DI Malaysia, istilah concert umumnya sudah lama mengundang keraguan nilai dan budaya. Istilah Inggeris ini sering mengimbau sosok budaya dan nilai Barat yang tidak secocok dengan kefahaman dan penghayatan tempatan. Tiada istilah sama dalam bahasa Melayu. Kita ada beberapa kalimah seperti aneka ragam, sandiwara, panggung, pentasan dan sebagainya. Bukan umpama konsert, ia tidak membawa rasa negatif dan patuh nilai setempat dalam memahami kesusilaan dan kesopanan tempatan.
Apa pun, teringat kita pada pertengahan bulan lalu akan arahan yang konsert dihalang oleh pihak tertentu di semua kampus awam seluruh negara. Jika diteruskan juga, akan dikenakan pelbagai denda dan dikompaun sehingga RM25,000. Yang swasta sering terkecuali, entah mengapa? Sebabnya dikhabarkan kesusilaan dan kesopanan dilanggar dalam sebuah konsert anjuran kampus di Pantai Timur. Hukuman ini nampaknya berat tetapi tidak keterlaluan jika kesusilaan dan kesopanan dinodai sekecil mana pun. Kerana ia mudah merebak dan kesudahannya tidak dapat dibendung lagi. Bagai perasuah akal budi. Terbabas tatkala lingkungan nilai dilewati khususnya atas nama nilai seni dan budaya. Nilai apa? Budaya siapa?
Paling jelas adalah budi bahasa dan pekerti yang melambangkan nilai budaya sesuatu bangsa. Namun, tidak semua budaya mempunyai pandangan yang sama. Semasa belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), saya terkenang akan seorang Sasterawan Negara. Dalam persembahannya meminta maaf kerana menggunakan ungkapan, “Betisnya bunting padi!” Begitu peka dan sopannya berbanding semasa kini apabila mencarut-carut masih dianggap biasa belaka. Baik di khalayak ramai termasuk medan tertinggi umpama Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), mentang-mentanglah diberi kekebalan berbahas. Tetapi tidak semestinya ingkar batasan budaya bangsa! Dan tutur bahasa.
Dalam kerangka dan kefahaman ini, kita amat terkejut apabila satu lagi konsert antarabangsa dibenarkan mendarat di bumi ini. Apatah lagi ia mempunyai rekod kebiadaban di negara-negara lain sebelum ini. Tidak kiralah apa kesudahannya di negara tersebut, namun Malaysia sewajarnya sudah penuh berwaspada. Kononnya permintaannya pernah ditolak suatu masa dahulu tetapi kini berjaya menembusi tembok lampau.
Adakah terbukti yang mereka sudah bertukar dari segi tata susilanya? Atau satu lagi pusingan U bagi pihak berwajib? Ataupun sekadar kata dan janji manis sahaja? Ternyata ada yang telah termakan dengan hujah mereka pada kali ini, sedangkan perlakuan terkini di sebuah negara Asia Barat masih menunjukkan keangkuhan luar batasan.
Menegas kembali maksud konsert melalaikan serta merasuk khalayak ramai. Tiada beza sepertimana dipersembahkan oleh penyanyi utama kumpulan berasal dari negara penjajah itu. Gelagat atas pentas bak kera sumbang, tidak mempedulikan sama sekali cara dan budaya kita. Mereka mengasak sahaja sesuka hati. Sebagai tetamu, enggan langsung mengambil iktibar.
SORAK-SORAI
Lebih mengutamakan hak serta kekuasaan tersendiri, tidak ubah sebagai penjajah dahulu kala. Yakni mengetepikan sahaja apa yang tidak sepadan dengan kehendak mereka. Hanya kali ini caranya agak lain, bersenjatakan irama dan hiburan yang secara halus menenggelamkan nilai budaya teras penghidupan masyarakat setempat. Pada warga tempatan yang masih ragu-ragu, apa lagi sinis dengan nilai budaya sendiri, akan dibaham habis-habisan. Ramainya anak-anak muda kehilangan punca. Bertepuk sorak-sorai bersama-sama.
Pendek kata, apa yang diperlihatkan bukannya budaya dalam erti kata sebenarnya. Lebih bersifat dangkal mencari keuntungan melalui ejen-ejen tertentu yang langsung tidak berpengaruh mengawal apa yang akan berlaku semasa konsert mula bermaharajalela. Seolah-olah mengharapkan pagar, pagar makan padi – hilang pedoman dan maruah menjadi adegan kelakar bodoh, bahan diketawakan. Tidak langsung bertamadun. Malangnya pada ketika itu, nasi sudah menjadi bubur. Baharu kedengaran saranan untuk mengetatkan syarat berkonsert yang dicuaikan.
Kini kita di persimpangan tersebut. Terpaksa menanggung malu tidak terhingga, tambahan menanggung kos yang tinggi kerana kegagalan menepati itu dan ini. Arang sudah pun terconteng di wajah negara pada mata dunia. Anehnya, Malaysia pula dituduh sebagai penyebab kerana tidak secocok dengan pemikiran mereka atau enggan mengikut telunjuk dan selera mereka.
Malaysia dikatakan tidak madani seperti yang sering kedengaran dalam usaha memadanikannya. Hatta, dikatakan jumud, sebuah nanny state belum matang, diancam pula dengan pelaburan juga tidak senang dengan kekolotan cara yang mereka capkan.
Sementera itu, ura-ura membatalkan konsert yang sama di Indonesia serta Taiwan ditujukan kepada kerajaan Malaysia ekoran tindak-tanduk yang mereka alami. Dengan cara ini, mereka seolah-olah menjadi mangsa atas perbuatan songsang yang terang-terangan terpapar seantero.
Namun, kedurjanaannya terus terserlah dalam mendusta perilaku yang hodoh, terus mengelirukan ramai – apakah ini budaya yang ingin dibangunkan? Mengapa pula budaya dijadikan tunggangan mencari nama dan harta bagi mengisi tamak haloba antara mereka? Dalam pada itu, segolongan peguam berani mengambil langkah untuk membawa kes ini ke muka pengadilan secara kelas. Supaya tidak diperbodohkan.
Semoga usaha murni ini beroleh kejayaan dan dapat mengembalikan erti budaya sebenarnya tanpa mengorbankan nilai dan maruah budaya kita! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










