Makna kenaikan OPR pada rakyat marhaen - Utusan Malaysia

Makna kenaikan OPR pada rakyat marhaen

Pusing-pusing macam mana pun, yang dikatakan tidak terkesan dengan kenaikan OPR kerana tidak meminjam bank akan turut terjejas malah mungkin lebih teruk lagi tempiasnya. – mingguan/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini kita semua sudah cukup panas. Maksud saya, cuaca. Ramai yang tak senang duduk. Apa lagi mahu tidur nyenyak.
Yang rumahnya, tak mampu untuk menikmati kesejukan daripada pendingin hawa, mungkin ada yang tengah berkira-kira. Nekad mengumpul wang. Hujung bulan ini atau bila sudah cukup duit mesti beli pendingin hawa atau penyaman udara. Selalu begitulah bila tiba musim panas. Tetapi niat mahu beli pendingin hawa itu terus dilupakan bila sudah masuk musim hujan. Sebab, ada keperluan lain yang lebih penting.
Hakikatnya, bukan semua orang mampu memasang penyaman udara dalam rumah walaupun hanya sebuah. Itu pun ada yang gelak-gelak bila kita cakap pendingin hawa adalah barangan mewah untuk sesetengah orang.
Dan pernah juga saya baca di Twitter, ciapan seseorang yang hairan masih ada lagi rumah yang tiada penapis air. Masak air paip saja. Tak rasa gelikah minum air itu? Saya pula yang hairan dengan ciapan ini kerana ramai yang menyokongnya. Rasanya, dulu ibu bapa mereka ini besarkan mereka tanpa penapis air, elok saja hidup sampai sekarang.
Tetapi itulah, kita sebenarnya pun faham ramai saja orang yang bukan senang sangat tetapi merasakan apabila dia mampu mempunyai pendingin hawa dan penapis air di rumah, yang tidak mampu itu pula dianggap malas dan ‘kaki komplain’ tak cukup duit.
Sebab itu, apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik lagi sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus baru-baru ini, ada yang menganggap langkah itu adalah normal. Ia hanya membabitkan penambahan pembayaran pinjaman bank yang sedikit kepada yang terlibat. Tak banyak pun, jadi, tak perlulah kecoh-kecoh.
Ini adalah cakap-cakap orang yang tidak meletakkan dirinya di tempat orang yang susah atau berpendapatan rendah dan sederhana. Jika ansuran bulanan pinjaman naik kurang daripada RM100 pun ia adalah tetap ‘kehilangan’ yang banyak bagi kebanyakan mereka.
Memandang remeh kesusahan orang lain adalah buruk perangai. Apatah lagi memperlekehkan tindakan orang tidak berduit yang membuat pinjaman bank. Sedangkan, orang kaya pun hutangnya berjuta ringgit dalam bank.
Terdapat komen dalam media sosial yang saya baca mempersoalkan kenapa perlu meminjam bank? Bank memang tiada rasa simpati atau kasihan pada peminjam. Kalau tak mampu bayar disytiharkan muflis – Iyalah, tak akan orang ramai hendak meminjam pada ah long pula untuk membeli rumah. Bolehkah beli rumah secara cash dan menabung sejak bila?
Saya pernah menulis sebelum ini bahawa kenaikan OPR yang sedikit-sedikit pasti lama-lama menjadi bukit, ibarat menjirus air panas di luka yang pedih. Kumpulan yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, akan bertambah sakit.
Ini adalah kenaikan kali kelima sejak Mei 2022. Pada Mei tahun lalu, kadar OPR naik 2.0 peratus, diikuti Julai 2.25 peratus, September naik kepada 2.50 peratus dan November kepada 2.75 peratus.
Walaupun bukan semua terbabit dengan kenaikan OPR kecuali individu yang membuat pinjaman perumahan, peribadi atau perniagaan dengan menggunakan pinjaman kadar berubah (floating interest rate), tetapi jumlah peminjam tentunya bukan sedikit.
