Guru pejuang rakyat - Utusan Malaysia

Guru pejuang rakyat

NEGARA mempunyai lebih 433,000 guru yang sedang memberikan perkhidmatan kepada sekitar lima juta murid. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUSA (Selasa) kita akan menyambut hari guru. Sejak 1972, 16 Mei dipilih sebagai sambutan hari guru di negara ini. Ramai yang mungkin tidak tahu mengapa tarikh itu dipilih? Sebenarnya, ia adalah simbolik kerana pada tarikh sama pada 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu bersetuju menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai Dasar Pelajaran pertama negara ini apabila kita mencapai kemerdekaan.
Laporan itu kita kenali sebagai Laporan Pelajaran Razak 1956. Tema pertama sambutan hari guru pada 1972 adalah Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara. Siapakah lima penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan yang dimulakan pada 1975? Mereka ialah Allahyarhamah Tan Sri Hajah Zainun Munsyi Sulaiman (Ibu Zain), Tuan Mohd. Nor Ahmad, Tuan Ting Pin Sung, Tuan A.V Perumal dan Tuan Tan Chong Bee.
Inilah sekilas sejarah sambutan hari guru di negara ini. Sudah lebih 50 tahun hari guru dirayakan, sebagai tanda penghargaan rakyat Malaysia terhadap pengorbanan para guru memberikan pendidikan kepada anak-anak bangsa. Tahun ini kita akan sekali lagi menyambut hari Guru dengan tema Guru Insani Pemangkin Generasi Madani.
Sejarah negara membuktikan guru-guru bukan hanya pengajar di dalam bilik darjah, guru juga adalah pejuang rakyat. Sebelum merdeka, ramai guru berjuang menentang penjajahan British. Nama-nama besar seperti Zaaba, Ibrahim Yaakub, Pak Sako dan ramai lagi adalah tenaga pengajar dan guru-guru lepasan Sultan Idris Training College (SITC). Mereka banyak menulis di akhbar dan majalah untuk membangunkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu untuk berjuang membina negara yang merdeka dan berdaulat.
Begitu juga dalam era penentangan Malayan Union pada 1946-1948. Ramai kalangan persatuan guru bangun menolak cadangan Malayan Union dan menyertai perhimpunan dan perarakan yang dianjurkan Dato Onn Jaafar sebagai menentang cadangan itu. Akhirnya, Malayan Union dibatalkan oleh kerajaan British.
Selepas merdeka, guru meneruskan perjuangan memajukan anak bangsa sebagai pelaksana sistem pendidikan yang menyokong dasar-dasar kerajaan. Misalnya, apabila kerajaan memulakan agenda dasar perindustrian negara pada 1980-an, guru-guru diberikan tanggungjawab memastikan anak-anak bangsa mempunyai pengetahuan baik di dalam ilmu sains dan matematik. Malah dalam setiap dasar kerajaan, pasti guru sebagai pelaksana pendidikan akan setia mengalas tanggungjawab bagi memastikan anak bangsa mempunyai pengetahuan dan kemahiran terkini.
Hari ini, negara kita mempunyai lebih 433,000 guru yang sedang memberikan perkhidmatan kepada sekitar lima juta murid. Berbeza dengan masa lalu, hari ini cabaran guru jauh lebih rencam. Tidak pernah berlaku cabaran kepada institusi keguruan negara sebagaimana yang berlaku sejak tiga tahun lalu. Bermula apabila negara dilanda pandemik Covid-19 pada Mac 2020 sehingga semua sekolah diarahkan tutup. Tetapi pembelajaran mesti diteruskan. Keputusan dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR). Inilah kali pertama PdPR dilaksanakan di negara ini. Guru-guru yang tidak pernah dilatih melaksanakan PDPR sepanjang kerjaya mereka, tiba-tiba sahaja perlu melaksanakan PdPR supaya pembelajaran anak-anak bangsa tidak tercicir.
Bayangkan bagaimana sukarnya para guru yang perlu belajar sendiri melakukan PdPR. Membeli peranti serta membiayai pelan internet sendiri. Selama lebih 240 hari persekolahan ditutup, para guru melakukan PdPR. Walaupun pada akhirnya, pihak KPM memaklumkan pelaksanaan PdPR tidak memuaskan dan hanya sederhana sahaja tetapi sekurang-kurangnya para guru melakukan apa yang termampu ketika itu.
Malah belum pun selesai sepenuhnya pandemik Covid-19, negara dihadapkan pula dengan isu perubahan iklim. Banjir kilat melanda banyak negeri, akibatnya ada sekolah terpaksa ditutup sementara waktu. Terkini, para guru dihadapkan pula dengan cuaca panas secara mendadak di beberapa negeri yang mencabar usaha pengajaran mereka.
Bayangkan bagaimana seorang guru dapat mengajar dengan berkesan, tenang dan selesa di dalam kelas yang panas dan bersesak dengan murid yang ramai? Mampukah guru menjadi seorang guru insani dan penyayang bagi membangunkan murid-murid yang Madani dalam persekitaran sebegitu?
Selain bencana kesihatan dan persekitaran, cabaran sedia ada juga mesti difahami dan diuruskan oleh para guru. Sebagai contoh, kemajuan pesat teknologi maklumat menyebabkan murid-murid semakin terdedah kepada penggunaan gajet di dalam kehidupan mereka.
Pemilikan telefon pintar, komputer dan peranti lain menyebabkan murid-murid mempunyai rutin baru dalam proses pencarian maklumat. Mereka tidak lagi bergantung kepada sumber seperti buku teks atau bahan bacaan bercetak semata-mata.
Perubahan ini menuntut guru mesti mengubahsuai dan menggunakan teknologi maklumat di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru mesti mempunyai keupayaan menggunakan teknologi maklumat. Menjadi cabaran kepada guru jika kemudahan teknologi pendidikan dan sumber digital masih belum disediakan di sekolah. Internet yang laju, kemudahan komputer riba, papan layar digital semakin menjadi alatan asas dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Semua cabaran ini menuntut supaya institusi keguruan menjadi lebih kalis kepada perubahan yang tidak menentu dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran bentuk baru yang tiada pada waktu dahulu.
Sebagai usaha permulaan, KPM menggagaskan Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan pembinaan jiwa pendidikan melalui empat teras utama iaitu pertama, guru mestilah meningkatkan kualiti peribadi. Kedua, guru memiliki orientasi ilmu yang tinggi. Ketiga, guru memiliki tahap kemahiran instruksional yang baik dan teras keempat, guru mestilah mempunyai usaha melibatkan diri dengan komuniti setempat khususnya ibu bapa.
SGM jelas menunjukkan guru bukan hanya seorang pengajar tetapi seorang insan aktif di bilik darjah, di sekolah dan juga di dalam masyarakat.
Amalan desentralisasi pendidikan juga sepatutnya sudah dilakukan dengan lebih menyeluruh supaya pihak sekolah dan para guru diperkasakan untuk melakukan penambahbaikan persekolahan mengikut keperluan murid-murid di lokaliti dan komuniti setempat. Begitu juga dengan usaha mengimarahkan sekolah dengan penglibatan ibu bapa. Selamat Hari Guru 2023. Guru Insani Pemangkin Generasi Madani.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya