AMALAN rumah terbuka adalah satu budaya yang agak baharu dalam masyarakat kita. Sebelum itu, amalannya agak ringkas – menziarahi dari rumah ke rumah pada malam raya. Membaca doa dan sekali gus bermesra serta menjamu selera ala kadar.
Meriah dan terbuka. Bukan sahaja rumah tetapi juga hati. Tuan rumah amat berbangga mengalu-alukan sesiapa sahaja dalam rombongan tersebut khususnya sahabat taulan yang sudah lama tidak bersemuka. Apalagi kenalan baharu yang tidak sempat beramah mesra untuk mengeratkan silaturahim berkampung dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Formula ini kemudian dilebarkan pada siang hari raya pertama, umpama kenduri kahwin yang lebih terbuka. Tanpa perlu surat jemputan rasmi, sesuai bagi mereka yang datang dari jauh, rakan sepejabat serta kenalan warganegara yang lain.
Tujuannya mempereratkan hubungan sosial dan silang budaya selaras dengan semangat Syawal itu sendiri. Bermaaf-maafan dan bersalam-salaman sesama sendiri. Caranya sederhana bak ajaran Ramadan yang baharu sahaja berlalu. Tidak ada pembaziran, tidak juga berlebihan untuk menunjuk-nunjuk akan kedudukan serta pengaruh.
Namun, faktor terakhir inilah yang kini banyak mewarnai apa yang dikenali sebagai rumah terbuka. Bermula dengan terjemahan amalan budaya sederhana dan sejahtera, kini menjadi raksasa dan terpaksa!
Ia seolah-olah satu peluang untuk mencerminkan keprihatinan kepada rakyat khususnya dalam meraih apa sahaja yang mendatang kemudian hari. Ia sebagai satu pelaburan yang menagih pulangan dalam pelbagai bentuk kelak.
Bagi golongan usahawan misalnya, ia merupakan satu publisiti serta iklan perniagaan mereka. Kepada ketua itu dan ini, sebagai cengkeram kesinambungan kedudukannya, apalagi yang berunsur politik, sama ada betul atau tidak. Tambahan pula membawa cogan politik secara sengaja atau tidak.
Maka, ramai yang prasangka dengan bermacam tohmahan, sedangkan apabila berkuasa gelagat mereka sama sahaja. Semangat Ramadan dan Syawal seolah-olah terhakis serta-merta atas niat yang agak songsang bertaburan di merata media sosial.
Sehinggakan perbalahan serta pergaduhan timbul. Baik soal nasi lemak sekalipun melibatkan sebuah warung tidak dikenali akibat gagal mengawal diri dalam membudaya masyarakat bersyukur dan bermaruah.
Di negara lain mereka berbunuh kerana kurang makanan. Di sini sebaliknya. Cukup aneh jika tidak kerana alpa akan diri sendiri. Angkara sama juga pernah dilaporkan berlaku di majlis rumah terbuka apabila berpusu-pusu datang untuk mencari makanan percuma. Bukan sangat menziarahi. Adab dan budaya ditolak ke tepi.
Malah, ada yang kelihatan membawa beg tambahan untuk membungkus hidangan untuk rakyat jelata yang tidak turut serta kononnya. Kalau betul, mungkin konsep rumah terbuka perlu difikirkan semula supaya lebih adil dan saksama sebaik mungkin.
RUMAH TERBUKA VAPE
Selain itu, berita tentang anak-anak muda berhari raya di ambang nikotin juga merupakan satu lagi fenomena baharu. Ini akibat keputusan kementerian berkenaan ‘menghalalkan’ penjualan racun nikotin dalam bentuk vape gel atau cecair sebagai rokok elektrik (e-rokok). Malah hari raya kali ini serentak sebulan langkah duka ‘menghalalkan’ nikotin – 1 April.
Ia dikatakan menawarkan ‘juadah’ istimewa para remaja bawah usia 18 tahun. Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendapati lebih ramai yang berani membeli cecair berkenaan secara terang-terangan kerana bukannya lagi satu kesalahan dari segi undang-undang.
Walhal mereka bukan pun perokok tetapi tertarik dengan peluang rumah terbuka vape dengan dakwaan yang e-rokok lebih ‘bersih’ dan ‘selamat’ kononnya. Anggun pula gayanya.
Mengikut CAP, ada kes kanak-kanak mengakui dipelawa menghisap vape oleh bapa atau adik-beradik mereka sendiri atas keyakinan faktor tersebut. Anggaran 200 kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun mengakui telah mencuba vape secara curi-curi, dua kali seminggu, kata CAP. Hal ini baharu melibatkan satu kelompok kecil di Pulau Pinang yang sudah terdedah.
Bayangkan jika yang sama berlaku di seluruh negara! Tidak syak lagi ribuan yang terjebak terutama berasal dari golongan berpendapatan rendah (B40).
Banyak kajian sampingan ada menunjukkan sedemikian kerana kurang kefahaman dan rendah jati diri. Kini dikelirukan pula dengan langkah melepaskan nikotin dari kawalan ketat Akta Racun 1952, membelot arus perdana pendapat terbanyak.
Yang lebih menyayatkan hati adalah dapatan bilangan pelajar perempuan yang terjebak turut meningkat terbukti dalam kajian CAP itu. Walaupun ramai yang membidas majlis rumah terbuka atas pelbagai alasan tidak munasabah sekalipun, namun tiada yang bersuara akan rumah terbuka gubahan vape!
Bak ujar CAP yang telah bertahun-tahun mempertahankan hak asasi kesihatan golongan remaja yang tidak berdosa, langkah ‘menghalalkan’ vape menidakkan usaha murni CAP selama ini.
Jelas, langkah menghalalkan vape meracuni rakyat dan merupakan satu perangkap durjana dengan niat merosakkan kesihatan individu, masyarakat dan negara tanpa ragu lagi.
Hal ini disokong sebulat suara oleh para profesional serta pakar kesihatan pada 17 April lalu di bawah naungan Akademi Profesor Malaysia yang turut membawa Deklarasi Bangi sebagai desakan berpatah semula ke pangkal jalan! Ia penyelesaian sebaiknya sebelum terlajak lebih jauh lagi.
Insaflah, sebelum hati-hati tertutup rapi dalam bulan baik, hari baik. Dan terus menanggung pelbagai balasan setimpal kerana masih angkuh menebus kesilapan nyata dan jelas akan membunuh puluhan ribu jiwa tidak berdosa.
Semoga bukan sahaja rumah terbuka, lebih-lebih lagi hati dan roh juga demikian. Amin. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











