Berkunjung ke Singapura, menginap di Johor Bahru

Berkunjung ke Singapura, menginap di Johor Bahru

KEPESATAN pembangunan Johor Bahru dan kedudukan Singapura sebagai kuasa ekonomi serantau menjadikan Tambak Johor salah satu lintasan sempadan tersibuk di dunia. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR raya Johor Bahru terletak kira-kira satu kilometer dari Woodlands, Singapura. Kepesatan pembangunan Johor Bahru dan kedudukan Singapura sebagai kuasa ekonomi serantau telah menjadikan Tambak Johor sebagai salah satu lintasan sempadan tersibuk di dunia.

Dalam meningkatkan kapasiti lintasan antarabangsa ini, kerajaan Malaysia dan Singapura membuat keputusan untuk membangunkan projek sistem transit pantas atau rapid transit system (RTS). Laluan ini adalah sepanjang empat kilometer dan boleh mengangkut 10,000 penumpang per jam di kedua-dua arah apabila ia bakal tersedia pada 2027.

Singapura telah membangunkan transit aliran massa (MRT) laluan Thomson-East Coast yang menghubungkan Stesen MRT Woodlands North (stesen terminal RTS) terletak di hujung utara Singapura sehingga ke pusat bandar raya di Gardens by the Bay.

Sebagai contoh, pengembara yang menaiki feri dari Batam, Indonesia yang memilih untuk berlabuh di Harbourfront, Singapura berpeluang menggunakan kemudahan pengangkutan yang terhubung langsung dengan sistem MRT. Dari Harbourfront, perjalanan ke Stesen MRT Woodlands North hanya mengambil masa kurang satu jam.

Bagaimanapun, meman­dangkan RTS belum lagi beroperasi, perjalanan lancar hampir 60 minit merentasi Singapura berakhir di Stesen MRT Woodlands North tanpa sambungan langsung ke bandar raya Johor Bahru.

Bayangkan, betapa mudahnya perjalanan dari Singapura ke Johor Bahru apabila perkhidmatan RTS tersedia.

Singapura telah mempersiapkan negaranya dengan melancarkan perkhidmatan laluan MRT Thomson-East Coast bertahun lamanya sebelum RTS siap untuk digunakan. Malaysia juga perlu bersiap-siap dalam menggarap keuntungan ekonomi yang bakal diwujudkan menerusi RTS.

Memandangkan RTS akan memudahkan pergerakan penumpang di antara kedua-dua negara menjelang 2027, Johor Bahru juga perlu mengambil kesempatan dalam menjadikannya sebuah kota transit bertaraf dunia bagi menampung lebihan pelancong dari Singapura, sebuah bandar raya yang paling banyak dikunjungi di dunia.

Harga penginapan hotel-hotel di sekitar Singapura adalah tiga kali ganda berbanding pilihan penginapan yang terdapat di Johor Bahru. Ini adalah satu kelemahan Singapura yang Malaysia harus ambil kesempatan ke atasnya.

Ini bukanlah satu senario yang pelik. Sebagai contoh, terdapat pengembara yang menghadiri persidangan di Geneva, Switzerland tapi memilih untuk menginap di Ferney-Voltaire, Perancis. Bandar Ferney-Voltaire terletak tidak jauh di seberang sempadan yang menawarkan penginapan berpatutan dan tidak terlalu mahal berbanding Geneva. Walaupun perlu berulang-alik dari Ferney-Voltaire ke Geneva tetapi penjimatan yang dapat dilakukan adalah ketara.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa pengembara tidak perlu melewati kawalan imigresen dan kastam apabila menyeberang dari Perancis ke Switzerland, tidak seperti perlu dilakukan apabila merentasi sempadan Malaysia dan Singapura di Johor Bahru.

Singapura dan Malaysia kini memperkenalkan pintu automatik imigresen yang boleh memberikan perkhidmatan imigresen yang lancar tanpa halangan.

Menyedari kepesatan pembangunan dan limpahan ekonomi yang bakal dibawa oleh projek RTS ini, kerajaan Malaysia perlu proaktif sepertimana Singapura dengan membekalkan bandar raya Johor Bahru dengan sistem pengangkutan mantap dan kemudahan awam bertaraf dunia bagi menarik pelancong asing untuk ‘berkunjung ke Singapura, menginap di Johor Bahru.’

Mungkin tidak banyak pelancong asing yang akan menginap di Johor Bahru sekarang kerana kepayahan dan kesulitan untuk menyeberang sempadan antarabangsa di antara Woodlands dan Johor Bahru. Sudahlah kompleks imigresen Woodlands tidak terhubung dengan rangkaian MRT Singapura, perlu pula menaiki bas yang sesak hanya semata-mata untuk menyeberang Tambak Johor ke Johor Bahru.

Dengan adanya RTS, situasi ini pastinya akan berubah. Para pelancong dan pengguna RTS dapat menyeberang dan menuju Johor Bahru ataupun Woodlands dengan lebih mudah.

Oleh itu, Johor Bahru perlu dipersiapkan dengan kemudahan selayaknya sebagai sebuah kota pelancongan bagi memaksimumkan keupayaannya menjadi kota gerbang selatan Malaysia yang mampu menyaingi Singapura setelah RTS mula beroperasi. Sememangnya RTS adalah pemangkin dalam mentransformasikan Johor Bahru sebagai metropolis bertaraf antarabangsa di selatan Malaysia. – UTUSAN

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Felow Penyelidik di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×