RAMAI pemerhati politik merasakan pemain-pemain senior di gelanggang politik sekarang akan berakhir dalam satu atau dua pilihan raya akan datang. Antaranya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan ramai lagi.
Sama ada mereka larah sendiri, tidak dicalonkan, menarik diri atau terkeluar daripada kepimpinan parti. Tersangat jarang pemain-pemain politik menarik diri dan menyerahkan kerusinya secara sukarela. Perkataan mereka bersedia memberi laluan kepada generasi baharu hanyalah cakap-cakap untuk memberi gambaran seolah-olah mereka berjiwa besar.
Ada tokoh yang menjadi wakil rakyat lebih 10 penggal, masih mahu berkapuk, berpapah pada kerusi tersebut sehingga ditolak oleh pengundi semasa pilihan raya. Jarang yang menyedari mereka sudah begitu lama bertenggek di kerusi tersebut dan telah sampai waktu untuk berundur.
Sikap pemain-pemain politik senior beginilah yang merimaskan anak-anak muda yang mendukung mereka. Kekadang peluang anak muda tersebut terlepas atau letih hingga mengundur diri. Begitupun, bagi yang benar-benar cekal, akhirnya dapat memanjat tangga di dalam parti dan mendapat tempat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ) dan ahli Parlimen.
Antara tokoh muda yang dilihat berpotensi untuk melangkah naik ke puncak kuasa ialah Datuk Seri Amirudin Shari, Nik Nazmi Nik Ahmad, Rafizi Ramli, Fahmi Fadzil, Nurul Izzah Anwar, Khairy Jamaluddin, Isham Jalil, Datuk Mohd. Shahar Abdullah, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahmad Fadhli Shaari. Mereka dalam lingkungan 40-an. Dalam lingkungan 30-an pula ialah Adam Adli Abd. Halim, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Shahril Sufian Hamdan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Itulah antara tokoh-tokoh muda yang berpotensi untuk memanjat ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Biarpun mereka mempunyai kebolehan tersendiri, mempunyai karismatik menarik, bagaimanapun kedudukan, pengaruh dan kekuatan parti sangat membantu masa depan mereka. Sekiranya parti yang mereka dukung menjadi tersangat lemah semasa mengejar puncak, maka peluang menjadi terlalu sukar.
Tidak boleh dinafikan, itulah antara nama-nama pelapis muda yang mulai berpengaruh dalam parti dan gelanggang politik dewasa ini. Mereka adalah nama-nama besar dalam kalangan pelapis yang menjadi perhatian aktivis politik, penganalisis politik dan rakyat. Perhatian diberikan kepada mereka tanpa membariskan tokoh-tokoh muda bukan Melayu, dengan andaian jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terus kekal kepada pemimpin Melayu dalam beberapa pilihan raya lagi.
LEBAI MALANG
Kalau diperhatikan, ramai dalam kalangan tokoh pelapis itu terdiri daripada anggota PKR. Ia bukan sahaja kerana PKR atas nama Pakatan Harapan (PH) memimpin negara pada masa ini dalam sebuah kerajaan bersama beberapa parti lain, sebaliknya memang mereka lebih menonjol kalau dibandingkan dengan tokoh-tokoh muda dari parti-parti lain.
Dalam kalangan UMNO terdapat Mohd. Shahar, Khairy Jamaluddin, Asyraf Wajdi, Isham dan Shahril Sufian. Melihat kepada kedudukan UMNO begitu lemah pada masa ini dan masa depan yang belum menentu, maka situasi ini boleh menggerhanakan peluang mereka.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO terpukul teruk hanya menang 26 kerusi, iaitu 20 di Semenanjung dan enam di Sabah. Keputusan paling buruk dalam sejarah pilihan raya dihadapi UMNO sejak PRU pertama 1955. Pada PRU14, UMNO masih menang 54 kerusi, PRU13 (86) dan PRU12 (79).
Melihat kepada keputusan PRU15 yang teruk, malah terpukul lengit di negeri-negeri Melayu atau Malay heartland, maka masa depan UMNO begitu gelap. Apatah lagi sekiranya perangai UMNO di takuk lama dan tidak mahu berubah. UMNO menjadi lebai malang, kerana tidak menang satu kerusi pun di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka. Lebih malang lagi bila kubu-kubu UMNO tewas dan dirampas oleh pesaing UMNO sejak dahulu, iaitu Pas.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula dapat tumpang semangkuk dari tumpahan tersebut dan mungkin mengambil alih peranan UMNO di kerusi-kerusi Melayu jika UMNO terus menjadi bebal serta tidak memahami perubahan selera pengundi.
Sesebuah parti untuk kekal relevan dan berpengaruh sekurang-kurang mempunyai dua faktor. Pertama. produk yang boleh dijaja dan diterima rakyat atau pengundi. Kedua, mesti ada base atau kubu kuat. Ketiga, mempunyai kepemimpinan utama berpengaruh dan satu pasukan yang diyakini oleh rakyat atau pengundi.
Apa yang jelas hari ini, UMNO kehilangan nombor satu dan nombor dua. Mungkin juga nombor tiga kalau disandarkan kepada keputusan PRU15.
Produk ampuh UMNO sebelum ini ialah ‘Melayu’ dan ‘raja.’ Nampaknya produk ini telah dimonopoli oleh Perikatan Nasional (PN), sebab itu mereka dapat menawan kubu-kubu UMNO. Malah produk PN menjadi semakin mujarab bila digaulkan dengan produk lama Pas, iaitu ‘Islam.’ Menjadikan produk mereka sangat dekat dengan selera orang Melayu, iaitu Melayu-raja-Islam. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis politik.










