KELMARIN, Utusan Malaysia menyiarkan satu laporan berbunyi Jentera UMNO Terengganu protes, pulau calon PH. Perkara itu diberitakan sudah disuarakan dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Terengganu, April lalu berikutan akar umbi tidak dapat menerima kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).
Kata seorang pemimpin UMNO di Terengganu, “Semua orang tahu parti yang kuat di Pantai Timur ini ialah UMNO dan Pas sahaja. PH memang tiada dalam rekod dan memang tiada sokongan.”
“Keadaan akan jadi lebih tegang jika calon PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara) menggunakan logo PH, nak pula jentera UMNO bantu dan kibarkan bendera mereka, itu perkara yang susah untuk diterima oleh jentera di sini,” kata pemimpin itu.
Laporan ini kelihatannya berimpak tinggi sehingga disiarkan semula oleh beberapa portal berita dalam talian lain selain ditularkan dalam media sosial. Tidak mengejutkan sebenarnya laporan begini kerana realiti di bawah sememangnya tidak begitu jauh lari daripada apa yang diperkatakan oleh pemimpin UMNO di Terengganu tersebut.
Jika dilihat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, calon-calon PH tidak menang walau satu kerusi pun baik Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu. Yang menang ialah Pas (6 Parlimen, 22 DUN) manakala UMNO melalui Barisan Nasional (BN) dua kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN.
Dua kerusi Parlimen yang UMNO menang ialah Besut dan Hulu Terengganu. 10 kerusi DUN yang UMNO menang pula Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.
Daripada 22 kerusi DUN yang UMNO menang ini pula, 10 dimenangi dengan majoriti kecil, iaitu Ajil (4 undi), Jabi (55), Ladang (363), Pengkalan Berangan (490), Air Putih (746), Kuala Berang (1,070), Kota Putera (1,181), Bandar (2,091), Kemasik (2,164) dan Bukit Tunggal (2,344).
Calon-calon PH pula sentiasa mendapat undi tercorot dengan majoriti hilang wang deposit. Peratusan undi calon-calon PH ini ialah 2.4% (422) di Manir, 2.5% (455) di Telemung, 2.8% (729) di Ru Rendang, 3.2% (583) di Langkap, 3.3% (679) di Ajil, 3.3% (800) di Batu Rakit, 3.4% (487) di Bukit Besi, 3.4% (690) di Jabi, 3.6% (853) di Permaisuri dan 3.8% (939) di Rantau Abang.
GELOMBANG HIJAU
Seterusnya 4.0% (894) di Buluh Gading, 4.1% (721) di Bukit Tunggal, 4.1% (1,145) di Pengkalan Berangan, 4.3% (1,002) di Tepuh, 4.4% (1,004) di Bukit Payung, 4.6% (860) di Hulu Besut, 4.6% (939) di Seberang Takir, 5.3% (1,095) di Kuala Besut, 5.3% (1,492) di Alur Limbat, 5.4% (969) di Kuala Berang, 5.7% (1,589) di Wakaf Mempelam, 6.2% (1,504) di Kota Putera, 6.5% (1,472) di Kijal dan 6.8% (2,195) di Air Putih.
Yang lebih baik ialah 7.0% (1,557) di Kemasik, 7.0% (1,594) di Jertih, 7.1% (1,866) di Paka, 7.9% (2,572) di Batu Buruk, 9.6% di Sura, 12.6% (2,836) di Ladang, 16.8% (5,104) di Cukai dan 19.7% (3,996) di Bandar.
Kecenderungan politik di Terengganu sejak merdeka ialah untuk Pas hanya diberi peluang sepenggal memerintah Terengganu. Selain hampir dua tahun dari 1959 ke 1961, Pas memerintah Terengganu dari 1999 ke 2004 dan dari 2018 hingga sekarang.
Oleh itu, walaupun ‘gelombang hijau’ pernah melanda negeri-negeri majoriti Melayu termasuk Terengganu dalam PRU15 pada 19 November 2022, peluang untuk UMNO merampas kembali tampuk pemerintahan negeri itu tetap terbuka. Jika dibanding jumlah undi diperoleh calon UMNO-BN di semua kerusi Parlimen di Terengganu dalam PRU15, amat jelas nama UMNO-BN jauh lebih diterima oleh pengundi berbanding nama PH-Amanah atau PH-PKR.
Bandingan terperinci adalah seperti berikut:
- Di Besut, undi BN 30,903 berbanding PH 4,339.
- Di Setiu, undi BN 31,736 berbanding PH 2,125.
- Di Kuala Nerus, undi BN 26,932 berbanding PH 3,708.
- Di Kuala Terengganu, undi BN 22,109 berbanding PH 10,946.
- Di Marang, undi BN 31,386 berbanding PH 4,140.
- Di Hulu Terengganu, undi BN 27,176 berbanding PH 1,740.
- Di Dungun, undi BN 25,615 berbanding PH 5,307.
- Di Kemaman, undi BN 38,535 berbanding PH 8,340.
Disebabkan pengaruh PH rendah di Terengganu, mungkin kerana stigma DAP masih kuat dalam sanubari masyarakat Melayu konservatif, maka eloklah PH tidak bertanding di banyak kerusi di Terengganu serta calon-calonnya hendaklah bertanding menggunakan logo BN.
Lebih elok lagi jika calon Menteri Besar Terengganu awal-awal lagi dapat diumumkan dari UMNO-BN. Ini wajar dibuat bagi mencerahkan peluang BN-PH untuk menang di negeri itu.
Sebagai timbal balasnya, eloklah juga UMNO-BN menerima status quo di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta tidak menuntut banyak kerusi di negeri-negeri berkenaan. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).










