tidak cukup dengan si polan si polan berapa kerat sahaja. Sesebuah parti perlu lebih ramai lagi.

Apa yang diperlukan oleh parti untuk menghidupkan semula api perjuangan yang masih berbaki? Parti hanya perlukan 10 pemuda yang tidak perlu pun menjadi ahli parti. Tetapi pintar dan cerdik mengintai peluang. Bijak komunikasinya. Kreatif, mahir bekerja sepasukan (kolaboratif), kreatif dan kritis.

Kalau kita amati dalam-dalam, teliti dalam post-mortem enam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu, benarlah kata Soekarno: “Beri aku 10 Pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia”.

AYAM SABUNG

Siapa ayam sabung Perikatan Nasional (PN) yang ucapannya berdegar-degar, berapi-api sehinggakan pengundi tak pasti benar atau tidak faktanya tetapi berjaya meruntun hati sebahagian besar orang Melayu. Bukan sahaja itu.

Dia berjaya pula ‘memerangkap’ pihak musuh menyerangnya sehingga memakan diri sepertimana seorang negarawan pada 9 Mei 2018 meraih imbalannya hasil diri dan keluarga dihentam bertalu-talu yang mengundang simpati dan sokongan pengundi.

Ketika yang lain tidak menyerlah, dia bukan setakat memenangkan parti di negerinya sendiri, bahkan impaknya menempias ke Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu. Itu baru seorang, kalau ada sembilan lagi pemuda sebagaimana disebut Bung Karno itu, laluan ke Putrajaya empat tahun lagi barangkali lancar tiada aral.

Parti perlu dibebaskan daripada pendekatan lama yang dilihat sebagai kelemahan diri sendiri yang dahsyat. Parti perlu kuasai media sosial. Tawan TikTok, WhatsApp, Twitter (sekarang X) dan Facebook. Wujudkan sukarelawan maya. Tarik mereka yang kreatif bikin video, montaj yang cool.

Cukuplah membayar syarikat sebelum ini. Membazir semuanya ke laut. Cari arus baharu. Pakat dengan kumpulan baharu. Hatta dengan saluran baharu yang lebih segar.

Pantas memintas dan mematahkan isu supaya tidak berlarutan. Serangan terhadap sebuah parti politik pada PRU14, PRU15 dan enam PRN dua minggu lepas sangat dramatik dan bertali arus. Serangan ‘satu tala dua’ terhadap presiden parti dan kerjasama dengan musuh ketat selama berdekad-dekad telah menumbangkan keseluruhan jentera parti.

Parti hanya perlu mencari satu atau dua isu. Di pihak sendiri atau parti lawan. Mulakan pada waktu yang betul di tempat yang sesuai. Biarkan ada kesan rantaian dan disambut dan disebarkan sendiri oleh khalayak. Gunakan teknologi sebaran seperti push technology dan creative media.

Perlu berfikiran sebagai 10 jeneral muda yang realistik, berfikiran terbuka dan menerima kritikan. Mahir terjemahkan peluang kepada sokongan yang dapat dizahirkan di atas kertas undi. Mesej sampai betul atau tidak, itu perkara kedua.

Parti perlukan pemimpin yang mahir matematik. Tentang nisbah pengundi berbanding pecahan kaum bersama potensinya sebagai pembelot. Sebuah parti dikenali ‘terbesar orang Melayu’ kalah kerana melakukan kesalahan berulang. Parti itu setia kepada kuota kaum dan semangat setia kawan antara kaum, sambil mengetepikan matematik pengundi. Winnable candidate bukan the winning formula.

Tatkala ada parti sibuk melakukan ‘pembersihan’ dan mencantas beberapa warlord, di sebelah pihak sana pula menggalakkan penyatuan dengan tawaran-tawaran cukup cantik. Antaranya meletakkan anak dan rakan sang warlord sebagai ganti mereka.

Malang bertimpa kepada parti bilamana Wanitanya bukan lagi sebagai penggerak dari rumah ke rumah. Pemudanya bukan lagi sebagai pendesak yang lantang. Puterinya pula bukan lagi sebagai pemikat anak muda.

ORATOR, CERDIK PANDAI

Kesan sistem kebobrokan ini, parti hilang segalanya. Tiada lagi pemimpin orator. Tiada lagi cerdik pandai. Tiada lagi agamawan yang ikhlas di pentas. Tiada lagi pemimpin sejati. Tiada lagi apa-apa. Yang tinggal hanya pemimpin yang kurang serba serbi. Parti dan pemimpinnya perlu kelihatan bersih, meyakinkan dan berketerampilan.

Yang penting ialah 10 pemuda tadi perlu dilihat bersih dan menjadi model buah hati rakyat Malaysia. Gunakan segala platform untuk menyebarkan mesej kreatif. Mengambil tugas daripada pemimpin lama parti secara bersopan dan tidak melanggar adat parti yang menunjangi budaya Melayu.

Kurangkan talkshow mengeluarkan statistik ‘gebang’ boleh menang ‘60 kerusi ke 70 kerusi’ bersandarkan ‘fakta’ ikut formula sendiri. Orang awam ‘meluat menyampah’ mendengar cadangan demi cadangan, pembentangan demi pembentangan seperti tesis ijazah pertama. Lebihkan fakta dan bukti, dalam bentuk audio, video dan kinestatik.

Bila kalah pilihan raya, jangan asyik salahkan ketua dan pemimpin atasan. Semua perlu bertanggungjawab sehingga ke peringkat bahagian, cawangan, cabang dan rantingnya. Bila ada keistimewaan menjadi ketua bahagian, maka rasa mahu duduk lama.

Tidak mahu lepas jawatan kepada muka baharu. Jadi, caranya sekat orang lebih pandai dari dia. Maka dipilihlah hanya yang suam suam kuku menjadi ahli. Semuanya kerana mahu menjamin kedudukan kekal sebagai ketua bahagian.

Sistem pemilihan parti untuk mengangkat pemimpin jangan lagi dikekalkan sistem undian lama – sistem chai. Malah di kertas undi juga formatnya mengizinkan sistem chai ini berleluasa. Apa itu chai? Ia lebih kepada sistem undian yang cincai.

Perwakilan tidak tahu siapa yang mereka undi. Mereka sudah disiapsiagakan dengan senarai nombor yang harus mereka pilih. Siapa yang menentukan set chai ini? Soalnya di mana demokrasi dalam parti?

Untuk kelihatan sesebuah parti politik itu disucikan, diinsafkan dan dilahirkan semula, tidak mudah. Cuma jangan berputus asa. Teruskan perjuangan kerana masih banyak, malah lebih ramai orang Melayu yang mahu kegemilangan bangsa yang hebat ini dikembalikan.

Anggaplah kita sedang berjuang sekali lagi untuk mendapatkan kemerdekaan total. Cuma, caranya berbeza kali ini. Jika semua yang disebutkan tadi tidak dilakukan, mana-mana parti pun sedang menggali lubang kuburnya sendiri. Carilah 10 pemuda itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN