PADA Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP meraih kejayaan paling cemerlang sepanjang penubuhannya. DAP bukan sahaja menang 42 kerusi Parlimen di seluruh negara, bahkan menang 100 peratus pada pilihan raya negeri (PRN) 2018, iaitu Kedah (2 kerusi), Pulau Pinang (19), Selangor (16) dan Negeri Sembilan (11).
Seperti PRN 2018, DAP tidak bertanding di Terengganu dan Kelantan pada PRN, 12 Ogos ini. DAP akan menumpukan sepenuh tenaga bagi mempertahankan kerusi-kerusi DUN yang sedia dipegang oleh mereka di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Maka, DAP akan bertanding sebanyak 47 kerusi DUN tanpa mengambil kira kerusi di Dusun Tua, Selangor yang mungkin diserahkan kepada UMNO.
Berapa kerusi boleh dimenangi DAP di setiap negeri terbabit?
KEDAH
Kota Darul Aman merupakan satu-satunya kawasan undi majoriti pengundi Cina. Maka, DAP dijangka mendapat sokongan padu dan menang di kawasan itu. Di kawasan Derga, 60 peratus pengundinya kaum Melayu. Jumlah undi dikutip Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada PRN lepas tidak jauh berbeza dengan undi diperoleh DAP, iaitu kira-kira 300 undi. Namun, disebabkan pengundi Melayu di Kedah banyak menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15, maka DAP mempunyai peluang tipis untuk memenangi kerusi DUN Derga pada PRN nanti.
PULAU PINANG
Pulau Pinang merupakan kawasan undi paling banyak pengundi Cina di seluruh negara. Jika 95 peratus pengundi bukan Melayu tetap menyokong Pakatan Harapan (PH), maka DAP berpeluang tinggi untuk menang di Pulau Pinang dalam PRN nanti. DAP mencapai kemenangan 100 peratus tiga kali berturut-turut di Pulau Pinang dalam PRN lepas. Pengundi Cina cenderung memilih parti dan bukannya calon. Lebih separuh pengundi di kawasan-kawasan dipertandingkan DAP terdiri daripada kaum Cina.
Bagi kawasan Datuk Keramat dan Sungai Pinang, walaupun pengundi Melayu agak ramai, tetapi terhad kepada 30 peratus sahaja. Maka DAP dijangka dapat mempertahankan kemenangan mereka di Pulau Pinang.
Berkenaan spekulasi bahawa Chow Kon Yeow akan dilucutkan jawatan Ketua Menteri setelah PRN tetapi kenyataan teguh Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke bahawa Kon Yeow akan dikekalkan jawatannya jika PH menang di Pulau Pinang. Maka, isu politik itu sudah selesai dan musuh politik tidak berpeluang untuk mengungkitnya lagi.
NEGERI SEMBILAN
Di Chennah, hampir separuh daripada pengundinya terdiri daripada kaum Melayu. Oleh itu, agak mencabar bagi DAP memenangi kerusi DUN Chennah. Namun, dengan adanya bantuan UMNO, tidak mustahil DAP boleh menang sekali lagi.
Berbanding lima negeri lain, kekuatan PN kelihatan lemah di Negeri Sembilan. Sebaliknya kuasa UMNO paling kukuh di Negeri Sembilan. Namun, apa yang merisaukan ialah UMNO cuba ‘belot’ di sesetengah kerusi agar mereka dapat memenangi lebih banyak kerusi daripada PH. Hal ini mungkin berlaku kerana semua sudah tahu bahawa UMNO bercita-cita tinggi untuk merebut jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
SELANGOR
DAP menang kesemua 16 kerusi DUN di Selangor pada PRN lepas. DAP berbudi baik dengan memberikan laluan kepada UMNO untuk bertanding di Dusun Tua yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu. DAP berbuat demikian kerana mereka ingin memenangi hati penyokong UMNO. Lagipun, DAP tidak begitu yakin dapat menang di Dusun Tua. Undi yang diperoleh DAP di Dusun Tua semasa PRN lepas hanya 53.16 peratus.
Namun pada masa itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih merupakan salah satu anggota parti gagasan PH manakala UMNO dan DAP merupakan parti lawan. Kali ini, UMNO dan Bersatu saling bertukar kedudukan untuk mendapatkan semula sokongan Melayu. Akan tetapi, UMNO perlu menyakinkan orang Melayu bahawa kerjasama dengan DAP tidak akan menggugat kepentingan kaum itu sama sekali.
DAP sangat mengharapkan dengan pelepasan kerusi Dusun Tua, UMNO akan berkempen untuk mereka di Sekinchan, Kuala Kubu Bharu, Sungai Pelek dan lain-lain kawasan campuran di mana pengundi Melayu melebihi 40 peratus.
Di kerusi Kota Kemuning, walaupun pengundi Melayu sebanyak 42 peratus, namun pengundi India di kawasan itu juga tinggi, iaitu 23 peratus. Undi campuran pengundi bukan Melayu merupakan faktor kemenangan DAP di kawasan itu. Di kerusi Kuala Kubu Bharu dan Sungai Pelek masing-masing mempunyai 18 peratus pengundi India. Mudah-mudahan, undi daripada pengundi India dapat membantu DAP mempertahankan kerusi-kerusi tersebut.
Kesimpulannya, DAP akan bertanding sebanyak 47 kerusi DUN di empat negeri. Cabaran besar bagi DAP adalah di Derga, Chennah, Sekinchan, Sungai Pelek dan Kuala Kubu Bharu yang merupakan kawasan undi campuran dengan majoriti pengundi Melayu. Pada keseluruhannya, DAP dijangka sekurang-kurangnya dapat memenangi 43 daripada 47 kerusi DUN yang dipertandingkan. Sasaran kemenangan DAP sebenarnya ialah Kedah (1 kerusi), Pulau Pinang (19), Selangor (15) dan Negeri Sembilan (11).-UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










