Spekulasi harga barang naik hanya pendapat peribadi

Spekulasi harga barang naik hanya pendapat peribadi

RAKYAT tidak perlu terlalu risau dengan spekulasi kenaikan harga barangan sehingga 20 peratus menjelang Oktober ini kerana ia hanyalah pendapat peribadi pihak pengeluar dan penjual. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKYAT tidak perlu terlalu risau dengan spekulasi mengenai kenaikan harga barangan sehingga 20 peratus menjelang Oktober ini kerana ia hanyalah pendapat peribadi pihak pengeluar dan penjual yang antara sesama mereka sendiri pun tidak sekata. Di pihak pengeluar, kenyataan itu dibuat oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan bahawa pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahlinya sejak Januari lalu.

Dakwa beliau, peningkatan kos itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak 10 peratus sehingga mendorong berlaku inflasi import pada kadar tinggi yang dikatakan meningkatkan kos pengeluaran sepanjang rantaian bekalan barangan.

Nivas berkata, peningkatan harga barangan di peringkat pengguna akan mula berlaku suku ketiga tahun ini, iaitu September pada kadar sekurang-kurangnya 20 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini berbeza daripada pendapat Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin. Mengikut Ameer, kenaikan harga barangan mungkin mula berlaku pada Ogos dan September tahun ini didorong faktor kelemahan ringgit berbanding dolar dan peningkatan kos menjalankan perniagaan ekoran kenaikan dalam gaji minimum dan bil utiliti (elektrik). Bagaimanapun, kadar peningkatan harga barangan yang dijangka oleh Ameer adalah jauh lebih rendah di mana jangkaan Ameer adalah kadar peningkatan itu hanya antara lima hingga 10 peratus berbanding kadar sekurang-kurangnya 20 peratus yang disebut oleh Nivas.

Berdasarkan dua kenyataan ini, kita dapat melihat bagaimana Nivas selaku Presiden KLSICCI hanya menyuarakan kepentingan peniaga dan industri India sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tetapi ini tidak mewakili semua peniaga dan industri lain termasuk Cina dan Melayu.

Kenyataan Ameer selaku pihak penjual pula walaupun juga tidak mewakili kesemua penjual lain, dilihat lebih membumi ke bawah dengan membuat jangkaan kenaikan harga barangan yang jauh lebih rendah, namun pada dasarnya memperjuangkan hasrat peniaga menjaga keuntungan.

Hakikat bahawa kenyataan kedua-dua mereka tidak mewakili pemain industri lain terbukti bila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, hasil libat urus kementeriannya dengan 30 pemain industri pada minggu lepas membolehkan kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan yang melampau sehingga hujung tahun ini.

Namun begitu, kenyataan Ameer pada masa sama merupakan satu pengakuan kepada usaha murni kerajaan memperjuangkan nasib golongan pekerja dengan menaikkan kadar gaji minimum mereka daripada RM1,200 ke RM1,500 yang sepatutnya disambut baik oleh rakyat.

Bukan sahaja kadar gaji minimum golongan pekerja yang dinaikkan, malah banyak lagi bantuan lain turut dinaikkan oleh kerajaan bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dan ini membuktikan keprihatinan kerajaan ke atas nasib mereka. Antaranya Sumbangan Tunai Rahmah yang dinaikkan sehingga RM2,500; Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan menjadi RM150; e-dompet dinaikkan menjadi RM200 dan elaun sara hidup pelajar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dinaikkan menjadi RM1,100.

Begitu juga bantuan kepada golongan lain yang turut dinaikkan, iaitu elaun 35,000 guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) menjadi RM1,100 sebulan, dan sumbangan kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA serta guru takmir menjadi RM600 sebulan.

MADANI

Kerajaan juga memperkenalkan tiga inisiatif baharu bagi menurunkan harga barangan, iaitu Jualan Madani dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan mentah; Menu Rahmah dengan harga makanan siap serendah RM5; serta Insurans dan Takaful Rahmah serendah RM5 sebulan.

Perkhidmatan percuma juga diberi kepada rakyat, iaitu rawatan percuma di klinik swasta terpilih; perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) percuma kepada pelajar dan orang kurang upaya (OKU); serta permohonan kemasukan ke universiti menerusi UPUOnline percuma.

Oleh sebab itu, jika pun ada kenaikan harga barangan, intervensi yang dilakukan oleh kerajaan dengan menaikkan kadar bantuan kepada pelbagai golongan, menurunkan harga barangan tertentu dan memberi perkhidmatan percuma sepatutnya mampu menangani kenaikan harga ini.

Fenomena kenaikan harga barangan ini juga adalah sesuatu yang lumrah dihadapi oleh negara-negara lain yang mengalami penurunan nilai mata wangnya. Cuma dalam konteks Malaysia, ia tidaklah teruk kerana kadar inflasi tidaklah seteruk di beberapa negara lain.

Seperti diumumkan, inflasi Malaysia menurun kepada 2.8 peratus pada Mei lalu berbanding 3.3 peratus pada April 2023 manakala inflasi keseluruhan pada suku pertama 2023 juga semakin turun kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku keempat 2022.

Di samping itu, beberapa petunjuk utama ekonomi negara lain seperti kadar pertumbuhan, kadar kemasukan pelaburan asing dan kadar pengangguran juga semakin membaik. Pada masa sama, kerajaan sedang bekerja keras untuk memulihkan nilai ringgit seperti asal.

Oleh itu, inflasi import disebabkan kenaikan pelbagai harga barangan import ini bukanlah sesuatu yang akan berterusan. Dan kerajaan juga sedang mengambil pelbagai langkah serius untuk mengelakkan kenaikan harga barangan yang keterlaluan ketika ini.

Komitmen kerajaan terbukti melalui mekanisme pengwujudan kawalan harga barangan disertai oleh pemantauan lebih kerap pihak berkuasa ke atas kenaikan harga serta penyediaan ruang untuk rakyat melaporkan sebarang kenaikan harga yang berlaku di tempat mereka.

Dua kementerian, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memainkan peranan penting dalam hal ini dengan memastikan aktiviti pencatutan dan monopoli tidak berlaku serta bekalan mencukupi. Mungkin ada rahmatnya juga masalah sebegini berlaku kerana ia membuatkan kerajaan kini mula memikirkan strategi jangka panjang untuk membangunkan industri pertanian dalam negara bagi memastikan bekalan kita di masa hadapan tidak lagi terjejas oleh perubahan dunia. – UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×