PADA 4 Jun 2008, kerajaan pimpinan Perdana Menteri kelima (PM5) mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter. Ia berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.
Kenaikan itu tertinggi dalam sejarah. Kali terakhir kerajaan PM5 menaikkan harga minyak pada 28 Jun 2006, iaitu 30 sen bagi petrol dan diesel.
Hujah yang sering digunakan oleh Kabinet waktu itu apabila harga minyak dinaikkan ialah harga minyak di Malaysia antara termurah di Asia Tenggara. Cuma peliknya keputusan 78 sen itu dibuat hanya tiba bulan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah moden hilang majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Pengumuman kenaikan 78 sen itu jelas mendatangkan kesan domino kepada ekonomi. Rakyat begitu merasai tekanan dan bebanan. Akibatnya, pentadbiran PM5 diganggu-gugat dan ‘dikacau’ oleh kepimpinan sendiri dan diasak seorang negarawan sehingga membawa peletakan jawatannya kurang setahun kemudian.
Hari ini 2023, ada pihak mempersoalkan ‘keberanian’ kerajaan melaksanakan satu, dua dasar yang dilihat ‘tidak popular’ meskipun baru memasuki enam bulan pentadbirannya.
Pihak itu seakan tidak percaya, walhal dalam sebulan dua ini sahaja lagi, bukan satu tetapi enam pilihan raya negeri (PRN) akan dilangsungkan. Dan ia bukan pilihan raya kecil (PRK).
TANGGUH DULU?
Kebiasaannya mana-mana parti dalam kerajaan akan menangguhkan terlebih dahulu pengumuman beberapa pelannya yang kelihatan ‘tidak cenderung’ membantu kategori rakyat tertentu. Tetapi kerajaan sedia ada tidak berfikiran begitu.
Antara yang menggamit perhatian berkisar rancangan menaikkan tarif elektrik untuk kumpulan isi rumah T20; rumah-rumah besar (dimiliki keluarga dikategorikan T20) tidak lagi diberikan subsidi elektrik; T20 perlu menanggung keseluruhan kos haji RM30,850, tidak lagi RM10,980 seperti mana dinikmati muassasah. Dan bakal jemaah yang merayu untuk menunaikan haji di luar giliran jika berjaya tidak kira daripada kategori B40, M40 atau T20, mereka perlu membayar penuh RM30,850.
Itu belum lagi bercakap pasal memansuhkan monopoli. Ada kata mengapa taikun ini yang kena, taikun lain tidak pula disentuh? Bila ke soal agama pula, isu kalimah Allah yang dibenarkan di negeri tertentu, pantas mencetuskan tanda tanya sebahagian besar umat Islam. Bila terlalu banyak yang respons atau ‘banyak cakap’, pangkalnya hilang sehingga tidak ‘tertangkap di kepala’ mana satu fakta sebenar.
Dikusutkan lagi dalam kalangan sebahagian orang Melayu tentang perihal ‘dulu lawan kini kawan’ antara UMNO dan DAP yang sekian lama merupakan musuh ketat. Namun, di tahun 2023 ini, bersekutu pula dalam kerajaan perpaduan. Padahal sebelum ini parti-parti Melayu lain seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah rasa bersalah pun berpakat dengan DAP. Itu yang anehnya, bila kena pada UMNO, ‘meracau’ pesaing mereka.
Hal UMNO-DAP ini mencetuskan dilema kepada UMNO, mahukah ahlinya mengundi calon DAP dalam PRN nanti?
“Kalah atau menang negeri atau berapa pun kerusi diperoleh dalam PRN ini kita (UMNO) terpaksa terima…tak sempat buat apa-apa kerana tempoh dengan PRU15 hanya beberapa bulan,” kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada Utusan Malaysia.
Meskipun berjaya membentuk kerajaan berbekalkan 26 kerusi Parlimen sahaja, survival UMNO amat bergantung kepada keputusan enam PRN berkenaan.
Mengapa tidak? Katakan calon-calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya mempertahankan tiga negeri mereka, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sementara UMNO pula gagal teruk di Kedah, Terengganu dan Kelantan, adakah rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan akan diam membatu sahaja?
Padahal UMNO diberi kepercayaan oleh PH untuk menarik sokongan pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Isu yang masih menyelubungi kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri tentang bagaimana mahu meyakinkan bukan sahaja ahlinya, bahkan lebih utama orang Melayu untuk mengundi calon DAP.
Sudah tentu isu dihadapi kerajaan perpaduan memasuki gelanggang enam PRN adalah bagaimana untuk menangani persepsi. Namun, tampaknya ia tidak seagresif dikendalikan seperti mana sebelum menjadi kerajaan. Ayam sabung yang setiap kali muncul menghadapi PRU dengan motto ‘lawan tetap lawan’ pun senyap sunyi kerana ramai sudah jadi menteri.
PILIHAN RAYA ‘JAGA AIR MUKA’
Benar! Enam PRN ini tidak menggugat kerajaan Pusat andai parti-parti komponennya kalah. Ada mengibaratkannya sekadar ‘pilihan raya jaga air muka’ kerajaan perpaduan. Namun, andai kata banyak kerusi di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dirampas oleh PN dan dikejutkan lagi dengan kejatuhan Selangor, gelombang menuju Putrajaya berkemungkinan menghanyutkan kerajaan. Hanya jauhari mengenal manikam.
Adakah isu kenaikan minyak 78 sen, iaitu 15 tahun lalu mirip sentimennya menghempap rakyat seperti mana situasinya hari ini? Tambah pula dikatakan golongan T20 seakan menerima layanan tidak adil sedangkan kategori merekalah yang memajukan ekonomi negara dan mencorakkan momentumnya.
Kerajaan hilang pendapatan RM45 bilion selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Diperkenalkan 1 April 2015 tetapi hanya mampu bertahan setakat 1 Jun 2018 ketika 146 negara berjaya pun laksanakannya. Dilaporkan RM2.1 bilion hutang GST belum dilangsaikan. Dengan amaun ini boleh naik tarafkan 380 sekolah dan 400 klinik daif.
Pengundi setiap kali masuk pilihan raya akan dilayangkan persepsi, gosip, adu domba, fitnah, auta dan fakta. Itu belum lagi kekangan diterima pengamal politiknya yang diterjah ‘penyakit-penyakit hasad dengki’ dan cah keting.
Andai PH-BN melepasi cabaran enam PRN ini dengan bergaya, jelas rancangan serta dasarnya dalam enam bulan ini suatu eksperimen berharga dan terbaik yang akan meroketkan kerajaan perpaduan.
Dalam banyak keadaan, diri seorang pemimpin itu terpaksa membuat keputusan tidak popular demi untuk memberi nafas dalam bentuk makro kepada rakyat, negara, bahkan kepada partinya sendiri.
Dan kita sendiri tidak pasti apa yang ada dalam pemikiran seorang Perdana Menteri. Hanya kecekalan dan keberanian hati kering daripada kepemimpinannya sahaja yang boleh melawan tekanan-tekanan dihadapi diri dan parti. – UTUSAN