Tradisi rewang Aidilfitri kekal di Scotland - Utusan Malaysia

Tradisi rewang Aidilfitri kekal di Scotland

KOMUNITI warganegara Malaysia yang tinggal di Scotland menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Raya Aidilfitri kali ini menawarkan pengalaman unik bagi kami apabila dijemput ke majlis sambutan hari raya anjuran komuniti warganegara Malaysia yang kebanyakan berkahwin dengan warga tempatan di Scotland.

Perkahwinan campur ini menjadikan majlis tersebut semakin istimewa kerana kami dapat melihat pelbagai bangsa menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan budaya Malaysia.

Sangat unik kerana kami dapat melihat mat salih dan ‘minah salih’ berpakaian baju Melayu, baju kurung, kebaya dan pelbagai lagi fesyen tradisional di samping pasangan masing-masing yang sememangnya anak Melayu. Bertepatan dengan lirik lagu:

Indahnya sungguh di hari raya,
Ramainya orang bersuka ria,
Adik ku manis cantik bergaya,
Bolehkah abang ikut bersama.

Masing-masing rancak bersembang dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama diselang-seli bahasa Inggeris menjadikan dewan tersebut sangat meriah kerana mereka sangat ingin menghargai setiap saat yang dimiliki.

Tidak dapat kami rasa pengalaman ini di Malaysia. Mereka dari genetik campuran membuatkan kami kagum dengan kesungguhan mengenakan pakaian kebangsaan serta cuba bertutur dalam bahasa Melayu untuk menjadikan mood raya ala Malaysia dapat diwujudkan sehingga saling tidak tumpah seperti di tanah air, Malaysia.

Kami turut melihat anak-anak hasil daripada perkahwinan campur ini bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik meskipun memiliki wajah orang Scotland. Terus terbayang pemain bola sepak negara seperti Corbin Ong, Darren Lok, Matt Davies dan ramai lagi. Saya terus mengelamun, jikalau mereka ini mewakili Malaysia, nescaya Harimau Malaya akan semakin hebat di peringkat antarabangsa.

Walaupun sudah lama bermastautin di Scotland, namun mereka buktikan tidak lupa jati diri sendiri dan negara asal. Mereka hadirkan Jalur Gemilang di setiap majlis seperti ingin beritahu akan kecintaan terhadap Malaysia, tanah air tercinta.

Kami terharu dan sebak melihat apa yang mereka pertontonkan untuk menjadikan majlis ini meriah dan penuh adat ketimuran. Mungkin disebabkan tidak pernah menghadiri majlis yang rata-ratanya dalam kalangan mereka yang berkahwin campur ini, kami sangat teruja dengan cara mereka bertutur, berkomunikasi dan bersosial.

Sopan dan penuh tersusun serta berhemah setiap perkataan dituturkan dan paling ketara, mereka sentiasa cuba mewujudkan nilai kasih sayang kekeluargaan dalam diskusi. Tidak lokek senyuman serta cerita-cerita mengenai kampung halaman di Malaysia.

Istilah ‘katering’ tidak diamalkan dalam majlis mereka kerana masih mengekalkan tradisi rewang (gotong-royong), iaitu muafakat dalam menganjurkan majlis. Kami sendiri lihat, kaum ibu menyusun makanan, menyiapkan hiasan. Kaum bapa pula sibuk mengangkat barang sambil membantu menyusun meja dan kerusi.

MAMI Rose (kanan) ibarat ibu bagi komuniti warganegara Malaysia yang tinggal di Scotland.

SUDAH SOLAT?

“Menakjubkan!” Itulah ungkapan yang keluar dari mulut saya apabila melihat Melayu, Scotland, bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina serta India bergotong-royong menganjurkan majlis itu.

Walaupun jarang bertemu dan ada yang tidak pernah bertemu langsung, namun mereka menunjukkan seperti telah kenal lama. Dalam tempoh singkat sahaja, majlis boleh dimulakan dengan penuh pengisian serta tersusun.

Mesranya mereka sehingga selalu kita dengar, “Sudah solat? Nak solat, boleh ke bilik yang disediakan.” Ada juga yang bergegas untuk sembahyang berjemaah dan turut disediakan ruang solat yang sangat kondusif serta bersih.

Ini membuktikan mereka tidak pernah lupa pada-Nya walaupun jauh dari negara sendiri. Bacaan doa tidak pernah tinggal dalam setiap majlis mereka.

Walaupun majlis ini lebih kepada komuniti kecil, namun penganjurannya telah dirancang dua tiga bulan lebih awal. Disebabkan itu jugalah, majlis sangat lancar serta penuh dengan pengisian.

Di setiap peringkat usia dapat merasai program-program yang bersesuaian dengan umur masing-masing dan tiada yang sempat berasa bosan mahupun suram.

Mami Rose ibarat ibu di sini. Beliau merupakan tunjang atau induk dalam memastikan kejayaan majlis-majlis berteraskan komuniti. Mengenali beliau menjadikan kita automatik patuh seperti kita taat kepada ibu sendiri.

Usaha Mami Rose sangat besar dan boleh saya katakan, sekiranya berada di Malaysia, beliau berhak menerima anugerah atau pingat kerana prinsip kekeluargaan yang diterapkan dalam komuniti ini menjadikan ahli-ahlinya sentiasa mengingati dan berkasih sayang.

Sebagai keluarga yang akan berada di Scotland dalam tempoh beberapa tahun, kami melihat segala kesungguhan sebegini wajib diteruskan dan konsep melahirkan pelapis perlu diteruskan agar budaya ini terus mekar harum di bumi Scotland.

Kami sangat bangga dengan kesungguhan mereka dan turut mendoakan agar pegangan mereka sentiasa utuh dalam rahmat kasih sayang-Nya. Akan diabadikan pengalaman ini agar kami dapat menceritakan kehebatan saudara kami di bumi Scotland.

Benar kata Hang Tuah, tidak akan hilang Melayu di dunia. Kami bangga menjadi anak Malaysia! – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kini berada di Edinburgh, Scotland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya