Hentikan strategi pemasaran yang mengelirukan - Utusan Malaysia

Hentikan strategi pemasaran yang mengelirukan

gambar dari media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HEBOH cerita orang ramai seperti ‘merusuh’ kerana ingin mendapatkan baju Melayu berharga RM1, jenama seorang selebriti di Shah Alam pada minggu lalu.
Hanya sebab mahu dapatkan baju Melayu RM1 itu, selain merebut hadiah yang diuar-uarkan percuma seperti kurta dan telefon pintar, mereka sanggup beratur panjang seawal 2 pagi menunggu kedai dibuka pada pukul 10 pagi.
Bila sudah dibuka berduyun-duyun yang merempuh masuk dan bertolakkan sesama sendiri tanpa mengira ada ibu mengandung, ada ibu yang sedang menggendong bayi dan anak-anak kecil. Dengarnya, ada juga pengunjung yang kena pijak?
Akhirnya pihak polis terpaksa campur tangan dan dikatakan kedai itu ditutup tak sampai dua jam ia beroperasi kerana keadaan menjadi tidak terkawal.
Panas hati juga bila melihat ibu bapa yang sanggup mengheret anak kecil dalam lautan manusia itu, tak kasihankah pada anak-anak? Selalunya kalau ada perkara buruk berlaku pada anak dalam keadaan yang boleh mengundang bahaya ini, pasti orang lain pula dipersalahkan. Sedangkan, ibu bapalah yang mendedahkan anak-anak kepada risiko bahaya itu.
Melihat rakaman video yang tular di media sosial macam tak percaya ia berlaku di negara ini. Iyalah dengan pengunjung yang membaling-baling kotak pakaian, mengoyakkan kotak itu dan menjadikan kedai tersebut seperti ‘hendak terbalik’, macam sudah lupa pula mereka sedang berpuasa ketika itu.
Ada netizen yang memberi emoji ketawa apabila membaca berita itu dalam media sosial. Mengecam, beginilah perangai orang kita. Pantang betul dapat maklumat ada benda percuma atau jualan murah, jadi macam ‘hilang akal’ dan lupa adab. Ada yang sanggup bergaduh dan merosakkan pakaian-pakaian itu di bulan puasa ini.
“Peliklah. Kalau tak ada baju Melayu, tidak boleh beraya ke? Kalau tak ada bajet untuk tahun ini, pakai sajalah baju Melayu tahun lepas atau dua tahun lalu punya. Bukan ada orang perasan pun,” kata seorang netizen.
Pada saya, tak perlulah kita ketawa. Mungkin dalam yang beratur panjang itu, ada orang yang betul-betul susah dan miskin. Jangan ketawakan orang miskin. Perangai ini sama buruknya dengan orang yang merempuh budak-budak kecil itu.
Iyalah, beratur panjang untuk membeli baju Melayu butik yang berjenama dengan harga RM1, tak sama keadaannya dengan beratur panjang membeli telefon pintar i-Phone terbaru. Orang susah dan orang berduit beratur panjang, tak sama emosinya dan letihnya.
Saya setuju, mungkin ramai saja yang merempuh itu berkemampuan tetapi tetap suka berasak-asak begitu bagi menambahkan suasana kekalutan mendapatkan baju yang berharga murah.
Sedangkan, dia boleh beli pun harga baju Melayu RM300 sepasang atau lebih daripada itu. Orang macam ini memang ramai di negara ini, ini bukan masuk dalam kategori orang susah, mereka ini jatuh dalam kategori ‘susah difahami’.
Kalau ada pemberian makanan atau barang percuma, merekalah yang terdahulu beratur dan menyekat peluang orang yang lebih memerlukan untuk mendapatkan barangan itu. Tak tahulah bagaimana cara mereka berfikir.
Tetapi apapun, khabarnya ramai yang rasa tertipu de­ngan promosi itu. Dikatakan 100 orang pertama dapat beli baju Melayu RM1, sedangkan yang diperuntukan cuma 11 helai baju berharga RM1.