Dalam media sosial juga, orang yang ‘cerdik pandai’ pasal OPR ini mempersoalkan kenapa masa membeli rumah dulu tak ‘study’ tentang pinjaman berubah dan tetap? Nampak saja ansuran rendah dengan pinjaman berubah terus beli tanpa memikirkan kenaikan OPR di masa depan? Itu baru kenaikan OPR ditetapkan BNM, belum lagi kadar bunga bank itu sendiri.
Dalam pada itu, ada juga menyarankan jangan beli rumah. Duduk menyewa saja sampai ekonomi pulih. Sedangkan, sejak dulu pun kita tahu harga rumah tidak pernah turun di negara ini walau keadaan ekonomi dikatakan baik. Malah saban tahun, semakin naik dengan harga yang tidak masuk akal.
Dalam keadaan ini, pemilik rumah yang terkesan dengan kenaikan OPR, pasti akan menyerapkan kenaikan itu dengan menaikkan sewa rumah pula manakala yang ada pinjaman peribadi dan perniagaan dengan kadar berubah ini untuk tujuan meniaga pasti akan menaikkan harga barangan jualan atau perkhidmatan mereka.
Pusing-pusing macam mana pun, yang dikatakan tak terkesan dengan kenaikan OPR kerana tidak meminjam bank akan turut terjejas malah mungkin lebih teruk lagi tempiasnya.
Daripada bercakap macam pakar ekonomi, menyalahkan orang yang tak berduit banyak ini mudah terjebak dengan floating loan kerana mahukan kadar installment yang lebih murah, adalah lebih baik memberi cadangan bagaimana kerajaan boleh mengurangkan beban rakyat.
Bila bercakap pasal apa-apa pun tentang penambahan bayaran ansuran hutang, tentunya ia membabitkan kos sara hidup keseluruhan individu dan keluarga.
Hakikatnya, cakaplah pasal ekonomi negara semakin berkembang, inflasi semakin terkawal atau kenaikan OPR adalah untuk mengekalkan daya saing negara, ia tidak memberi makna kepada rakyat yang semakin tertekan dengan segala kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.
Agak menghairankan bab OPR kita mahu setanding dan mengikut negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) yang telah naik dari 4.75 peratus ke 5.00 peratus baru-baru ini, tetapi bab kadar upah pekerja negara ini pula tidak mahu ikut sesetengah negara maju dan kita juga dikalahkan dengan negara jiran.
Jika terus digasak dengan kos sara hidup yang tinggi, bolehkah rakyat berbangga dengan kedudukan negara ini yang dikatakan lebih baik dalam indeks-indeks prestasi dunia yang tak mencerminkan kehidupan mereka yang sebenar.
Tidak perlu beli jiwa rakyat dengan perkataan Rahmah, selagi isu ‘gaji Rahmah’ tidak dapat diselesaikan segera. Isu kos sara hidup ini akan menjadi duri dalam daging yang akhirnya melunturkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan sedia ada.
Dan sudah tentu pusing-pusing ikut manapun antara jalan selesai untuk menangani kos sara hidup yang tinggi adalah dengan menaikkan kadar upah pekerja. Gaji minimum RM1,500 dalam keadaan serba serbi mahal ini, ia terlalu rendah.
Saya pasti rakyat sedang menunggu berita baik tentang isu-isu berbangkit gaji minimum yang dikatakan akan dibincangkan dalam Kabinet bulan depan seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Katanya, isu itu akan dibincangkan untuk mendapatkan penyelesaian ‘sekali dan untuk semua’.
Kos sara hidup rakyat tak perlu dipolitikkan. Ia adalah kisah benar. Buatlah kajian berapa baki gaji rakyat yang tinggal selepas hanya dua hari menerima gaji. Di situ kita tahu bagaimana indeks prestasi kemampuan rakyat kita pula. Dan pastinya rakyat mahu kerajaan bertindak, bukan sekadar kata-kata.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya