Undang-undang dan Cosplay di negara ini - Utusan Malaysia

Undang-undang dan Cosplay di negara ini

Gambar media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTILAH Cosplay adalah daripada perkataan Inggeris iaitu costume play yang bermakna pertunjukan kostum. Istilah ini diperkenalkan oleh Nobuyuki Takahashi semasa menghadiri Konvensyen Dunia Sains di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1984.
Cosplay ini merupakan satu persembahan yang mana peserta mengenakan kostum dan aksesori watak-watak daripada filem, komik atau pun idea sendiri. Aktiviti cosplay mengubah orang biasa menjadi watak dalam dunia khayalan, memberi peluang kepada mereka untuk menerokai pelbagai identiti dan personaliti.
Cosplay mula bertapak di Malaysia sejak 2002. Ia mula mendapat tarikan di Malaysia apabila acara anime yang dipanggil Comic fiesta pertama kali dianjurkan pada 2002, sekali gus menjadi konvensyen ACG yang paling lama dijalankan di Malaysia. Pakaian atau kostum itu adalah perkara yang sangat penting dalam meniru watak-watak yang diminati.
Jika pakaian watak pahlawan di dalam satu komik yang membawa senjata seperti kapak, pistol atau pedang maka peserta juga akan berpakaian yang sama di samping senjata-senjata yang sama rupa bentuknya.
Aksesori yang digunakan oleh watak- watak cosplay ini ada diantaranya terdiri daripada senjata api yang menyerupai dengan senjata yang digunakan oleh watak itu atau pun pedang atau senjata tajam yang menyerupai senjata watak yang mereka tiru itu.
Kita boleh membahagikan tiga kategori aksesori di dalam sesuatu cosplay:
Senjata api tiruan
Pisau Pedang dan senjata tajam seumpamanya
Pakaian
SENJATA API TIRUAN
Senjata api tiruan yang digunakan terikat dengan undang-undang Akta Sen­jata 1960.
Apakah yang dimaksudkan dengan senjata tiruan di bawah Seksyen 2 akta ini?
Senjata tiruan ertinya apa-apa yang berupa atau dicadang untuk memberi sangkaan sebagai suatu senjata sama ada atau tidak melepaskan sesuatu letusan, peluru, bedilan, cecair berbahaya, gas atau lain-lain.
Sebagaimana yang kita selalu lihat banyak senjata tiruan ini dijual di kedai mainan seperti pistol air atau pistol yang boleh menembak dengan peluru plastik atau letusan. Jadi, adakah ia menjadi kesalahan di bawah Akta Senjata?
Di bawah Seksyen 36, seseorang itu boleh disabitkan dan dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimana pula dengan senjata tiruan ini digunakan oleh kanak-kanak untuk bermain dan adakah mereka boleh disabitkan dengan kesalahan ini? Seksyen 36 (a) Akta Senjata 1960 menyatakan tidak menjadi kesalahan bagi kanak-kanak di bawah 14 tahun memiliki senjata tiruan ini.
Bagaimana pula jika seseorang itu mengubah senjata tiruan itu, contohnya daripada melepaskan peluru plastik diganti dengan peluru asli atau guli besi?
Seksyen 39 Akta sama melarang perkara ini dan meletakkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Jadi, bagaimana pula penggunaan senjata seperti pedang palsu, lembing palsu atau pisau palsu dalam menjiwai watak cosplay?
Undang-undang yang melibatkan jenis senjata tajam dikawal oleh Akta bahan Kikisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Seksyen 6 di dalam Akta ini melarang membawa apa-apa senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran atau dengan maksud yang sah melakukan kebenaran.
Hukuman bagi kesalahan ini merupakan satu hukuman yang agak tinggi iaitu penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan disebat.
SENJATA BERBAHAYA
Apakah yang dimaksudkan dengan senjata berbahaya?
Seksyen 2 menyatakan seperti berikut senjata berbahaya termasuklah apa-apa alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kecederaan.
Di bawah Seksyen 7 pula hukuman bagi senjata berjadual sebagaimana Jadual 2 di bawah Akta ini adalah hampir sama hukumannya namun tiada hukuman- sebatan boleh dikenakan.
Senjata yang berjadual adalah termasuk pisau, keris, tombak, parang, kapak yang lazimnya tidak digunakan di kebun dan lain-lain lagi seperti buku lima, pedang samurai dan sebagainya.
Maka senjata tajam bolehlah diperbuat daripada kertas atau kadbod bagi mengelakkan daripada melakukan kesalahan jenayah sebagai mana peruntukan di atas.
Dan dalam penggunaan kostum ada juga larangan penggunaan kostum terutama pakaian seragam tentera atau polis.
Contohnya, Akta Polis Seksyen 89 melarang memiliki, membuat, menjual dan membekalkan secara haram seragam polis tanpa kebenaran.
Seksyen 140 Kanun Keseksaan menyatakan sesiapa yang bukan askar, kelasi atau juruterbang dalam perkhidmatan tentera, memakai pakaian atau membawa apa-apa tanda menyamai seorang askar, dengan niat menyamar askar boleh dihukum tiga bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) pula menggariskan satu kesalahan iaitu mereka yang memiliki secara haram barang kepunyaan askar atau polis boleh dikenakan denda tidak lebih RM50 atau tidak lebih enam minggu penjara atau kedua-duanya sekali.
Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Seksyen 9. (1) pula menyebut penggunaan atau pemakaian tanpa kuasa yang sah uniform tentera atau polis atau apa yang seumpamanya hingga mampu memperdaya, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, boleh dikenakan.
Walaupun cosplay adalah satu hobi dan aktiviti seka­dar hiburan, pengguna harus sedar segala perkara yang mereka lakukan perlu menurut undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini demi ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya