Alangkah memalukan! - Utusan Malaysia

Alangkah memalukan!

BERSATU dijadikan benteng cogan dan amalan pada zaman dahulu untuk mengekalkan keamanan serta ketenteraman. – GAMBAR HIASAN/ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kanak-kanak lagi, saya sering diingatkan akan pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Khususnya apabila melangkah masuk ke sekolah bersama rakan berlainan bangsa serta keturunan dan budaya. Jata negara membawa slogan Bersekutu Bertambah Mutu dalam tulisan Jawi sentiasa mengulangi keadaan sebenarnya. Tiada siapa mempertikaikan.

Semuanya akur dan patuh sementara hubungan antara kaum di sekolah cukup mesra sebagai warganegara tercinta. Hidup bertolak ansur dan rukun damai. Istilah toleransi tidak diperlukan kerana sudah menjadi amalan melalui pendidikan. Begitu juga Rukun Negara. Semua berjalan dengan licin dan lincah. Persekitaran sekolah kebangsaan dapat menghidupkan suasana nyaman lagi sejahtera bagi semua.

Boleh berjenaka rentas kaum dan budaya dalam gelak ketawa yang menghiburkan semua. Tidak peka menggila, faham batasan adab dan resam. Malah, sebaliknya kelangsungan ini terus mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri. Kalau adapun salah faham, ia terpulih dengan sendiri hasil desakan persekitaran sekolah yang mampu mencari penyelesaian kerana para gurunya juga sedar akan tugas tulen serta amanahnya.

Bersatu kita teguh sering benar-benar dirasai dan diteladani daripada mereka yang lebih matang dan bertanggungjawab. Kerana mereka pun telah melalui pengalaman serupa semasa muda. Dan mampu dilebarkan.

Apatah lagi para pemimpin serta ketua yang cukup prihatin serta berwibawa. Mereka berjiwa kebangsaan terlebih dahulu dengan maksud kepentingan teramai mendahului kelompok. Lencana parti kerajaan ketika itu, kapal layar mencerita segalanya.

Suatu pelayaran setia bersama – satu arah, satu angkatan. Bersatu! Malah, kumpulan terbesar dalam kerajaan terdiri daripada pertubuhan yang ada nama Bersatu padanya! Bersih, berhemat, setia. Tidak ada yang mempersoalkan itu dan ini.

Lantas menuntut kemerdekaan atas pegangan bersatu kita teguh. Betapa tidak kerana ia berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan yang asyik memecah belah. Memporak-perandakan supaya dapat terus menjajah. Bersatu dijadikan benteng cogan dan amalan bermula dari sekolah, rela bertolak ansur dan tolong-menolong untuk mengekalkan keamanan serta ketenteraman.

Bersatu padu dalam menzahirkan negara merdeka. Keyakinan meningkat apabila ada kerjasama, seia sekata. Hala tuju pelayaran bertambah jelas dan deras kerana ayuh bersatu. Ini merupakan pengalaman teruji berdekad-dekad lamanya.

Semasa saya ke universiti, ‘bersatu’ masih hidup segar. Walaupun 13 Mei 1969 masih menghantui tetapi ia membawa natijah yang amat jelas sebagai musibah apabila sudah bercerai-berai. Terus roboh! Malah bukan sahaja antara kaum tetapi sesama rumpun. Hatta, bersatu wajar bermula dengan yang terdekat jika ia hendak kekal berkesan. Keluarga, jiran, masyarakat, negara dan dunia.

Jika tidak, sepertimana penjajah, anasir-anasir lain dalam kalangan sendiri akan mengambil kesempatan. Khususnya yang gila kuasa, pangkat dan nama. Rasuah dan tipu daya menjadi alat pelincir. Pengaruh boleh dijual beli dengan mudah. Maka, bersatu mulai retak seribu. Hari demi hari keretakan menjadi lebih nyata.

MENGADU DOMBA

Rasa malu menjadi hampas dan terpencil. Hilang pedoman. Timbul kegusaran tatkala hala tuju perjuangan tidak lagi jelas. Tidak lagi bersatu arah. Terimbau sebuah filem lama tontonan semasa remaja, Mutiny on the Bounty (1962). Lakonan bintang hebat, Marlon Brando sebagai watak utama.

Mengisahkan kemelut antara nakhoda kapal Inggeris bernama Bounty dengan anak-anak kapalnya. Angkara kecuaian pelbagai skandal serta kerakusan ketua bebal tidak berhati perut dalam tata tadbir pelayaran.

Kesudahannya bahtera bercerai-berai, tidak lagi bersatu. Akhirnya musnah dibakar di pesisiran Tahiti dalam satu adegan penuh tragedi. Suatu kiasan cukup bermakna bagi sesiapa yang ingin berfikir dan bermuhasabah dengan jujur.

Lebih malang lagi, belum sempat lakonan tempatan ala pemberontakan dalam filem itu melabuhkan tirai, satu lagi drama yang berkait dengan kata ‘Bersatu’ muncul tiba-tiba. Terheret dalam satu lagi kancah rasuah dan salah guna kuasa mengikut siasatan dan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Antara mereka yang terlibat adalah bekas anggota ‘Bersatu’ terdahulu. Meskipun pelbagai penafian dikeluarkan setakat ini, kesannya ke atas kecelaruan maksud pepatah, bersatu kita teguh terus berkeladak.

Apa yang semakin nyata adalah kegemaran mengadu domba. Nampaknya, cakap tidak serupa bikin, bak ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari? Betapa memalukan selepas begitu lama berjuang membina negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah atas amanah dan kesatuan bersama, tiba-tiba semuanya mula dirobohkan kerana bergantung kepada pagar yang memakan padi.

Petah bercakap, tetapi kurang cerdik bertindak untuk kekal bersatu. Malah, rela memusnahkan kesatuan untuk matlamat sempit masing-masing. Agak sumbang berbanding amalan orang tua-tua dahulu kala, biar mati anak, jangan mati adat. Kini tidak ubah, sebaliknya amat mengelirukan. Lebih-lebih lagi sebagai institusi yang diamanahkan untuk mendidik supaya hidup bersatu padu.

Ketandusan contoh semasa yang baik untuk menzahirkan sedalam-dalamnya erti bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Yang menonjol adalah contoh mengadu domba akibat kemerosotan bersatu nilai, budi, adab dan moral merentasi semua peringkat dan pelosok. Alangkah memalukan buat serumpun yang menang sorak, negara tergadai. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×