PRN: PH dalam dilema di Selangor? - Utusan Malaysia

PRN: PH dalam dilema di Selangor?

Datuk Seri Amirudin Shari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN mengejut Perikatan Nasional (PN) menawan enam kerusi Parlimen di Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak boleh dipandang remeh sama sekali oleh Pakatan Harapan (PH). Dalam PRU14, PH cuma hilang kerusi Parlimen di Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

Namun pada PRU15, PH kalah kerusi Parlimen Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Sungai Besar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat turut ditawan Pas.

Kesemua kerusi DUN di bawah enam kawasan Parlimen yang sedang dikuasai PN akan menyaksikan satu pertarungan hebat antara PH dan Barisan Nasional (BN) dengan gagasan PN dipelopori Bersatu dan Pas.

Dalam pada itu, tindakan pembersihan dalaman UMNO baru-baru ini mungkin juga akan memberi impak besar kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu. Terdapat khabar meramalkan beliau mungkin melompat ke PN dan mengetuai pembangkang untuk melawan PH serta BN dalam PRN.

Disebabkan Noh tidak sefahaman dengan pucuk pimpinan parti dalam menggerakkan jentera dalam PRU15, beliau digugurkan daripada bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang pada saat-saat akhir.

Sekiranya bekas pemimpin UMNO itu benar-benar berpindah ke PN menjelang PRN seperti hangat diperkatakan, ia mungkin mencetuskan beberapa arus penentangan yang mampu menaikkan momentum kemenangan PN di kerusi DUN terutama di bahagian barat laut Selangor.

Daripada 22 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Selangor, jumlah pungutan undi gabungan UMNO dan PN dalam 12 kerusi mengatasi bilangan undi dikutip PH. Oleh demikian, ancaman politik yang kini dihadapi PH boleh dikatakan tidak kurang kecilnya.

Akan tetapi kerana PH dan BN telah pun bergabung membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU15, maka lawan sudah menjadi kawan, persaingan yang tidak perlu kini boleh dihapuskan sama sekali.

Daripada keputusan pemilihan UMNO yang terkini, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap menguasai MKT dengan kukuh. Ketua-ketua bahagian UMNO di seluruh negara nampaknya juga memberikan sokongan penuh kepada presiden. Maka, dalam PRN di keenam-enam negeri kelak, jalinan kerjasama PH dan BN (UMNO) kelihatan tidak akan wujud sebarang halangan.

Berpandukan teknik pengiraan matematik mudah, jika kita mencampurkan jumlah undi dikutip PH dan BN, maka keenam-enam kerusi Parlimen di Selangor yang dimenangi PN boleh menjadi milik kerajaan perpaduan. Namun, jikalau kem anti-Ahmad Zahid bermuafakat dan cuba membantu PN secara senyap-senyap, maka kemenangan PH akan terhakis.

BANDAR

Isu pengagihan kerusi DUN dalam kalangan parti komponen PH di Selangor juga sangat menarik perhatian umum. Konsensus awal ialah setiap parti anggota PH akan diberi jumlah kerusi yang sama seperti dalam PRU14 untuk bertanding dalam PRN.

Dalam PRU14, PH memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, yakni PKR (21 kerusi), DAP (16 kerusi), Parti Amanah Negara (Amanah) lapan kerusi dan Bersatu (enam kerusi) yang kemudian keluar dari gagasan PH. Bagi pembangkang pula, UMNO menang empat kerusi dan Pas satu kerusi.

Dalam PRN akan datang, keempat-empat kerusi DUN dimenangi UMNO dan satu kerusi dipegang Pas dijangka diserahkan kepada UMNO. Seterusnya, sembilan kerusi DUN yang diserah kepada Bersatu (menang enam) dalam PRU15 juga diramal diwakili UMNO.

Bagi UMNO Selangor, demi kelangsungan politik, parti itu amat bergantung pada PH. Akan tetapi, memandangkan enam kerusi Parlimen telah pun ditawan PN dalam PRU15 dan perolehan jumlah undi PH di enam kerusi Parlimen yang lain tidak melebihi separuh, PH sesungguhnya perlu sedar bahawa sudah timbul petanda-petanda kemerosotan kuasa gagasan itu di negeri tersebut.

Di kawasan bandar dan pinggiran bandar, PH didapati masih menikmati penerimaan meluas dalam kalangan pengundi semua kumpulan etnik. Ketiga-tiga parti dalam gagasan PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk terus mengekalkan kemenangan di kawasan pengundi campuran.

Dalam pada itu, tindakan sesetengah pemimpin PN mengecam masyarakat bukan Melayu tanpa berfikir panjang mungkin akan menjarakkan penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap gagasan itu. Pada hakikatnya, PH berada dalam dilema.

PH bukan sahaja perlu sentiasa mengawasi serangan sengit daripada Bersatu dan Pas, bahkan PH harus memastikan UMNO boleh terus hidup agar melengkapi pemerintahannya, tetapi tidak pula membiarkannya bergerak terlalu maju sehinggakan menggugat dominasi gagasan PH.

Kes pendakwaan beberapa pemimpin parti pembangkang ke mahkamah diibaratkan pedang dua mata. Ini mungkin mencetuskan rasa simpati pengundi untuk terus memberikan undi lebih banyak kepada PN dalam PRN.

Mungkin juga kerana tuduhan tersabit, pengundi akan hilang kepercayaan terhadap integriti PN dan mengalihkan sokongan kepada PH dan BN. Namun, sebelum peti undi dibuka pada saat pengiraan undi, apa-apa sahaja boleh berlaku. – UTUSAN

DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN