SIAPA sangka Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih berpeluang bertanding dan menang di enam negeri, 12 Ogos ini.
Kalaulah kerajaan negeri Pas dan PH tempoh hari turut sama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak negeri-negeri lain menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lepas, tidakkah naya buat PH dan BN?
Bacaan sembilan bulan lalu adalah kesemua kerusi DUN di Kelantan, Terengganu, Kedah alamatnya gone with the wind daripada saingan dan cabaran BN dan PH.
Di Pulau Pinang pada PRU15, kebarangkalian lapan hingga 10 kerusi DUN jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat disangkal. Ia susulan dua kubu kuat BN iaitu kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor dirampas gabungan itu. Kekalahan paling mengejutkan di Permatang Pauh apabila Nurul Izzah Anwar tewas di tangan calon PN, Fawwaz Md. Jan. Kerusi itu dipegang keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1982.
Di Selangor pula waktu itu, sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN milik PH dan BN turut terbang ke PN. Ini ekoran kerusi Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang disapu PN waktu itu.
NEGERI SEMBILAN TIDAK TERGUGAT?
Namun senario gelombang hijau melanda kerusi-kerusi DUN di Negeri Sembilan tidak pula akan berlaku sekalipun DUN dibubarkan serentak dengan Parlimen. Sebaliknya peluang penguasaan kerajaan negeri lebih memihak BN. Ia susulan keputusan PRU15 itu menyaksikan Negeri Sembilan kembali menjadi kubu kuat BN. Ini apabila parti itu berjaya merampas dua kerusi Parlimen dan mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Dua kerusi Parlimen yang berjaya dirampas ialah Kuala Pilah dan Tampin. Tiga kerusi yang berjaya dipertahankan ialah Parlimen Rembau, Jelebu serta Jempol. Kejayaan itu sekali gus membolehkan BN dapat kembali menguasai lima daripada lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Negeri Sembilan.
Rumusan tadi hanya sekadar andaian jika keenam-enam negeri berkenaan termasuk Pulau Pinang membubarkan DUN, November 2022.
Namun hari ini sesiapapun maklum politik Malaysia cukup dinamik. Boleh ditukar kepimpinan bila-bila masa sahaja.
Dalam kalangan parti, UMNO yang menunjangi BN paling bernasib baik. Orang UMNO sewajarnya bersyukur kerana PN dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan tidak tergerak pula mahu membentuk pakatan bersama mendirikan kerajaan dengan PH. Meskipun dititah Yang di-Pertuan Agong, PN tetap tidak berganjak. Kalau terjadi kesepakatan itu, takkah melukut di tepi gantang UMNO?
Mahukah Pas dan Bersatu serahkan begitu sahaja kerusi-kerusi DUN di tiga negeri ini kepada calon UMNO untuk ditandingi? Bukankah UMNO gagal meraih sebarang kerusi Parlimen di tiga negeri itu dalam PRU15? Maka terpaksalah UMNO bertanding di kerusi-kerusi marginal yang sah tidak selamat untuk dimenangi? Atau terpaksa bersaing di kerusi-kerusi yang majoritinya didominasi pengundi bukan Melayu?
Itu perkiraan atas kertas kepimpinan UMNO tempoh hari – punca utama penolakan penyertaan ke PN. Lagi pun difahamkan, tawaran diberikan oleh PH kepada UMNO untuk survival parti waktu itu lebih terbuka, jujur dan berterus terang.
Perak, bukti awal sehingga menteri besarnya diangkat daripada orang UMNO meskipun boleh sahaja PH meletakkan orangnya ke jawatan itu. Di peringkat Pusat, percaturan dalam Kabinet kerajaan perpaduan dikatakan cenderung memihak UMNO. Apa lagi dimahukan untuk parti kalah seperti UMNO?

STATUS QUO?
Itu antara contoh dinamiknya politik Malaysia hari ini. Parti kalah yang bilangan kerusinya cuma 26 masih mampu berperanan besar dalam kerajaan.
Jadi, jika ada pemimpin parti yang masih mengatakan, “Usah berangan untuk parti lain menawan negeri aku kerana lapan bulan lalu kamu kalah semua kerusi Parlimen,” pengamatan sedemikian jelas tidak lagi relevan untuk politik Malaysia.
Waima apa pun, tarikh 12 Ogos ini menjadi eksperimen berharga untuk kedua-dua gabungan politik terbesar, PH-BN dan PN menghadapi PRU16.
Meskipun empat tahun lagi PRU akan berlangsung, kesan enam PRN ini jika tidak berpihak kepada PH-BN, pasti mencetuskan gelora. Seterusnya merebak gelombangnya ke arah PRU16. Sama ada nanti tarikh PRU mengikut jadual sepenggal, akan bergantung kepada impak PRN ini.
Ini terutama jika Selangor dan Pulau Pinang dirampas oleh PN. Sekalipun kerajaan Pusat tidak tergugat, kehilangan dua negeri ini memberi kesan besar dari segi imej, pelaburan dan kewangan kepada Pusat. Dari aspek pelaburan asing, mereka akan melihat ‘kejanggalan’ bila mana dua negeri terkaya ini tidak berada dalam penguasaan Pusat.
Namun setakat ini di atas kertas, PH-BN sukar digugat di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Belum ketara demam PRN melanda tiga negeri ini, melainkan di tiga negeri yang dimiliki Pas.
Barangkali status quo? Berkemungkinan besar.
Tetapi keajaiban juga tidak boleh ditolak milik PH-BN jika pengundi di Terengganu dan Kedah mahu beralih angin.-UTUSAN