MENJELANG 100 hari pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan, banyak pula timbul kaji selidik ke atas prestasi Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet. Paling awal dibuat ialah kaji selidik Merdeka Center dari 26 Disember 2022 hingga 15 Januari 2023 yang mendapati tahap kepuasan hati rakyat adalah di peringkat membanggakan.
Kaji selidik ini dibuat secara berkala membabitkan 1,209 responden yang dipilih teliti mengikut kaedah pensampelan rawak berstrata. Semua sampel dikelompokkan dengan beberapa parameter dan dipilih dari setiap kelompok dan bukan diambil secara rawak dari seluruh populasi.
Anwar genap 100 hari menjadi Perdana Menteri, esok manakala dua timbalan perdana menteri dan 25 menteri akan genap tempoh itu pada 13 Mac ini.
Antara parameter yang selalu digunakan dalam kaji selidik ialah umur, etnik, jantina dan tempat tinggal bagi memastikan sampel adalah gambaran sebenar ke atas seluruh populasi. Secara spesifiknya, kaji selidik Merdeka Center mendapati:
68% responden berpuas hati terhadap prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri mengikut etnik India (91%), bumiputera bukan Islam (83%), Cina (73%), bumiputera Islam (66%) dan Melayu (60%).
54% responden berpuas hati terhadap kerajaan perpaduan mengikut etnik India (67%), Cina (65%), Melayu (49%), bumiputera bukan Islam (42%) dan bumiputera Islam (39%).
Lebih mutakhir ialah kaji selidik firma penyelidikan O2 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Nanban. Kaji selidik bertajuk Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim & Kerajaan Perpaduan ini dibuat dari 6 hingga 16 Februari lalu.
Umumnya, dapatan kaji ini bersifat pelbagai. Ada yang menunjukkan kecenderungan positif, pertengahan dan negatif.
Contoh positif ialah bila lebih ramai, iaitu 45% responden menyatakan hala tuju semasa negara betul berbanding 30% responden yang menyatakan salah.
Contoh pertengahan bila 38% responden menyatakan ekonomi negara bertambah baik berbanding 39% bertambah buruk.
Contoh negatif pula 51% responden tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka berbanding 25% responden berpuas hati.
Yang lebih menonjol dalam laporan-laporan media ialah persepsi negatif orang Melayu terhadap pencapaian kerajaan perpaduan setelah 100 hari pentadbirannya. Ini dilihat dalam tajuk-tajuk seperti Kaum Melayu paling ramai lihat ekonomi Malaysia bertambah buruk dan Cabaran PM Anwar tawan hati Melayu Semenanjung. Ini berpunca daripada dapatan kaji selidik berikut:
71% Melayu Semenanjung tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto PRU15 berbanding India (20%) dan Cina (20%).
53% Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 bertambah buruk berbanding India (11%) dan Cina (21%).
43% Melayu Semenanjung menyatakan hala tuju semasa negara salah berbanding India (7%) dan Cina (13%).
Begitu juga dapatan kaji selidik ini yang menunjukkan menteri-menteri bukan Melayu paling menunjukkan prestasi baik setelah 100 hari pentadbiran kerajaan perpaduan. Tiga daripada empat tempat teratas dikuasai menteri bukan Melayu, iaitu Anthony Loke (49%) diikuti Anwar (40%), Hannah Yeoh (39%) dan Nga Kor Ming (34%).
Tiga daripada empat tempat terbawah dikuasai menteri Melayu, iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (61%), diikuti Rafizi Ramli (54%), Datuk Aaron Ago Anak Dagang (52%) dan Datuk Seri Mohamad Sabu (51%).
Dari sudut kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pula, 47% responden tidak menerima berbanding 33% menerima, dan penyokong BN paling ramai tidak menerima (59%).
Maka dirumuskan, walaupun kerajaan perpaduan mempunyai dua pertiga kerusi Parlimen tetapi tidak berpadanan dengan tahap penerimaan rakyat terhadap prestasi semasa. Dan tahap penerimaan rakyat yang didakwa kurang memberangsangkan ini dikaitkan dengan sentimen rendah dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap keyakinan kerajaan.
Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan beberapa ahli akademik lain bahawa kaji selidik hendaklah cermat dalam aspek metodologi. Apa yang dikatakan sentimen rendah dalam kalangan masyarakat Melayu dilihat agak keterlaluan kerana berdasarkan pemerhatian saya, terdapat kenaikan dalam sokongan mereka.
Ramai Melayu memuji bila kerajaan perpaduan menurunkan cabutan khas nombor ramalan empat digit (4D) kepada lapan kali berbanding 22 kali setahun sebelum ini. Lebih ramai Melayu memuji bila Anwar menyulami pembentangan Belanjawan 2023 dengan petikan-petikan al-Quran dan hadis.
Ramai juga Melayu memberikan respons positif terhadap cara Anwar bertindak balas pada insiden Islamofobia di Sweden.
Malaysia Madani yang dilancarkan olehnya pada 19 Januari lalu juga akar umbinya adalah daripada tradisi Islam, begitu juga tata kelola baik termasuk pembasmian rasuah serta memastikan golongan rentan terus diberikan pembelaan.
Penilaian terhadap prestasi jemaah Kabinet juga tidak boleh dibuat secara semberono berdasarkan persepsi responden tidak objektif yang hanya berpandu kepada publisiti dalam media. Sebaliknya, setiap menteri ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang tidak diketahui secara mendalam oleh orang ramai dan hanya boleh diukur melalui pencapaian matlamat kementerian.
Dari sudut kerjasama PH-BN, sehingga sekarang tiada tanda tidak menerima yang besar, malah semakin erat sejak Sekretariat Kerajaan Perpaduan ditubuhkan yang menubuhkan Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.
Oleh itu, media perlu lebih berhati-hati supaya tidak terheret dengan agenda pihak-pihak yang mungkin masih menyimpan harapan akan berlaku perubahan kerajaan lagi di tengah penggal. – UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.











