Utamakanlah rakyat kita dahulu

Utamakanlah rakyat kita dahulu

SEBAK tatkala melihat rakyat selamatkan rakyat seolah-olah mereka tidak mempunyai wakil rakyat yang diberi tanggungjawab menyelesaikan masalah. – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA nak tanya, adakah semua Yang Berhormat (YB) tidak kira Perdana Menteri, menteri, menteri besar, ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang sedar bahawa anda semua ialah pemimpin dan wakil kepada rakyat Malaysia sahaja?

Bukankah anda dilantik oleh rakyat dengan niat untuk mengubah nasib golongan kelas bawahan, miskin, mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka serta membangunkan ekonomi negara? Maka, setiap perkataan, perlakuan, pelaksanaan dan penetapan yang YB ingin lakukan itu ‘wajib’ hanya memberi keuntungan kepada rakyat.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini cukup berbeza. Mereka yang disebut sebagai wakil rakyat seolah-olah lebih mengutamakan orang luar daripada anak tempatan sendiri. Berpusu-pusu segelintir mereka memfokuskan bantuan dan sumbangan kepada penduduk luar.

Ya, tiada masalah pun, kita memang perlu bantu mana-mana pihak yang berada dalam kesusahan, tapi janganlah keterlaluan sampaikan keutamaan kepada rakyat dilupakan. Seperti pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Ya, kita tahu Turkiye sedang berhadapan malapetaka gempa bumi yang meragut puluhan ribu jiwa manusia. Syabas kepada kerajaan yang telah menyatakan simpati serta menggerakkan bantuan kepada mereka.

Bukan sahaja penyelamat kita dihantar ke sana, bahkan RM20 juta turut disalurkan. Satu jumlah bantuan cukup luar biasa bahkan saya berani katakan, ia keterlaluan.

Kalau sudah beri, maka cukup setakat itu. Kini fokuskan pula bantuan kepada rakyat kita yang sedang lemas ditenggelami banjir besar di pelbagai kawasan dan negeri. Kadang-kadang rasa sebak tatkala melihat rakyat jaga rakyat, rakyat selamatkan rakyat dan rakyat bantu rakyat. Mereka seolah-olah tidak mempunyai wakil rakyat yang diberi tanggungjawab menyelesaikan masalah.

Ya, memanglah tidak semua YB macam itu, tapi kesungguhan bantuan itu tidak seperti kesungguhan mereka membantu orang luar. Kalau sudah tahu rakyat ditimpa banjir besar, maka hentikanlah sebentar bantuan kepada negara luar. Duduklah di kawasan sehingga masalah banjir itu selesai.

Begitu juga dengan sebahagian pemimpin kita yang terlalu menumpukan perhatian kepada Palestin yang masalahnya tidak pernah selesai. Saya tidak tahu berapa banyak sumbangan yang kita sudah buat pada Palestin, mungkin ratusan juta bahkan mungkin sudah mencecah lebih satu bilion? Apakah hasilnya? Seperti itu juga.

Itu maksudnya kita harus mencari jalan lain untuk membantu mereka, bukan hanya dengan sekadar sumbangan wang ringgit. Dan sumbangan yang diberikan itu juga adalah hasil daripada wang rakyat jelata. Wang rakyat seharusnya disalurkan kepada rakyat sahaja. Kalau nak sumbangkan juga, gunalah wang sendiri.

KUNO

Setiap YB harus sedar bahawa Malaysia masih belum layak untuk membantu negara luar kerana rata-rata rakyat kita hidup dalam kesusahan, pengangguran di mana-mana, infrastruktur begitu kuno dan pelbagai masalah utama seperti air, pendidikan dan sebagainya masih menyelubungi rakyat.

Jangan ingat kononnya tanpa sumbangan dan bantuan Malaysia, Palestin dan negara Islam lainnya akan lumpuh. Ketahuilah, bantuan-bantuan kepada negara-negara tersebut turut dijalankan oleh pelbagai negara termasuk negara bukan Islam.

Ini tidak, semuanya sibuk hendak ambil nama, nak tunjukkan dialah paling Islamik dan paling baik semata-mata ingin menonjolkan parti dan mengangkat diri sendiri. Hendak kata dialah paling cakna dengan masalah umat.

Kalau kita hentikan sebentar bantuan kepada mereka, Palestin tidak akan lumpuh dan Turkiye tidak akan berada dalam kesusahan. Kalau yang hendak bantu itu negara Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mahupun negara Eropah yang kaya raya itu, kita pun tidak kisah bahkan memang mereka perlu membantu kerana situasi rakyat mereka cukup baik dan semuanya terjaga makan dan minum.

Itu belum lagi bercakap tentang lambakan pelarian asing yang semakin tidak terkawal. Sibuk bawa masuk macam-macam pelarian ke negara ini dengan niat hendak membantu mereka, tetapi tiada langsung gerak kerja tersusun. Yang jadi mangsa, rakyat jelata.

Saya hendak tanya, ada mana-mana wakil rakyat yang sudi berbahas isu lambakan pelarian dalam Parlimen? Ada mana-mana wakil rakyat yang boleh menyeru supaya kerajaan menutup pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dilihat sebagai punca utama pelarian ‘naik kepala’ di negara ini?

Selain itu, sepatutnya para YB ini semua bersikap tegas dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sibuk menghulurkan bantuan di negara luar. Arah mereka supaya bantu anak tempatan kita yang susah sebelum nak buat perigi-perigi di Kemboja, hospital di Syria dan sekolah di Palestin.

Apa gunanya ada kuasa tapi tidak berani hendak guna? Percayalah, kalau para YB menumpukan perhatian sepenuhnya pada nasib rakyat sendiri, anda semua pasti disayangi dan insya-Allah akan terus menang pada pilihan raya akan datang.

Oh ya, seruan saya untuk mengutamakan anak tempatan adalah selaras dengan apa yang disarankan oleh Islam. Bukankah YB yang beragama Islam tahu terdapatnya hadis yang mengatakan keutamaan bersedekah kepada kaum kerabat terdekat terlebih dahulu sebelum orang lain?

Mungkin sebahagian YB kurang senang dengan catatan ini yang dilihat keras dan terlalu berterus terang tetapi inilah hakikatnya, inilah faktanya dan inilah suara rakyat kelas bawahan yang ingin saya sampaikan kepada pihak atasan.

Saya tidak mahu menjadi pegawai khas yang hanya mengangguk kepada orang politik, sebaliknya nak gunakan sedikit kelebihan yang ada ini untuk menasihati semua orang politik supaya tidak lari dari landasan sebenar. Hidup mati biarlah untuk rakyat jelata sahaja. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN