Pastikan guru tidak hilang keseronokan mengajar - Utusan Malaysia

Pastikan guru tidak hilang keseronokan mengajar

GURU bukan sahaja diharap menyerlahkan murid-murid dengan ilmu akademik tetapi sebagai warganegara yang memiliki keperibadian mulia. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTEPATAN dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini yang disambut pada tarikh 16 Mei iaitu Guru Insani Pemangkin Generasi Madani, guru mempunyai peranan yang besar dalam mendidik, membimbing dan membentuk masyarakat madani.

Generasi muda bermula dari bangku sekolah perlu diterapkan keupayaan untuk memahami, menghayati dan menterjemahkan enam tonggak digariskan untuk mencapai konsep membangun Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Hakikatnya, masa depan negara terletak di tangan anak muda hari ini yang perlu dibentuk mengikut acuan yang betul dan seperti diperlukan oleh negara. Dalam konteks ini, guru dilihat berhadapan pelbagai cabaran tatkala memikul harapan dan amanah ibu bapa, masyarakat dan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara cabaran besar guru pada ketika ini ialah pembentukan karakter murid mencakupi aspek kecemerlangan akademik dan sahsiah. Ironinya, bukan mudah untuk kita merealisasikan aspek karamah insaniah (kemuliaan insan) dalam usaha melahirkan anak yang baik lagi cerdik melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Misalnya, pemansuhan beberapa peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) masih mencetuskan pelbagai perdebatan tentang kualiti prestasi akademik murid.

Selain itu, pelbagai masalah sosial yang membelenggu pelajar sekolah pula terus mencabar proses pembentukan karakter dan pembangunan sahsiah. Hakikatnya, anak-anak hari ini terdedah dengan pelbagai pengaruh tidak sihat sehingga terjebak dalam masalah sosial dan jenayah.

Ketagihan gajet, pengaruh negatif internet dan media sosial, ancaman vape dan dadah selain pelbagai masalah sosial lain menyebabkan generasi muda mudah hilang pertimbangan, bertindak mengikut emosi dan pengaruh negatif serta ramai yang hilang jati dirinya.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendedahkan, kanak-kanak berumur sembilan hingga 12 tahun mengaku kerap mencuba vape atau e-rokok semasa di rumah atau di dalam kereta.

Satu lagi cabaran kritikal guru ialah bagaimana boleh membantu menangani masalah 269,332 murid di seluruh negara yang dikesan belum mampu menguasai kemahiran asas membaca, mengira dan menulis (3M). Angka itu berdasarkan jawapan lisan KPM di Dewan Negara, baru-baru ini.

KENTAL

Bayangkan masa depan murid ini jika tidak dilaksanakan langkah intervensi sepatutnya dan dalam hal ini, sudah tentu guru yang diharapkan dapat memberi perhatian lebih kepada kelompok murid tersebut. Untuk itu, guru perlu lebih fokus dan tidak boleh dibebankan dengan tugasan lain. Mana mungkin kita dapat melahirkan generasi madani jika kelompok anak muda ini gagal menguasai kemahiran 3M.

Hakikatnya, situasi seperti ini menyebabkan tugas guru semakin hari menjadi semakin berat, kompleks dan mencabar. Ironinya, sekolah bukan sahaja dilihat tempat untuk anak-anak menimba ilmu akademik semata-mata tetapi sebagai platform untuk membentuk sahsiah terpuji, yakni melahirkan anak yang baik lagi cerdik.

Bermakna guru bukan sahaja diharap memandaikan anak-anak dengan ilmu akademik tetapi sebagai warganegara yang memiliki keperibadian mulia di samping semangat jati diri kental.

Jika kita mahu guru benar-benar memainkan peranan untuk membentuk dan melahirkan generasi madani yang cemerlang akademik dan sahsiah maka perlu mewujudkan ekosistem yang lebih mesra guru supaya mereka boleh memberikan perhatian sepenuhnya kepada agenda pemerkasaan generasi masa hadapan negara.

Guru tidak boleh lagi dibebankan dengan pelbagai tugas pentadbiran dan sampingan lain sehingga mengganggu fokus dan tugas hakiki mereka. Semua pihak baik kementerian, ibu bapa mahupun anggota masyarakat secara keseluruhannya perlu memandang serius isu-isu yang selama ini membelenggu profesion perguruan dan menjejaskan fokus guru di sekolah.

Tuntasnya, kita perlu membiarkan guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka tanpa sebarang gangguan. Biar mereka membuat kerja dengan bebas dalam suasana seronok supaya anak-anak diberi perhatian secukupnya dengan penuh kasih sayang bagi menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam hal ini, kebajikan dan kesejahteraan guru perlu terus menjadi agenda utama kerajaan. Ini penting bagi mengurangkan tekanan dihadapi guru. Kita tidak mahu lagi dengar ramai yang mula memohon untuk bersara awal kerana tekanan pengurusan serta berhadapan masalah lesu upaya.

Permohonan guru bersara awal menunjukkan trend meningkat dan ini sesuatu yang sangat merugikan negara. Jangan biarkan guru hilang keseronokan untuk mengajar angkara beban tugas sampingan yang tidak sepatutnya.

Dalam konteks ini, kita hargai inisiatif KPM mengumumkan tujuh langkah ke arah kesejahteraan guru, antaranya memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membebankan tugas guru.

Ini termasuk membuka pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kepada individu selain guru. Diharap semua yang diumumkan ini dapat direalisasikan di peringkat pelaksanaan tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Semoga KPM dapat terus melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi mengurangkan beban pentadbiran guru selain menambah baik tahap kebajikan dan kesejahteraan mereka supaya dapat mewujudkan ekosistem guru bahagia atau mesra guru. Sama-sama kita memaknai slogan Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×