Tertipu atau pengunjung yang sebenarnya tidak dengar atau baca betul-betul, saya pun tidak pasti yang mana satu.
Tetapi itulah apabila sesuatu promosi itu tidak diterangkan dengan begitu jelas dan mengelirukan, tentunya ia menimbulkan salah faham orang ramai. Yang banyak disebut adalah RM1. Lain-lain itu tak diterangkan dengan terperinci.
Kebiasaannya, kalau ada jualan murah yang harganya tidak masuk akal sebegitu, tentulah ada syarat-syaratnya. Yang ini, orang ramai jangan terus percaya dan kena fahamkan betul-betul.
Bukan mudah hendak memberikan barang secara percuma atau mengadakan jual murah. Mesti ada terma dan syarat. Tak pun ada kos-kos tersembunyi yang kita tak nampak. Tetapi bila sudah membayarnya, baru kita sedar.
Begitulah strategi pemasaran yang mengaburi mata kita, bukan setakat baju raya, promosi syarikat-syarikat telekomunikasi contohnya. Ada kos-kos tersembunyi. Jangan percaya sangatlah istilah tanpa had atau percuma.
Pun begitu, kalau ini adalah satu strategi pemasaran untuk menjadikan ia tular sehingga menyusahkan orang yang betul-betul susah, mengambil kesempatan daripada kesempitan dan keadaan menjadi tidak terkawal yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai, ini adalah promosi murahan yang melampau.
Sepatutnya pengusaha-pengusaha pakaian atau barang keperluan untuk Hari Raya jangan mengambil kesempatan dan membuat promosi yang bukan-bukan.
Kalau betul hendak tolong orang susah, beri saja percuma 100 baju Melayu itu kepada golongan asnaf atau anak yatim. Yang itu, sudah pasti orang yang memerlukan.
Dalam keadaan ramai yang kesempitan wang kerana baru saja berhabis untuk persekolahan anak-anak dan macam-macam lagi yang perlu dibayar, tentunya promosi sebegini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk membelinya dengan apa cara sekalipun walaupun terpaksa beratur panjang dalam bulan puasa.
Kalau yang dapat hanya penat beratur, tidak dapat membeli apa-apa kerana baju yang dikatakan murah itu sebenarnya tiada atau kena membeli sepasang baju lagi yang berharga mungkin RM100 untuk mendapatkan baju RM1, ini yang dikatakan memainkan perasaan orang susah yang sedang terdesak!
Hakikatnya, yang kita katakan scammer itu wujud di mana-mana. Bukan saja menjawab telefon atau berkenalan dengan ‘mat salleh’ di media sosial. Dalam menggunakan perkhidmatan dan membeli-belah pun ada saja strategi pemasaran yang berunsur penipuan.
Dan sebagai pengguna, kitalah mesti bijak membaca strategi pemasaran begini. Jangan biarkan diri kita dipermainkan oleh syarikat-syarikat perniagaan yang memikirkan bahawa memang mudah sangat untuk menjebak orang ramai dengan jualan murah. Letak saja harga serendah 50 sen pun, pasti semua akan gelap mata dan jadi gelabah tak tentu hala.
Sampai bila pengguna rela dipermainkan oleh promosi-promosi jualan yang tidak masuk akal ini. Hakikatnya, orang meniaga mana yang mahu rugi menjual dengan harga terlalu murah dan beri lagi barangan percuma? Semua ini ada muslihatnya. Ini yang harus difikirkan oleh pengguna yang bijak.
Jangan biarkan diri dipergunakan dengan ‘bersidai lama’ di luar premis perniagaan demi strategi pemasaran yang entah apa-apa. Sepatutnya kita mengharungi Ramadan dengan tenang-tenang saja. Berebut-rebut mengejar ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di bulan mulia ini. Baju Melayu apalah sangat.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.