Sampai bila nak hadap kos sara hidup tinggi?

Sampai bila nak hadap kos sara hidup tinggi?

RAKYAT sebagai pengguna tetap menjadi mangsa keadaan dan perlu membayar lebih untuk mendapatkan barangan keperluan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU peningkatan kos sara hidup terus mencengkam kehidupan rakyat. Pelbagai dapatan kajian dan laporan yang dibentangkan membuktikan masalah ini sangat serius, sekali gus menuntut perhatian dan penyelesaian tuntas kerajaan melalui inisiatif jangka pendek dan panjang.

Penduduk bandar antara dikenal pasti sedang menjalani kehidupan sangat getir dek kos untuk hidup semakin meningkat seiring lonjakan peningkatan harga barang serta purata gaji dan upah. Misalnya, berdasarkan panduan Belanjawanku 2022/2023 diterbitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, kos hidup untuk golongan bujang di Lembah Klang meningkat RM60 kepada RM1,930 berbanding RM1,870 dalam Belanjawanku 2019.

Perkara sama bagi pasangan suami isteri tanpa anak yang memerlukan RM4,630 untuk hidup selesa berbanding RM4,420 sebelum ini. Bagi pasangan suami isteri dengan dua anak, anggaran kos diperlukan untuk hidup di Lembah Klang sekitar RM6,890 sebulan berbanding RM6,620 pada 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam konteks ini, hidup selesa ditafsirkan sebagai mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas, menjalani kehidupan bermakna dan bermatlamat, membabitkan diri dalam aktiviti komuniti serta meluangkan masa bersama keluarga. Jelas ini antara keperluan dan tuntutan hidup yang wajar serta paling asas, bukannya kehendak gaya hidup mewah.

Pada masa sama, dapatan kaji selidik Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) menunjukkan data lebih membimbangkan apabila 52 peratus rakyat didapati sukar untuk mengetepikan RM1,000 bagi kegunaan kecemasan dengan 84 peratus hanya membuat simpanan jangka pendek dan mengeluarkannya semula pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian.

GAJI PROGRESIF

Fakta ini jelas menunjukkan kehidupan sebahagian besar rakyat umpama telur di hujung tanduk kerana sedang menjalani kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bayangkan jika berlaku kecemasan, golongan ini tidak mampu berbuat apa-apa dan kemungkinan besar terpaksa membuat pinjaman. Paling ditakuti meminjam daripada ceti haram yang akhirnya menjerumus mereka ke masalah kewangan dan keselamatan lebih serius.

Jadi, inisiatif untuk mengurangkan kos sara hidup dan beban kewangan rakyat perlu diperkasakan melalui pendekatan lebih sistematik dan menyeluruh melalui dasar-dasar ekonomi dan kebajikan yang pragmatik berpaksikan kebajikan selain memupuk daya tahan masyarakat.

Secara umumnya, masalah kenaikan harga barangan serta kadar upah atau pendapatan yang rendah dikaitkan dengan kemampuan kewangan serta kos sara hidup rakyat. Justeru, dua perkara ini perlu ditangani segera melalui inisiatif cekap dan berkesan.

Misalnya, dalam soal kenaikan harga barangan keperluan harian, sampai bila rakyat perlu bergelut dengan masalah ini? Di satu sudut, harga barangan terus naik mendadak manakala di sudut lain pula berlaku kekurangan bekalan yang akhirnya membawa kepada kenaikan harga juga. Sudahnya rakyat sebagai pengguna tetap menjadi mangsa keadaan dan perlu membayar lebih untuk mendapatkan barangan keperluan.

Fenomena ini sudah berlarutan sekian lama dan masih belum nampak titik noktah yang boleh melegakan rakyat. Pengeluar, pemborong dan penjual ada sahaja 1,001 alasan untuk menaikkan harga barangan sekali gus mengaut keuntungan tatkala pengguna hanya mampu merungut dan mengalah.

Jadi, selain pendekatan pemberian subsidi bersasar untuk membantu golongan kurang berkemampuan, diharap kerajaan perkasa juga inisiatif dan langkah penguatkuasaan sewajarnya untuk mengawal peniaga daripada terus mengambil kesempatan.

Hal ini penting kerana tiada jaminan harga barangan akan turun atau terkawal serta kebajikan rakyat terpelihara jika hanya bergantung harap kepada subsidi andai peniaga tidak dikawal.

DISKRIMINASI

Selain itu, inisiatif untuk memperkenal dan melaksanakan sistem gaji progresif perlu disegerakan. Umumnya, gaji progresif adalah pendapatan yang dibayar berdasarkan pengalaman, kemahiran dan kelayakan pekerja di mana ia mengurangkan diskriminasi. Pelaksanaan sistem ini diyakini mampu memberi situasi menang-menang kepada pekerja, majikan dan negara dalam jangka masa panjang apabila produktiviti dapat ditingkatkan.

Ironinya, semua pihak mengakui gaji dan upah di negara ini masih sangat rendah dan cukup tidak kompetitif. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sendiri baru-baru ini mengakui pertumbuhan gaji di Malaysia masih rendah berbanding negara serantau lain sekali gus memerlukan langkah segera bagi menutup jurang berkenaan.

Justeru, semua pihak terlibat baik kerajaan mahupun majikan perlu memberikan fokus kepada soal menaikkan gaji pekerja yang merupakan faktor utama mempengaruhi kehidupan rakyat. Walaupun keputusan untuk menaikkan gaji akan mengambil masa untuk diselesaikan kerana perlu membabitkan soal dasar serta sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, namun ia wajar dimulakan segera.

Di samping itu, satu lagi faktor perlu diberi perhatian ialah masalah berkaitan tahap literasi kewangan rakyat yang dilaporkan masih rendah. Misalnya, tinjauan FEN menunjukkan 69 peratus lebih suka berbelanja berbanding menyimpan yang menyebabkan mereka tiada simpanan untuk kegunaan jika berlaku kecemasan.

Ini membuktikan tahap perancangan kewangan masyarakat masih lemah menyebabkan mereka gagal mengurus belanjawan bulanan secara lebih teratur dan berhemat. Jadi, masyarakat perlu memiliki tahap literasi kewangan yang baik agar bijak membuat perancangan perbelanjaan dengan memberi perhatian kepada aspek keperluan berbanding kemahuan selain wajib menabung walaupun dalam jumlah sedikit untuk digunakan ketika kecemasan.

Tuntasnya, usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup perlu membabitkan kerjasama, iltizam dan komitmen semua pihak. Baik kerajaan, majikan mahupun masyarakat, masing-masing perlu memainkan tanggungjawab supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×