PRN: Seerat mana kerjasama BN-PH? - Utusan Malaysia

PRN: Seerat mana kerjasama BN-PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA suhu politik negara akan kembali panas menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka diadakan Jun nanti.

Walaupun tarikh tepatnya masih menjadi tanda tanya, namun bahang PRN sudah mula membara. Ada yang bertanya saya, adakah keputusan PRN ini nanti akan mengubah kedudukan Kerajaan Persekutuan?

Sudah tentu tidak kerana tujuan PRN diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan negeri, manakala kedudukan Kerajaan Persekutuan ditentukan oleh bilangan ahli Parlimen.

Namun, kejayaan dalam PRN adalah penting bagi menguatkan kuasa parti, termasuk dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Persoalan seterusnya, adakah keenam-enam PRN ini mesti diadakan secara serentak atau secara berasingan mengikut parti memerintah?

Tarikh mengadakan PRN adalah bergantung kepada pucuk pimpinan parti masing-masing. Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu diterajui Perikatan Nasional (PN).Bagaimanapun, dalam pertemuan pemimpin negeri-negeri terlibat Rabu lalu, mereka bersepakat untuk mengadakan PRN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini.

Sebagai rakyat, kita menyeru semua pihak tidak hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan orang ramai. PRN berasingan bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi juga melibatkan kos jauh lebih tinggi. Ini belum mengambil kira masa dan tenaga terbuang kerana kempen pilihan raya serta perbelanjaan untuk berkempen.

Pemimpin politik mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Bukankah itu janji mereka ketika memancing undi? Ada yang berpendapat bahawa terdapat pihak yang mahukan PRN dilambat-lambatkan, selewat boleh.

Secara logik, tiada parti yang bertanding mahu kalah dalam pilihan raya, apalagi sehingga hilang deposit. Maka, semua pihak berkepentingan tentunya merangka strategi masing-masing untuk memenangi pilihan raya. Namun, jangan pula sampai hal ini membebankan rakyat.

Kos bagi melaksanakan sesebuah pilihan raya adalah sangat tinggi. Namun, jika kesemua PRN diadakan serentak bersama PRU, sudah tentu kos yang dikeluarkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan ini dapat dijimatkan.Justeru, untuk menganjurkan keenam-enam PRN ini, SPR memerlukan perbelanjaan tambahan yang besar, apatah lagi jika PRN yang bakal berlangsung tidak diadakan secara serentak.

SENGIT

Rakyat mengharapkan kestabilan politik agar negara dapat kembali makmur. Kita sudah bosan dengan suasana politik bercelaru dan tidak menentu. Kita tidak mahu lagi menghadapi krisis politik demi krisis politik yang akhirnya hanya akan memporak-perandakan negara.

Negara harus kuat untuk mengharungi suasana ekonomi dunia tidak menentu. Tanpa keadaan politik yang stabil, ekonomi negara tidak akan dapat diurus tadbir dengan teratur dan kita akan ketinggalan lagi dari segi pelaburan luar.

Saingan di antara parti-parti yang bertanding dalam PRN ini dijangka sangat sengit. Pergerakan politik semasa yang begitu dinamik serta pergolakan dalaman parti akan turut mempengaruhi selera pengundi khususnya pengundi atas pagar.

Akan ada parti yang mencari rakan baharu dan pemimpin parti yang berpaling tadah kerana tidak terpilih sebagai calon. Keghairahan berkempen tidak harus dijadikan sebab untuk bercakap atau bertindak sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya. Jangan sampai ada yang bertindak melampaui batas serta tidak menghormati undang-undang.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Oleh itu, kita mengharapkan semua pihak agar berkempen dengan jujur dan berhemah tinggi serta mengelakkan fitnah dan politik wang dalam apa bentuk sekalipun.

Bagi saya, amat menarik untuk kita mengkaji kesan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan PH kepada sokongan pengundi akar umbi masing-masing. Banyak faktor yang akan mempengaruhi hal ini termasuk kesetiaan serta sikap keterbukaan pengundi setia mereka dalam menerima perubahan.

Saya jangkakan kesannya ke atas pengundi yang lebih dewasa adalah berlainan berbanding kesannya ke atas pengundi muda. Adakah kali ini kita akan melihat lambakan calon-calon Bebas di kawasan-kawasan tertentu sekali lagi?

Sungguhpun setakat ini calon-calon Bebas kebanyakannya kurang menyerlah melainkan mereka yang didukung oleh parti-parti utama, namun ramai juga yang berminat untuk bertanding walaupun sedar mereka mungkin akan kehilangan deposit.

Timbul juga anggapan sebahagian daripada mereka ini ditaja oleh parti tertentu bagi memecah undi parti lawan. Para pengundi mesti membuat pilihan yang bijak dan tepat dalam memilih pemimpin dan bukannya hanya dipengaruhi oleh persepsi atau apa yang mereka tonton dan baca di media sosial semata-mata.

Tiada gunanya jika kita menang sorak, namun pada masa yang sama kampung tergadai. Parti yang bertanding pula mesti menghormati pilihan rakyat. Suka atau tidak, para pimpinan parti mesti menerima keputusan pengundi sebagaimana rakyat terpaksa menerima pemimpin bukan pilihan mereka dengan hati yang terbuka. Itulah asam garam sistem demokrasi.

Janganlah meletakkan rakyat di hujung tanduk dengan mengganggu proses penstabilan politik. Jika kita terus-menerus mengulangi kesilapan lampau, kita hanya akan menghancurkan negara.

Janganlah kerana gajah berlawan sesama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah. Kerana pemimpin bertinju sesama pemimpin, rakyat terhimpit lagi terbelah. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN