BERAMAH mesra adalah satu ungkapan yang penuh bermakna dan tinggi pula nilainya. Ia merupakan asas dalam mengeratkan lagi perpaduan sesama sendiri, lantas membina masyarakat bertamadun serta berbudaya tinggi lagi kukuh. Bersulam adab, beradat, bermaruah hasil perilaku berakhlak paling disegani.
Para pemimpin berhemah sering peramah dan pandai pula merendah diri secara spontan. Tidak bodoh sombong atau menunjuk-nunjuk untuk menagih pujian-pujian atau nama.
Namun, ia tidak akan kekal kerana ‘rahmah’ (kasih sayang) semesti terbit dari hati sanubari yang luhur, jujur lagi ikhlas. Kurang daripada itu kemesraan bersalut keangkuhan baik dari sudut bahasa mahupun pergaulan. Apatah lagi perlakuan bak rusa masuk kampung.
Ini ketara melalui lawatan turun padang yang mencerminkan keegoan mementingkan diri sendiri mendahului segala-galanya. Jadi, sambutan yang ditunjukkan kelihatan dingin, kaku dan mandul. Sedangkan ia mampu membawa kepada rahmatan lil alamin (RLA) – yakni berkasih sayang alam semesta, merangkumi setiap makhluk kejadian Ilahi.
Begitulah nilai beramah mesra yang memancarkan sinar dari lubuk hati yang suci. Tidak mencaci dan mengaibkan. Tidak pula berdendam atau berkhianat seperti yang lumrah dini hari.
Dirasuk teknologi yang tiada berhati perut, hanya getaran gelombang beralun tanpa emosi. Tetapi mampu menjahanamkan insan yang tandus akal budinya. Media sosial menjadi pentas lakonan, mengadu domba tanpa segan silu lagi.
Sekali gus, dalam hal ini pengertian ‘rahmah’ bertukar wajah dan hala tujuan. Ia lebih mirip kepada kebendaan dari kerohanian, lahiriah dari batiniah, ruang saku dari lubuk hati. Fahaman rahmah seumpama ini dikatakan memayungi kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar dengan memperkenalkan bantuan kos sara hidup mengikut tafsiran kementerian berkenaan.
Maka, terguballah istilah baharu di bawah konsep Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, Bakul Rahmah sehinggalah Jualan Rahmah dan Bazar Rahmah serta pelbagai lagi yang sedang dirangka memandangkan sambutan hangat daripada kumpulan yang disasarkan.
Terdapat juga tempias kepada pihak lain yang turut memerlukan bantuan akibat kesan kos sara hidup mereka yang pantas meningkat. Kurang menentu hari demi hari sejak pandemik melanda tanpa putus-putus ke seluruh dunia.
Beramah-ramahan tidak lagi digalakkan, takut-takut terjangkit walaupun tidak secemas dahulu. Apa pun, rahmah terus dijenamakan selaras dengan pengupayaan ekonomi dan penghidupan pantas seharian merentasi batasan kaum dan agama di mana sahaja. Namun, ia tidak melepasi emosi dan sanubari masing-masing.
SUSUT NILAI
Oleh itu, tidak hairan kedengaran cetusan perasaan yang tidak rahmah mesra, bukan sahaja dalam kalangan rakyat yang terus menderita, tetapi sesama para pemimpin juga.
Termasuklah debat di Parlimen sekalipun di mana suara lantang mengatasi satu sama lain dalam mengutarakan keluhan kumpulan marhaen dan tersisih. Kadangkala lebih kuat tekak dari benak!
Masing-masing cuba menjadi juara dengan bersaing sesama sendiri. Tidak langsung beramah mesra untuk membina kerjasama bagi kepentingan semua demi RLA kerana rahmahnya telah ditunggang terbalikkan.
Dengan kata lain, nilai dan makna asal ‘rahmah’ telah mulai susut atau disusutkan. Rahmah mesra, misalnya, jelas tidak terangkum dalam konsep Payung Rahmah kementerian berkenaan.
Begitu tindakan rahmah dan sebagainya kerana tiada terkesan ekonomi, walaupun amat perlu dalam menangani hidup apalagi mereka yang paling terkesan kesihatannya akibat sisa-sisa pandemik yang lampau seperti long Covid. Tidak terhad pada mana-mana huruf dan angka – B40 dan miskin tegar sahaja.
Di sinilah dirasakan skema konsep Payung Rahmah mempunyai kelemahannya tersendiri. Seperti yang ternyata pelbagai bungkusan sedia terarah kepada unsur ekonomi dan kebendaan yang amat berjangka singkat walaupun diakui mempunyai kesan tertentu.
Pun begitu, memandangkan himpitan ekonomi serta kewangan dunia berkadar panjang, pendekatan rahmah tumpuan ekonomi sahaja tiada jaminan akan membawa apa-apa penyelesaian yang sempurna.
Selagi aspek bermesra secara jujur, bekerjasama secara spontan, berganding bahu dengan rapat sesama insan tidak terlaksana, selagi itu juga derita membumi. Yakni rahmah sebagai faktor penunjuk ekonomi dan mengetepikan ataupun memisahkannya dengan nilai rahmah manusiawi sejati. Acahan langkah ini tidak akan membawa kesan menyeluruh yang bersatu padu.
Ia lebih kepada suatu slogan politik yang ‘cerdik’, namun tidak utuh dan beretika! Lebih teruk lagi tatkala kefahaman ‘rahmah’ berat ekonomi serentak ketandusan roh dan nilai rohani, moral serta etika selaras tuntutan agama.
Kepada yang tidak arif dan peka pada pandangan alam Islam, akan timbul nanti bahan atau makanan tidak halal yang dikena label rahmah kerana harganya berpatutan untuk menyara kos sara hidup seperti yang diuar-uarkan kementerian berkenaan.
Natijahnya, sedangkan label halal yang dikawal rapi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih boleh diselewengkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atau dangkal, apatah lagi konsep Payung Rahmah yang lebih terbuka kepada semua, tanpa banyak usul periksa.
Paling malang apabila istilah murni ‘rahmah’ ternoda sepertimana berlaku kepada istilah ‘khalwat’ yang kini pupus erti asal dan perlakuan murninya sehingga hari ini. Kita harus belajar tidak mengulangi kealpaan lalu dengan lebih tegas dalam mengungkapkan memaknakan ‘rahmah’ sebenarnya sebelum terbabas! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











