MENGHIRUP udara segar dan bebas daripada pencemaran terutama asap rokok adalah hak yang perlu dipertahankan oleh semua orang. Keinginan melihat generasi Malaysia lebih sihat, bebas daripada amalan merokok menjelang 2040 menjadi pencetus kepada gerakan rakyat bagi membantu kerajaan dengan mewujudkan satu inisiatif yang agresif iaitu Tobacco End Game (Tega).
Tega terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Green Lung Malaysia, Ikram Health Malaysia, Medical Mythbuster Malaysia dan Public Health Malaysia yang mempelopori satu kempen, Generasi Penamat Rokok (GEG).
GEG dengan bahasa mudahnya adalah sasaran untuk mengurangkan prevalen (tersebar luas) atau perkadaran penduduk yang menghisap rokok. Hal ini sepertimana ditetapkan oleh pakar-pakar kesihatan sedunia.
Antara elemen digariskan dalam memastikan keberhasilan kempen ini adalah pengurangan sebanyak lima peratus prevalen merokok, menamatkan penjualan komersial produk tembakau dan denormalisasi serta menjadikan budaya merokok tidak diterima masyarakat. Selain itu, GEG menyasarkan sifar pendedahan serta penggunaan tembakau dan produk merokok kepada kanak-kanak.
Dalam memastikan usaha ini berhasil, beberapa rangka kerja digariskan. Pertama, memantau penggunaan tembakau dan polisi pencegahan. Kedua, melindungi orang awam daripada asap rokok. Ketiga, menawarkan khidmat bantuan untuk berhenti daripada penggunaan tembakau dan keempat, penguatkuasaan larangan iklan berkaitan tembakau, promosi atau penajaan syarikat tembakau.
Selain itu, memberi amaran tentang bahaya penggunaan tembakau dan peningkatan cukai terhadap tembakau juga antara lain merupakan rangka kerja digariskan bagi menggerakkan usaha GEG ini. Keseriusan kerajaan bagai aur dengan tebing.
Itulah peribahasa yang mungkin sesuai untuk diguna pakai sebagai simbolik kepada peranan yang harus dimainkan oleh semua pihak dalam memastikan keberhasilan kempen GEG ini.
Kerajaan seharusnya lebih serius dan berani dalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi kesejahteraan masyarakat akan datang. Semua ahli Parlimen pula perlu sebulat suara dan tidak gentar untuk menyokong serta menyegerakan pelaksanaan RUU ini.
Namun, sudah pasti RUU ini akan mendapat tentangan hebat daripada beberapa pihak berkepentingan terutama pemain industri. Jika dirujuk kepada anggaran Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan akan berdepan kos merawat pesakit akibat merokok sebanyak RM8.7 bilion dan kos rawatan kesan penggunaan rokok elektronik pula RM360 juta menjelang 2030 berbanding kutipan cukai dipungut.
Hal ini selari dengan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 yang menunjukkan terdapat peningkatan ketara pengguna rokok elektronik berusia 13 hingga 17 tahun, iaitu daripada 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).
KLINIK BERHENTI MEROKOK
Justeru, berdasarkan anggaran tersebut, sudah pasti kerajaan tidak akan rugi malah dapat menjimatkan kos perbelanjaan bagi rawatan penyakit-penyakit berbahaya akibat tabiat merokok ini pada masa hadapan. Sekarang adalah masanya kerajaan membuktikan keseriusan dan komitmen tinggi untuk melihat generasi hadapan yang lebih sejahtera dan madani.
Melihat kepada statistik dikeluarkan menerusi tinjauan itu, seharusnya menyedarkan kita akan kepentingan membendung gejala merokok ini dalam kalangan remaja serta masyarakat daripada semakin parah. Di samping itu, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan lebih daripada 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun berkaitan merokok.
Oleh demikian, tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan kempen GEG ini berjaya, ia harus bermula daripada diri kita sendiri sebagai salah seorang anggota masyarakat yang sedar dan prihatin. Jika ada dalam kalangan kita masih lagi seorang perokok, jadikan detik ini untuk mencipta nafas baharu yang lebih segar dengan mula berhenti merokok. Bertindak sekarang kerana hari esok mungkin bukan lagi untuk kita.
Tambahan pula, KKM menyediakan Klinik Berhenti Merokok di hampir setiap klinik kesihatan di seluruh negara bagi memberi peluang kepada perokok untuk berusaha berhenti daripada tabiat ini. Kunjungi klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan bimbingan serta rawatan berhenti merokok yang lebih teratur dan berkesan.
Anda akan dibimbing oleh pelatih bertauliah dan dibekalkan ubatan yang sewajarnya serta pemantauan lebih rapi sehingga anda betul-betul berjaya berhenti merokok. Tetapi yang penting, anda perlulah memberi komitmen yang baik dan bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok.
Di samping itu, anggota masyarakat lain seharusnya membantu dengan memberi galakan serta menghormati mereka yang ingin dan sedang berusaha untuk berhenti merokok. Kebanyakan perokok yang sudah berjaya berhenti merokok tetapi kembali terjerumus dengan aktiviti merokok ini adalah disebabkan faktor kawan atau kenalan sekeliling yang tidak membantu usaha mereka dalam proses pemulihan tersebut.
Mereka terpengaruh dan tergoda dengan ajakan kawan untuk kembali merokok apabila keluar bersama. Oleh demikian, sokongan dan dorongan masyarakat sekeliling terutamanya keluarga dan kenalan rapat amat mempengaruhi keterlibatan mereka. Jadilah keluarga, sahabat dan teman yang membimbing ke arah kebaikan dan kesejahteraan semua.
Ayuh jalankan tanggungjawab kita untuk menyebarkan risalah kesedaran ini kepada seluruh lapisan masyarakat. Pastikan semua anggota masyarakat di setiap pelosok serta penjuru negara kita tahu dan sedar kepentingan untuk melindungi generasi kita pada masa hadapan daripada produk tembakau.
Semoga pelaksanaan GEG ini akan dapat melindungi generasi kita yang lahir pada 2007 dan seterusnya daripada bahaya semua produk tembakau. Selamatkan Malaysia dan bebaskan Malaysia daripada asap rokok. – UTUSAN
DR. Muhammad Ashrul Affiq Abd. Halim ialah Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Telipok, Sabah dan Ahli Ikram Health Malaysia.











