“BERBANDING jenis kesalahan jenayah lain, jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan satu bentuk kekejaman paling teruk dan terkutuk kerana ia boleh memberikan pelbagai kesan jangka pendek dan jangka panjang yang bukan sahaja kepada mangsa kanak-kanak itu malahan juga ke atas keluarga mereka, komuniti dan masyarakat umum secara seluruhnya.” – Datuk Seri Azalina Othman Said dalam bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 (DR13/2023).
Pernyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) ini merangkumi sentimen kesemua aktivis hak kanak-kanak yang sering memerhati langkah kerajaan dalam memperkemaskan lagi sistem perlindungan sedia ada bagi manfaat kanak-kanak. Dengan lulusnya DR13/2023, kini Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) semakin diperkasakan bagi mematuhi standard antarabangsa terkini di bawah Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography yang diratifikasi Malaysia pada 12 April 2012.
Sebetulnya ada bahagian dalam DR13/2023 dilihat sebagai pindaan bersifat luaran seperti dibahaskan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah yang menyatakan penukaran istilah atau terminologi semata-mata tanpa sebarang pindaan kepada takrifan istilah dilihat bersifat superfisial dan bukannya bersifat substantif. Sebagai latar belakang, Fasal 2 hingga Fasal 11 DR13/2023 melibatkan penukaran perkataan ‘pornografi kanak-kanak’ dengan perkataan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak’ seperti disyorkan Garis Panduan oleh Jawatankuasa Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Kanak-Kanak.
Namun, takrifan di bawah Seksyen 4(a) Akta 792 masih mengekalkan erti kepada penggunaan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak’ dan DR13/2023 tidak pula mencadangkan sebarang penambahan kepada takrifan sedia ada. Satu-satunya perubahan substantif yang dibuat berkenaan penukaran istilah ini adalah pindaan kepada perenggan Misalan dalam Seksyen 5 Akta 792 yang kini memperkhususkan lagi pemakaian peruntukan ini.
Selain itu, DR13/2023 juga meminda Akta 792 dengan memasukkan kesalahan ‘persembahan seksual oleh kanak-kanak’ di bawah Seksyen 15A. Perubahan istilah dan kemasukan kesalahan ini penting bukan sahaja bagi memastikan realiti perundangan Malaysia selari dengan perkembangan polisi di peringkat sejagat, tetapi juga bagi menangani lambakan kes mutakhir ini melibatkan siaran langsung perlakuan seksual terhadap kanak-kanak secara terbuka di media sosial.
Sebagai contoh, sebelum ini beberapa aktivis hak kanak-kanak melaporkan kepada pihak berkuasa tentang video di pelbagai media sosial melibatkan pempengaruh yang menunjukkan perlakuan seksual terhadap kanak-kanak. Meskipun insiden ini dilihat lucah, namun tidak tepat untuk dikelaskan sebagai pornografi. Maka, dalam insiden sebegini, dapat dilihat kewajaran pindaan kepada Akta 792.
Begitu juga pindaan dalam Fasal 14 DR13/2023 yang mencadangkan kemasukan Seksyen 15B ke dalam Akta 792 berkenaan dengan kesalahan ‘pemerasan seksual kanak-kanak.’ Meskipun diakui kesalahan pemerasan telah pun wujud dalam Akta 792 sedia ada kerana sebelum ini, kesalahan ini dapat ditangani di bawah Seksyen 15(b), namun Seksyen 15B adalah lebih komprehensif. Pemerkasaan kepada Seksyen 15B adalah penting bagi menangani kejadian pemerasan seksual yang juga berleluasa di media sosial.
Pada 2021, polis Selangor menerima 220 kes membabitkan pemerasan dan ugutan menyebarkan video dan gambar bogel serta lucah melalui media sosial. Malah pada 2015, seorang remaja ditahan selepas mengugut untuk menyebarkan video lucah kenalan sebayanya. Insiden sebegini menunjukkan bahana yang timbul dalam penggunaan digital dan media sosial dalam kalangan kanak-kanak yang mana harus ditangani secara komprehensif oleh pihak berkuasa.
Pada pandangan saya, pindaan paling bertaring dalam DR13/2023 melibatkan kemasukan Seksyen 26A dan 26B berkenaan dengan perintah bagi pembayaran pampasan kepada mangsa kanak-kanak. Seperti dijelaskan dalam huraian DR13/2023, tujuan kemasukan dua peruntukan baharu ini adalah untuk memberi mahkamah kuasa bagi memerintahkan pembayaran pampasan kepada mangsa kanak-kanak di bawah Akta 792.
Tambahan pula peruntukan baharu ini dilihat sejajar dengan kerangka sedia ada di bawah Kanun Tatacara Jenayah serta sentimen yang berkembang sejak penggubalan Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840).
KELOMPONGAN
Dalam meraikan komitmen kerajaan menangani isu-isu melibatkan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak, saya masih merasakan wujud kelompangan besar yang masih tidak dipertimbangkan kerajaan. Meskipun Akta 792 kini semakin dilihat kemas dan utuh, namun dari sudut penguatkuasaan, bagaimana nanti pihak berkuasa menggunapakai peruntukan dalam Akta 792 jika bahan penganiayaan seksual kanak-kanak terbabit merupakan bahan yang diterbitkan di luar negara tetapi ditayangkan di Malaysia?
Sebagai aktivis masyarakat, saya pernah membangkitkan kelompangan dalam rangka pengawasan di antara Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital. Sebagai contoh paling mudah, filem Cuties yang diterbit untuk platform penstriman. Filem ini jika diterbitkan untuk pawagam sudah tentu tidak akan lepas garis panduan LPF dan akan disekat tayangan kerana mengandungi perlakuan seksual kanak-kanak. Malangnya, atas kelicikan penerbit Cuties, filem ini berjaya dipasarkan melalui platform penstriman tanpa sebarang penapisan.
Dengan kelompangan jelas sebegini, secara realistik, adakah pindaan di bawah DR13/2023 akan dapat dilaksanakan memenuhi objektif sebenar?-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).











