KISAH seorang penjual cendol warganegara India dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain sejak lebih 20 tahun lalu cukup menggusarkan dan wajar menjadi peringatan kepada kita semua.
Selain kes itu, dalam satu operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, sejumlah pendatang tanpa izin (PATI) warga Filipina mendapat ‘keistimewaan’ daripada beberapa anggota penguat kuasa yang korup apabila mereka dibekalkan MyKad tulen milik warga tempatan.
Ini antara kes membabitkan MyKad dimiliki oleh orang tidak sepatutnya sekali gus menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara. Kes-kes seumpama ini juga menunjukkan MyKad kita mempunyai nilai yang cukup tinggi dan sering menjadi rebutan pihak luar.
Bayangkan, selama 20 tahun seorang individu itu memiliki MyKad orang lain dan menikmati segala manfaat yang kerajaan sediakan kepada warga tempatan. Bukankah ini satu kerugian besar kepada rakyat termasuk menafikan hak rakyat yang lebih layak?
Begitu juga cuba bayangkan betapa bahaya apabila PATI dibekalkan dengan kad pengenalan tulen angkara perlakuan rasuah dan salah guna kuasa? Mereka boleh buat apa sahaja di negara kita menggunakan identiti palsu tersebut.
Justeru, isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak supaya dapat mengelak kemudaratan lebih teruk kelak. Harus diingat, MyKad adalah sebahagian daripada identiti dan lambang kedaulatan negara yang diberikan secara eksklusif hanya untuk warganegara. Bermakna sebarang aktiviti pemalsuan MyKad serta memberikan kad pengenalan warga tempatan kepada orang luar adalah salah di sisi undang-undang.
Kita perlu akui, ada sindiket bergiat aktif melakukan aktiviti pemalsuan kad pengenalan di negara kita. Kegiatan pengeluaran dan penjualan kad pengenalan palsu ini didalangi oleh sindiket yang cukup licik dan bijak mencari mangsa ataupun pembeli.
Percayalah, mereka mampu mengaut sejumlah pendapatan yang cukup lumayan melalui kegiatan jual beli kad pengenalan palsu ini. Permintaan tinggi walaupun dengan kadar bayaran mahal kebiasaannya akan mendorong sindiket pengeluar kad pengenalan palsu ini bertindak agresif dan melebarkan sayap perniagaan mereka.
Hakikatnya, kita perlu sedar betapa bahaya dan berisiko jika kegiatan ini tidak ditangani segera. Paling utama, ia akan memberi kesan langsung kepada aspek keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat. Orang luar yang kita tidak tahu asal usul serta latar belakang dengan mudah boleh menjadi warganegara secara ekspres menggunakan kad pengenalan palsu tersebut.
Harus diingat, MyKad bukanlah barangan komoditi yang boleh dijual beli mahupun dipindah milik begitu sahaja.
Cuba bayangkan, apa akan jadi andai pengganas mampu memperoleh kad pengenalan palsu mahupun tulen milik orang lain dan berkeliaran dalam kelompok masyarakat sebagai warga kita? Bukankah ini akan memberikan ancaman cukup besar kepada negara dan rakyat?
MUSUH DALAM SELIMUT
Masyarakat perlu sedar dengan kad pengenalan tersebut, pemiliknya mampu buat apa sahaja sama seperti rakyat kita yang lain. Mereka layak memperoleh segala kemudahan dan keistimewaan sebagai warganegara. Bukankah ini akan mengancam dan menjejaskan segala kemudahan yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat tempatan?
Misalnya, mereka boleh beli rumah, memperoleh bantuan kerajaan serta menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan khusus untuk rakyat kita. Malah, dikhuatiri dengan kad pengenalan palsu mereka juga boleh mengundi dalam pilihan raya dan bekerja dalam sektor awam. Dalam erti kata lain, mereka akan merampas semua hak keistimewaan diperuntukkan kepada warganegara yang sah.
Kita berharap agar pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih tegas. Jangan biarkan kedaulatan negara terus diancam dan diragut seperti ini. Jangan ingat kedaulatan negara hanya terancam apabila ada pencerobohan pihak luar semata-mata, sebaliknya ancaman halus dan dari dalam negara seperti ini wajar dilihat lebih berbahaya umpama musuh dalam selimut.
Selain itu, budaya rakyat tempatan yang sanggup menjual atau memberikan kad pengenalan kepada orang luar juga perlu ditangani segera. Masyarakat perlu sedar perbuatan seperti ini walau dengan apa alasan sekalipun boleh dilabel sebagai mengkhianati negara kerana menjual kedaulatan kepada orang lain. Hentikanlah perbuatan tidak berfaedah seperti ini kerana akan mendedahkan rakyat dan negara kepada pelbagai risiko dan ketidaktentuan.
Sebagai warganegara, kita sewajarnya bersyukur dan menghargai nikmat sebagai penduduk negara bertuah ini. Janganlah mudah gelap mata dengan sogokan wang ringgit sehingga menjual kad pengenalan kepada pihak luar.
Di samping itu, kesedaran untuk menjaga dengan selamat MyKad juga perlu dipertingkatkan. Pelbagai laporan sebelum ini menunjukkan masih ramai yang cuai dalam soal penjagaan kad pengenalan sehingga mudah tercicir dan hilang.
Misalnya, sebanyak 1,546 laporan palsu berkaitan kehilangan kad pengenalan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2019 hingga 2021. Mereka membuat laporan polis palsu bagi mendapatkan pengecualian bayaran kehilangan akibat kecuaian sendiri.
Malah, pihak berkuasa juga pernah mendedahkan sebanyak 1.3 juta kes kehilangan MyKad akibat cuai direkodkan bagi tempoh bermula Oktober 2015 sehingga Disember 2019. Jelas sekali, masih ramai tidak pandang serius keperluan menjaga MyKad dan tidak sedar kepentingan dan nilai kad pengenalan dimiliki. Tatkala orang luar begitu menginginkan kad pengenalan negara ini, kita pula tidak menghargainya dengan sewajarnya.
Justeru, bagi kes kecuaian seperti ini, kerajaan wajar menaikkan kadar denda sedia ada sebagai pengajaran dan peringatan kepada masyarakat agar sentiasa menjaga dan memelihara kad pengenalan masing-masing.
Tuntasnya, kita perlu sedar kepentingan kad pengenalan yang menjadi identiti kewarganegaraan. Sama-samalah kita mengekang sindiket pemalsuan, tidak menggadai integriti diri, menjaga keselamatan kad pengenalan dan mempertahankan kedaulatan negara. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa dan pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).











