TIDAK sampai pun seminggu apabila kawalan sebatian racun nikotin dinyahkan daripada kawalan Akta Racun 1952, pelbagai gejala serta derita mula dilaporkan. Mengikut satu sumber, ada pelajar mengalami serangan sawan serta meracau akibat menghisap rokok elektronik (e-rokok) atau vape. Melalui media sosial paparan video Public Health Malaysia menunjukkan pelajar berpakaian seragam sekolah menggunakan vape secara terbuka tanpa sebarang sekatan. Jika dahulu ini menjadi satu kesalahan undang-undang sebagaimana penghisap rokok, kini tiada lagi.
E-rokok terlepas daripada belenggu tersebut. Maka pelbagai kesan buruk mula dirasai termasuk muntah-muntah di dalam kelas, mengalami kekejangan otot serta sesak nafas. Semua ini diakui berkaitan dengan keracunan vape yang terkesan mengikut seorang guru yang terlibat memberi bantuan kepada pelajar di sekolah. Tandas sekolah menjadi sarang ujian penggunaan vape. Bermakna memerlukan lebih pengawasan dan terus mengambil masa para guru yang sudah pun sibuk dengan urusan profesional harian mereka. Memandangkan ini berlaku pada bulan puasa, membawa pelbagai lagi pertanyaan yang merunsingkan.
Apa pun, adakah tercepat melangkah membebaskan racun kepada khalayak ramai tanpa berfikir panjang? Yakni kurang perancangan teliti yang kini mengundang kerenahnya sendiri. Walaupun keputusan pembebasan itu tepat dan wajar, ia masih songsang kerana diberitakan rang undang-undang (RUU) yang sepatutnya mendahului untuk melindungi khalayak daripada pembebasan nikotin, masih belum tersedia untuk pembentangan di Parlimen. Kini kononnya pada Mei ini pula.
Jika demikian, kenapa tergesa-gesa langkau hanya 24 jam untuk melakukan pembelotan ke atas keputusan yang telah pun mengambil sebulat suara oleh ahli lembaga racun dan juga dipersetujui pelbagai persatuan sekutu seluruh negara?
Nampaknya melibatkan desakan kuasa mutlak menteri secara tidak demokratik serta tidak etika untuk menggagal maksud murni lembaga yang mewakili suara teramai.
Amat mengecewakan apabila kini kesan kepada kanak-kanak sekolah mula menyayat hari demi hari. Apa lagi bagi ibu bapa yang tidak menduga kerana bergantung penuh harap akan kejujuran para profesional terlatih. Tetapi tidak kesampaian baik atas alasan apa jua sekalipun.
Termasuklah memungut cukai berjuta-juta ringgit kerana ramai masih nekad bahawa kesihatan itu tidak ternilai dan tiada tandingan harganya, apatah lagi menginsafi yang ia kurniaan Ilahi yang tidak boleh dijual beli. Bahkan berdosa jika kesihatan diracuni atau dipermudahkan seumpama yang berlaku dalam melonggarkan kawalan dan edarannya nikotin tanpa bersandarkan ilmu tepat.
Lebih cenderung pula kepada nafsu politik dan pasaran tamak haloba. Tambahan dalam bulan puasa yang suci lagi mensucikan lebih ke arah memperkuat azam berhenti penggunaan tembakau apa jua bentuk. Bukan sebaliknya – melebarkan lagi tabiat hodoh. Sedangkan petua yang mustajab – mencegah lebih baik daripada merawat. Terutama jika tidak terdapat rawatan ataupun tidak berkesan terhadap ketagihan nikotin dan tembakau amnya.
Umum diketahui, ketagihan adalah kemudaratan seluruh hidup dan boleh membawa maut pramatang bila-bila sahaja, melibatkan ribuan anak-anak muda setiap tahun. Oleh kerana itu jugalah, sememangnya tiada negara yang boleh mencegah 100 peratus menggunakan produk tembakau. Ini lumrah. Namun, tidak pula bermakna tiada negara yang lebih berjaya mencegah ketagihan berbanding Malaysia.
Misalnya, di rantau ASEAN, negara di utara dan selatan tanah air mempunyai rekod lebih memberangsang. Yakni Malaysia tercicir dan masih boleh memintas pelbagai langkah utama yang memperkasa, bukan melonggarkan – kuat kuasa jika benar-benar mahu membela nasib rakyat khususnya yang disasar industri tembakau tempatan.
Dan kini vape pula menjadi pelurunya. Ia bukan satu kebetulan tetapi percaturan rapi industri penagihan apabila terlihat usaha agak goyah dan tidak bersungguh sepertimana jiran utara dan selatan sempadan. Maka tidak hairanlah yang mereka berjaya dengan mudah sekali memesongkan individu berkuasa.
Umum juga mengetahui, perniagaan vape di negara ini hampir dibolot oleh satu kaum sahaja. Kebetulan lebih ramai penagih dadah berbahaya dalam kalangan kaum ini selain pengguna tegar tembakau. Malang hal ini seolah-olah tidak langsung diambil kira dalam mengurus dasar terbaru melibatkan nikotin. Lantas ini terus memburukkan lagi keadaan dalam kalangan kaum berkenaan, tatkala anak-anak di bangku sekolah turut ‘tergoda’ mencuba-cuba – satu umpan menarik untuk mula bergelumang dengan penagihan. Satu penegasan jangka panjang.
Apa yang nyata adalah bilangan usia muda terjebak sudah pun meningkat, pasti akan melonjak lagi selepas ini dan memerlukan lebih banyak lagi kutipan cukai bagi menampung perbelanjaan menyediakan pelbagai jenis rawatan serta pembelaian. Ini belum mengambil kira soal-soal emosi dan kesihatan mental yang terganggu-gugat, mengancam hubungan dengan pihak-pihak lain termasuk jenayah serta kemaksiatan pelbagai rupa.
Pendek kata, penderaan ini tidak akan berkesudahan. Oleh itu, masanya sudah sampai untuk berbalik ke pangkal jalan. Bak kata pepatah, sesat jalan, balik ke pangkal jalan. Yakni menarik semula keputusan sumbang yang menyebab penularan kemelut nikotin. Jangan tunggu Mei untuk ‘penyelesaian’ kerana sementera itu lebih ramai anak-anak kita terpedaya bertolak daripada keputusan yang kurang manusiawi.
Akhirnya, semoga pihak berwajib akan lebih bertanggungjawab dan penuh keinsafan atas sikap remeh, sama ada disedari atau tidak. Justeru, wajar juga meminta maaf semoga memupuk semula semangat bersama membela negara bangsa rakyat jelata. – UTUSAN
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










