Sesuaikan diri daripada pembangkang kepada kerajaan - Utusan Malaysia

Sesuaikan diri daripada pembangkang kepada kerajaan

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SIAPA sangka, Perlis yang selama ini menjadi kubu kuat atau deposit tetap UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya dirampas dengan penuh bergaya oleh Perikatan Nasional (PN) yang menyapu 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan negeri buat kali pertama.

Apabila rakyat sudah berani membuat perubahan, sudah pasti mereka meletakkan keyakinan dan harapan cukup tinggi terhadap kepemimpinan baharu kerajaan negeri itu dalam membawa perubahan di Perlis.

Menjengah lebih 100 hari pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan MOHD. SHUKRI RAMLI, wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD bersama jurufoto, SHAHIR NOORDIN menemu ramah Menteri Besar (MB) itu yang menyentuh pelbagai perkara termasuk kejayaan, perancangan serta cabaran dalam mengetuai kerajaan negeri.

UTUSAN: Boleh Yang Berhormat (YB) kongsi pencapaian dan prestasi keseluruhan?
MOHD. SHUKRI: Untuk 100 hari ini, antara kejayaan kita ialah berjaya menerima masuk pelaburan bernilai RM318 juta dan kemudian kita juga ada membuat rundingan dengan Bank Muamalat untuk memberi pinjaman kredit mikro kepada industri kecil dan sederhana (IKS). Jadi (perkara) ini kita belum isytiharkan lagi, namun kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk pinjaman ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah mendapat kelulusan untuk pelaksanaan projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang ketika ini sedang berjalan dan insya-Allah hujung tahun ini juga kita akan mulakan pelaksanaan Jeti Bersepadu Sanglang.

Projek tersebut akan disambung pembinaannya yang saya rasakan merupakan satu kejayaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Seperti tuan-tuan dengar semasa Perdana Menteri berkunjung ke Perlis baru-baru ini, beliau maklumkan kerajaan akan lupuskan hutang perumahan berjumlah RM33 juta. Terkini, Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC) iaitu loji di Kuala Sungai Baru juga akan lupuskan hutang Syarikat Air Perlis (SAP) berjumlah RM30 juta. Bagi Perlis yang merupakan sebuah negeri kecil, ini merupakan satu kejayaan besar.

Melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) pula, direkodkan secara purata sebanyak 319 aduan dan daripada jumlah itu, 40 peratus berjaya diselesaikan sepanjang tempoh 100 hari ini. Kerajaan negeri juga merancang untuk adakan Tahun Melawat Perlis 2024, jadi kita harap rakyat dapat buat persediaan untuk menerima pelancong yang ramai ke negeri ini.

CABARAN TERHEBAT

Dari seorang guru dan kali pertama sebagai MB selepas lebih 50 tahun dikuasai kerajaan BN, apa cabaran terhebat YB?
Cabaran paling hebat, pertama sekali adalah untuk menyesuaikan diri dengan sistem pentadbiran. Walaupun saya menjadi wakil rakyat selama dua penggal, namun ketika itu saya tidak terlibat secara langsung dalam pentadbiran. Apabila dilantik sebagai MB, maka saya kena sesuaikan diri. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan awam khususnya ketua-ketua jabatan yang sentiasa memberi kerjasama amat baik untuk saya bersama barisan Exco.

Kedua, cabaran perlu saya hadapi adalah untuk memahamkan seluruh lapisan masyarakat khususnya ahli-ahli parti yang telah lama berjuang sehingga kami menjadi kerajaan. Apabila kita dapat menubuhkan kerajaan maka mereka juga perlu sesuaikan diri daripada pembangkang kepada kerajaan. Perkara ini pun kita masih dalam proses untuk fahamkan keseluruhan rakyat yang kita tidak tumpu kepada pentadbiran parti tetapi memfokuskan kepada pentadbiran negeri yang mana semua rakyat akan disantuni dengan sebaiknya.

Berbeza dengan Kedah, Terengganu atau Kelantan yang mempunyai sumber, bagaimana perancangan kerajaan negeri dalam menjana pendapatan agar tidak terlalu bergantung kepada Pusat?
Pertamanya, kita mengalu-alukan pelaburan seperti yang disebut tadi iaitu membabitkan nilai sebanyak RM318 juta. Kedua, saya sudah maklumkan dan mohon kepada Perdana Menteri supaya kawasan industri makanan khususnya padi di Perlis seharusnya dibantu oleh Kerajaan Persekutuan. Kami pungut cukai di Perlis lebih kurang RM150 juta dan Kerajaan Persekutuan mesti bantu tambah RM150 juta untuk pastikan industri padi ini dapat dikekalkan.

80 peratus daripada kawasan di Perlis merupakan kawasan pertanian. 20 peratus lagi industri. Dan disebabkan itulah lambat untuk capai sasaran negeri cukup pendapatan. Secara dasarnya, Perdana Menteri sememangnya bersetuju dan kita juga minta ahli-ahli Parlimen kita untuk bangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat.

PELANCONGAN

Pelancongan dilihat antara prospek utama menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini?
Pertamanya, kita akan tingkatkan lagi prasarana supaya dapat memudahkan kehadiran pelancong. Kedua, jika kawasan pelancongan itu dibangunkan oleh individu, maka kita harap mereka juga dapat tingkatkan penambahbaikan dan kerajaan negeri akan beri perhatian untuk bantu promosikan tempat mereka agar pelancong mudah datang. Rakyat kena bantu bangunkan banyak lagi tempat-tempat penginapan.

Buat masa ini, kita ada dua permohonan untuk bangunkan hotel di Perlis dan kita alu-alukan pelaksanaannya bagi memenuhi permintaan penginapan yang tinggi khususnya pada waktu cuti persekolahan. Perancangan awal kita nak pastikan negeri ini bersih, promosi dan selepas itu kita akan adakan Tahun Melawat Perlis 2024.

Apa perancangan kerajaan negeri dalam mengambil peluang Perlis sebagai negeri bersempadan dengan Thailand?
Kita ingin membuka semula Wang Kelian untuk kawasan bebas cukai. Kalau ini diluluskan Kerajaan Persekutuan, kita dapat tingkatkan kehadiran pelancong dan mereka juga boleh melawat pekan sehari di Wang Prachan, Thailand dengan lebih mudah.

Selain itu, kawasan di sempadan juga telah selesai pembinaan ruang niaga Padang Besar Pavilion yang boleh menarik lagi ramai pelancong untuk membeli-belah di sana. Selain produk Perlis, terdapat juga produk-produk Thailand dipasarkan di sana. Kita tidak mahu Perlis menjadi kawasan laluan sahaja untuk pengunjung ke Pulau Langkawi atau Thailand. Kita mahu orang ramai singgah dan nikmati barang makanan dari Thailand di sini yang diusahakan oleh anak tempatan.

Bagaimana YB melihat potensi pelaburan di kawasan sempadan negeri ini?
Kawasan sempadan ini kebiasaannya membabitkan pelaburan hotel. Pembinaan hotel di kawasan sempadan negeri ini kini sedang dalam proses. Pembinaan rumah kos rendah pun sememangnya dalam perancangan. Penginapan lain, saya ingat sudah ada banyak inap desa di kawasan sempadan negeri ini. Malah, di kawasan Kubang Tiga di sini pun kerajaan negeri dalam perancangan untuk membina jalan raya baharu bagi meningkatkan pembangunan di sana.

Masalah alur pelayaran cetek di Kuala Perlis sering kali menyebabkan perkhidmatan feri terganggu sekali gus pelancong ke Langkawi mula beralih ke Kuala Kedah?
Kerajaan negeri sedang melaksanakan kajian untuk membina jeti baharu. Kerajaan Pusat peruntukkan sejumlah RM50 juta buat kerajaan negeri sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kita sedang dalam pelaksanaan kajian.

Ada kemungkinan jika perlu, dapatan daripada kajian itu kita akan bina jeti untuk pendaratan feri di Kuala Perlis. Untuk perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan (roro) dan lain-lain akan beralih ke Jeti Bersepadu Sanglang. Feri penumpang akan kekal di Kuala Perlis. Kita akan bina jeti lebih ke tengah seperti di Pulau Langkawi.

MOHD. Shukri Ramli menunjukkan kad laporan antara kejayaan dan pencapaian sepanjang 100 hari pemerintahan kerajaan PN Perlis di pejabat Menteri Besar, Kangar, baru-baru ini.

PRESTASI EXCO

Adakah YB berpuas hati dengan prestasi barisan Exco setakat ini?
Kita masih perlu banyak belajar. Mereka perlu hayati portfolio masing-masing dan perlukan banyak pendedahan lagi. Ini kita akui di mana sebahagian Exco hanya tumpu kepada portfolio tertentu dan tidak menumpukan secara keseluruhan. Kita akan pergiatkan lagi kefahaman kepada semua Exco. Kami semua masih baharu dan perlukan banyak pendedahan.

PENIAGA KECIL

YB dilihat membawa imej cukup baik dalam kalangan rakyat, namun selepas ini rakyat sudah pastinya menantikan sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada mereka?
Sekiranya ada pelaburan, pastinya banyak peluang pekerjaan tersedia. Buat masa ini, terdapat satu pelaburan di Perlis yang bakal menyediakan 2,000 peluang pekerjaan. Pelaburan seumpama ini sememangnya akan diberi keutamaan oleh kerajaan negeri. Sebab itu Perlis tidak tumpu kepada tenaga solar memandangkan peluang pekerjaan dalam bidang itu terlalu sikit.

Kita tumpu pada sek­tor yang menyediakan banyak peluang pekerjaan. Keba­nyakan pelaburan yang datang kita minta untuk proses bahan mereka dengan bina kilang di negeri ini. Untuk jangka masa pendek, kita sedang ke arah membantu peniaga-peniaga kecil untuk mendapat dana dan sebagainya. Kita mahu bagi peluang kepada mereka membuka gerai dan perniagaan.

Kita juga akan adakan pinjaman kredit mikro buat peniaga kecil ini. Kita baharu sahaja wujudkan persefahaman dengan pihak bank bagi mereka sediakan pembiayaan dari RM5,000 hingga RM10,000 untuk peniaga kecil mulakan atau tambah baik perniagaan. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 500 peniaga.

PENDEKATAN LUNAK

Pendekatan YB dilihat lebih lembut berbanding MB Kedah yang lebih keras atau ‘cakap lepas’, namun agak popular di media sosial. YB pula bagaimana?
Saya merupakan seorang yang tidak terlalu drastik (dalam membuat sesuatu tindakan). Pendekatan saya lebih lunak dengan semua orang malah kita harap dengan pendekatan ini akan dapat diterima baik oleh seluruh lapisan masyarakat. Tiada sesiapa terasa hati dan tiada orang yang tertinggal dalam pendekatan yang saya gunakan ini.

Kerajaan negeri lebih terbuka untuk menerima kritikan dan teguran. Ini akan membantu kita tingkatkan lagi proses pentadbiran. Mereka orang-orang muda (MB Kedah dan Terengganu), saya ini orang berusia (62 tahun). Saya tidak terikut dengan rentak mereka sebab saya dengan cara saya sendiri.

RAKYAT SUDAH BERANI

Perlis sebelum ini diketahui sebagai kubu kuat BN, namun dalam PRU15, pengundi sudah berani membuat perubahan. Komen?
Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih dan tahniah buat rakyat Perlis kerana berani melakukan perubahan. Kedua, sebagaimana kita berusaha untuk melakukan perubahan ini, maka saya harap kita tidak terlalu laju agar pemerintahan ini kekal lama. Kalau laju sangat pun takut nanti cepat penat. Kita buat secara tidak terlalu drastik, namun akan ada perubahan berbanding sebelum ini.

Apa cabaran dalam mengekalkan penguasaan PN di Perlis?
Kita akan bagi perkhidmatan terbaik buat rakyat untuk pastikan kerajaan ini dapat dikekalkan. Sekiranya kita tidak dapat laksanakan yang terbaik untuk rakyat maka mereka pasti akan berubah. Rakyat sudah berani dan bijak dalam tentukan kepimpinan mereka.

Bagaimana penerimaan rakyat Perlis terhadap pimpinan kerajaan PN setakat ini?
Pada pandangan saya, rakyat masih bersama PN dan saya dapat sebutkan di sini di mana seluruh rakyat yang bakal mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi perlu untuk bersama-sama PN supaya kita dapat pertingkatkan kemajuan dalam negara di samping memastikan rakyat menikmati kehidupan sejahtera.

PENGUNDI CINA

Apakah langkah PN bagi menarik undi masyarakat Cina?
Saya lihat di negeri-negeri yang ditadbir oleh PN, kita tidak pernah sesekali mengabaikan masyarakat Cina. Di Perlis pun kita santuni masyarakat Cina dengan sebaiknya khususnya sewaktu perayaan Tahun Baharu Cina sebelum ini. Walaupun kita sedar mereka tidak banyak memberi undi kepada PN tapi kita santuni mereka sebagai rakyat seperti biasa malah lebih baik berbanding sebelum ini.

Kaum Cina mesti sedar bahawa kerajaan PN lebih baik daripada pentadbiran kerajaan PH (Pakatan Harapan). Walaupun kita mendapat undi sedikit, namun kita tidak pernah berdendam malah turut santuni mereka sehabis baik.

KESILAPAN BESAR

UMNO kini dilihat bukan lagi parti Melayu utama pasca PRU15. Adakah ini bermaksud orang Melayu telah beralih sepenuhnya kepada PN?
Semestinya orang Melayu kena beralih kepada PN. Sekiranya mereka masih bergantung kepada UMNO-BN, ia merupakan kesilapan besar. UMNO kini di ambang kejatuhan malah tiada satu parti pun akan kekal bersamanya. Jadi, marilah bersama PN.

Bagaimana hubungan Perlis dengan kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Anwar?
Saya secara peribadi bersama kerajaan negeri sememangnya tiada apa-apa masalah dengan Kerajaan Persekutuan. Kehadiran Perdana Menteri ke Perlis baru-baru ini juga dimaklumkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu. Begitu juga menteri-menteri Pusat yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN