‘Jangan tembak kaki sendiri’

‘Jangan tembak kaki sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU yang perlu diambil iktibar dari keputusan pemilihan UMNO 2023 baru-baru ini adalah ahli-ahli parti jangan ‘tembak kaki sendiri.’

Maksudnya, jangan memburuk-burukkan parti tatkala lambang yang dibawa untuk memenangkan empunya diri dalam pilihan raya ialah bendera parti. Pelik bukan? Bagaimana calon sebuah parti itu bertanding untuk menang, tetapi beria-ia pula dia mengatakan partinya sendiri ‘sesat.’

Malangnya bukan sahaja diri sendiri kecundang, rakan-rakan yang lain membawa sepanduk parti diburukkan olehnya pun terkena tempias atau gelombangnya.

Cuba lihat parti-parti pesaing lain, adakah kalangan calon mereka perlekehkan parti mereka sendiri? Kalau ada pun mungkin sebelum pilihan raya, yakni kritikan membina, namun tidak sama sekali apabila masuk berkempen dalam gelanggang pilihan raya.

Apabila membantai parti sendiri, lawannya di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tidak perlu banyak bekerja keras. Barangkali tersenyum simpul kerana kempen untuk menang sudah dibantu pencabarnya sendiri.

Sentimen itulah yang dirasai dari hasil pemilihan UMNO baru-baru ini dari peringkat perebutan jawatan di cawangan, bahagian, majlis kerja tertinggi (MKT) dan naib-naib presiden.

Majoriti yang menang adalah mereka yang memperlihatkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti. Bukan kepada individu, tetapi kepada institusi kepresidenannya. Perwakilan dan ahli UMNO maklum tidak perlu mencurah minyak ke api kerana akhirnya parti yang bakal terima natijahnya.

Dan terserlah dalam persaingan jawatan MKT, mereka yang berada dalam kedudukan 25 orang yang menang adalah orang parti. Yang berada di kedudukan nombor satu jelas terang lagi bersuluh iaitu seorang yang pernah menyandang jawatan menteri tetapi sanggup melepaskan jawatan Kabinetnya demi parti. Sekali gus tindakannya itu mencetuskan bibit-bibit keruntuhan kerajaan diketuai PM8.

BUMI DIPIJAK, LANGIT DIJUNJUNG

Itulah pengertian sebenar orang yang berparti. Mereka tidak lupa asal usulnya. Tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sudah tentu agak malang bila mana seorang yang tampak berpotensi dan kelihatan berkaliber sebagai pemimpin masa depan namun ada kekurangan yang disifatkan besar dalam berpolitik, iaitu sahsiah diri.

Segelintir individu ini hanya memikir kejayaan diri sendiri, sehingga pakai hemoi dan membuta-tuli dalam tindak tanduk dan pertuturan. Sedangkan perlu diterangkum rapi dalam diri ahli politik itu peningkatan kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) yang barangkali terabai selama ini dalam mengasuhnya sebagai insan seimbang, bukan sekadar modal insan.

Dan bukan bermakna seorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua mereka yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak? Tidaklah begitu seratus peratus. Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini.

Barisan kepimpinan UMNO 2023-2026 mempunyai tanggungjawab besar untuk menguatkan kembali parti.Formulanya sudah pasti dari aspek khidmat, musyawarah dan kesungguhan mematuhi semangat Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

Menjadi cabaran kira-kira tiga juta ahli UMNO dan semua pemimpinnya menginsafi ada dalam kalangan mereka ‘terleka’ meninggalkan tuntutan perjuangan parti. Latihan menghayati Fasal 3 ini dikatakan dalam keadaan sambil lewa atau dalam peribahasa, terpijak pergi terlanda pulang.

Cabaran bagi pimpinan dan generasi muda parti ialah memahami sebenarnya ungkapan dan amali ‘UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.’

Keenam-enam tiang seri perjuangan dalam Fasal 3 harus dipampangkan, diajarkan dan diamalkan.

SUSAH SENANG BERSAMA

Bersetia bermakna mesti pegang kepada petua bersatu. Presiden, timbalan presiden serta naib-naib presiden harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti.

Mesti balik kepada kebijaksanaan perumpamaan, jarum bila menusuk ia menaub, bukan seperti gunting bila ke depan ia memotong.

Hidup harus ikhlas. Jangan sesekali mengkhianati parti yang selama ini banyak berjasa dan berbakti. Kalau benar-benar ikhlas, kita tidak akan burukkan parti sendiri. Tiru macam parti bukan Melayu, ada dengar kisah-kisah begini?

Kesetiaan kepada parti bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Jangan lari dari medan perang seperti terjadi selepas PRU 2018 atau lupa asal usul parti dan perjuangannya sebagaimana disaksikan trend lompat parti ‘Langkah Sheraton’ dan selepasnya.

Setia kepada parti bukan hanya ketika senang. Tapi kesetiaan itu setiap masa. Sehingga sepanjang liku-liku perjuangan – ketika suka dan duka, ketika susah dan senang.

Kata orang, lebih baik menghadapi musuh yang ‘lampunya terang benderang’ daripada mengendali musuh dalam selimut.

Tangani sosok oportunis ‘baru sedar parti penting’ ini dengan cermat. Jangan jatuh dalam lubang ular yang sama.

Selepas pemilihan parti, barisan kepimpinan UMNO 2023-2026 berhadapan tugas paling getir bertarung dalam enam pilihan raya negeri (PRN) dijadualkan berlangsung tiga bulan lagi.

Fasa PRN inilah yang akan memuktamadkan apa sahaja keabsahan terhadap UMNO apabila kebolehpercayaan dan kewibawaan parti dibawa ke undian rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN