Mengembalikan penghormatan politik Malaysia - Utusan Malaysia

Mengembalikan penghormatan politik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYUH! Mari rakyat Malaysia jadikan enam pilihan raya negeri (PRN) nanti untuk mengembalikan penghormatan kita kepada orang politik.

Jadikan keputusan pilihan raya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebagai referendum atau pungutan suara menolak kedangkalan politik Malaysia dalam lima tahun kebelakangan ini.

Ya, pilihan raya suatu platform eksperimen berharga. Segala kemungkaran politik, undang-undang, ekonomi dan pentadbiran harus segera dipulihkan. Noktahkan auta-auta yang menggila dari tiktoker, youtuber atau dipanggil tentera siber yang licik memanipulasikan perkara sebenar yang berlaku. Anda pengundi, pergilah cari fakta. Rajin-rajinkan diri supaya keputusan di kertas undi tidak merugikan anak cucu, bangsa dan umat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang hairannya, kebanyakan orang kita bukan sahaja mudah dipengaruhi oleh perkhabaran berita politik, tapi dalam menjalani hidup sehari-hari pun terlalu senang ditipu. Kalau menjadi mangsa scammer sahaja oleh sindiket penipuan dalam talian usah cakaplah.

Perkara biasa. Dalam tempoh tiga bulan sahaja dari Oktober 2022 hingga Januari 2023, kerugian dilaporkan oleh National Scam Response Center (NSRC) sahaja mencecah kira-kira RM53 juta.

Itu hal duit. Memang besar kerugiannya nyata. Bagaimana pula ditipu dalam politik? Lagi haru-biru dibuatnya sebab ini berkaitan dengan survival anak bangsa. Babitkan masa depan anak cucu-cicit kita.

Cuma tidak nampak dalam jangka pendek impak negatifnya. Kesannya jangka panjang apabila peluang pekerjaan tiada, pengangguran menggila, harga barang naik sementara hidup peniaga kecil ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Hal-hal ini telah terjadi pun hari ini.

KITA perlukan lebih ramai lagi pemikir seperti (dari kiri) Dzulkifli Abdul Razak, Azmi Hassan dan Anuar Ahmad. Kepada intelek Melayu di menara gading atau seseorang yang tinggi namanya sebagai pemikir teruskanlah menyanggahi perkara yang nampak tidak baik dan tidak benar, dengan melontarkan idea-idea penyelesaian untuk manfaat agama dan anak bangsa.

DITIPU HIDUP-HIDUP

Yang amat membimbangkan bila kita sebagai pengundi tidak mahu berubah. Masih pilih wakil rakyat yang sama. Kena tipu hidup-hidup pun tetap obses dan taasub kepada orang itu. Padahal terang-terang depan mata dia membohongi kita dengan retorik, jenaka dan metaforanya.

Berhati-hati dengan tutur kata janji mulut dan tindak-tanduk sebilangan ahli politik. Ahli politik yang licik dan bersahaja adalah juga seorang pelakon handalan. Kehandalan berlakon inilah kadang-kadang membawa ahli politik ke mahkamah jenayah.

Mendiang Bob Hope, seorang penghibur Hollywood pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan ‘hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka.’

Padahal jika pengundi dan rakyat ambil serius, pasti sedar yang istilah politik itu sendiri melibatkan perbuatan meneladani alam sekeli­ling – manusia dan alam. Yang belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik. Bermakna, politik bersandar kepada sentimen dan perasaan orang ramai selain ketokohan dan keupayaan pimpinan seseorang.

Harus kita rakyat mengingatkan bahawa perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri wakil rakyat itu sendiri sebenarnya. Walaupun pada mulanya seseorang wakil rakyat itu tidak menye­dari hal ini, elemen pengorbanan dalam dirinya wajib ada dalam perjuangan.

Apa-apa yang diambil dari sistem itu akhir­nya akan berbalas dengan apa yang disumbangkan dalam bentuk khidmat. Jika pengorbanan itu melebihi ‘pengambilan’ dari sistem itu, satu hari kejayaan akan datang dengan sendirinya. Bolehlah dikatakan semacam karma politik yang sebenar.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.

SANGGAH, LONTAR IDEA

Yang mustahak dalam memecah tembok pemikiran lama, pengundi perlu jelas menilai parti mana sedang menjurus komitmennya membangunkan kehidupan rakyat. Ini perlu dibuktikan melalui dasar lebih jelas dan konkrit. Serta tidak sesekali mengabaikan janji-janji tempoh hari.

Ayuh, pengundi yang bijaksana, anda putuskanlah siapa calon atau parti pilihan yang berpotensi untuk perjuangkan nasib dan masa depan masyarakat dan negara ini. Enam PRN mendatang ini masa terbaik buat putusan – menjadi penanda aras pilihan raya umum akan datang.

Kepada intelek Melayu di menara gading atau seseorang yang tinggi namanya sebagai pemikir, teruskanlah menyanggahi perkara yang nampak tidak baik dan tidak benar, dengan melontarkan idea-idea penyelesaian untuk manfaat anak bangsa.

Kita perlukan lebih ramai lagi pemikir seperti Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan dan Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad.

Malah, semua pihak termasuk pusat-pusat pengajian Melayu mesti serius mengukur dan memperkemas rangka survival dan rangka keutuhan negara. Jangan putus asa, alpa dan kecewa.

Ini hanya dapat dicapai melalui usaha berterusan bina-negara (nation building) yang setakat ini belum tampak diyakini.

Apa lagi dalam memperbetulkan politik Malaysia yang cacamarba hari ini. Seharusnya ada tekad dalam kalangan pengundi pilihan raya untuk mengembalikan penghormatan orang politik. Buktikan kuasa anda dalam ‘memperbetulkan yang biasa, biasakan yang betul.’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×