MERIAH sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Syukur, suasana di Malaysia terus memberi peluang merayakan hari kebesaran dalam aman sejahtera.
Suasana begini menepati keutamaan dan cita rasa rakyat pada umumnya, tanpa mengira kaum dan anutan agama. Mengambil kira bahawa sengketa dan huru-hara tidak menguntungkan sesiapa.
Banyak topik menarik menjadi bahan percakapan semasa pertemuan dan berinteraksi bersama sanak saudara serta rakan taulan. Tidak terkecuali daripada memperkatakan tentang nasib bangsa dan masa depan negara. Ini tanda ehwal untung rugi nasib bangsa sentiasa menjadi perhatian bersama.
Masih ramai yang meletakkan keutamaan terhadap politik, yang dikaitkan dengan kepentingan masa depan bangsa dan negara. Menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, ramai yang sama-sama menampilkan persoalan, sudut mana yang perlu diberi keutamaan?
Apakah rakyat terus terbuai dengan politik slogan atau politik retorik, atau sebaliknya menilai dengan jujur dan secara objektif kemampuan sebenar mana-mana parti politik dan kerajaan yang ada untuk diberi undian pada PRN nanti?
Perkiraan mudah bagi rakyat di sesetengah negeri misalnya, apa yang lebih utama di antara slogan agama atau bekalan air bersih yang mencukupi? Atau mana yang lebih utama di antara peletakan batu asas daripada melaksanakan projek dengan berkesan?
Rakyat perlu mengukur sejauh mana keupayaan dan kesungguhan sesebuah kerajaan yang telah diberi mandat memerintah negeri. Malah, ada yang sudah berdekad menerajui negeri.
Jangan mudah terpesona dengan pelbagai tutur dan ungkapan bagi menghalalkan alasan kerana gagal membawa pembangunan sewajarnya kepada rakyat dan negeri.
Bagi umat Islam, keutamaan menyediakan bekalan akhirat tidak dinafi. Namun, harus ingat, Islam juga tidak melarang menyediakan keperluan hidup di dunia. Umat Islam mungkin diperlekeh dan dipandang hina jika kekurangan ilmu dan harta (ekonomi).
Penekanannya ialah terhadap keperluan termasuk persekitaran tanah air yang maju dan makmur, tempat tinggal yang aman dan selamat, tempat ibadat yang sesuai, selain memiliki sumber pendapatan stabil.
Tegasnya, segala ini bukan bermaksud untuk bermegah-megah, riak atau takbur. Kesejahteraan hidup di dunia mendorong seseorang dapat melaksanakan amal ibadat dengan selesa dan sempurna.
Firman Allah SWT, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (Al-Qashash ayat 77)
Ramai yang bercakap tentang survival bangsa. Tetapi tidak ramai yang dapat menyusuli huraian tentang bagaimana untuk membina kemajuan dan kekuatan bangsa. Banyak unsur yang sepatutnya diberi keutamaan semacam sengaja diabai dan diketepikan.
KUASA
Misalnya, kekuatan sesebuah bangsa boleh dibina melalui penguasaan ilmu, pengukuhan ekonomi, memiliki nilai budi dan peradaban yang tinggi, memelihara amanah dan berdisiplin serta mementingkan ukhuwah dan setiakawan. Sejauh mana ciri-ciri ini diberi keutamaan oleh masyarakat sekarang?
Juga, ada persoalan tentang sejauh mana seseorang atau mana-mana pihak boleh menterjemahkan sikap suka bekerjasama dan bersatu padu dalam kalangan sebangsa dan seagama, jika saban waktu sering bertelagah secara lantang dan terbuka?
Isu berbangkit ini sering dikaitkan dengan arena politik negara. Sedangkan kekuatan sesebuah bangsa terletak pada semangat mengutamakan jalinan kesepaduan dalam erti kata mesra erat dan kukuh.
Apa pun telahan atau tohmahan terhadap politik, subjek itu tetap merupakan punca pemilikan kuasa sama ada untuk memerintah negeri atau negara. Dengan adanya kuasa, pemerintah dapat merencana, merancang dasar untuk rakyat, negeri atau negara. Justeru, mahu tidak mahu, politik perlu dipedulikan atau tidak dikesampingkan dalam kehidupan.
Sering diperingatkan agar masyarakat perlu membuat pilihan tepat pada setiap kali datangnya pilihan raya. Elak membuat pilihan bersifat alternatif, semata-mata memilih kerana terpaksa ekoran tidak sukakan calon atau parti. Bimbang nanti lain diharap, lain pula yang dapat.
Dalam hubungan demikian, parti-parti politik perlu mengambil kira sentimen masyarakat untuk membuat pilihan yang mudah, wajar dan tepat. Jangan meletakkan keadaan yang mengelirukan mereka sama ada mahu memilih calon atau parti.
Ada situasi di mana pengundi memang sukakan parti tetapi tidak sukakan calon. Jadi, tentukan parti dan calon seiring menjadi pilihan mudah bagi pengundi.
Sementara bagi memudahkan pihak pengurusan parti, mereka yang menyimpan hasrat untuk bertanding atau menjadi calon perlu menilai secara jujur sejauh mana boleh diterima pengundi dan sejauh mana pula kemampuan untuk berkhidmat atau memikul tanggungjawab jika ditakdirkan dipilih nanti.
Perbualan di musim Hari Raya Aidilfitri turut menyentuh tentang sikap anak-anak muda. Masih ada persoalan sejauh mana anak-anak muda bersedia mengambil peluang Undi18 untuk dimanfaatkan mereka.
Kalangan anak muda sepatutnya menghargai peluang diberi untuk sama-sama menyumbang dalam pembinaan negara bangsa yang aman makmur stabil.
Hidup terdedah kepada bermacam pilihan. Sementara masa tetap berlalu mengikut gerak detik tanpa mampu disekat atau dihalang.
Justeru, orang yang dikatakan bijak adalah kalangan mereka yang tahu menguruskan perjalanan kehidupan mengikut apa yang utama untuk diutamakan. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











