Perbankan Islam zalim?

Perbankan Islam zalim?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECENDERUNGAN kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang kini berada pada mata asas 2.75% menyebabkan ramai pelanggan perbankan Islam mengharapkan pembiayaan perumahan mereka tidak terkesan sebagaimana perbankan konvensional atas alasan perbankan Islam sepatutnya menggunakan kaedah pembayaran tetap sepanjang tempoh pembiayaan.

Namun apabila mendapati pembayaran bulanan bagi pembiayaan perumahan patuh syariah turut meningkat selari dengan kenaikan OPR, maka terdapat pandangan pembiayaan patuh syariah itu tidak patuh syariah dan tidak menepati maqasid syariah kerana kadar pembayaran bulanannya juga turun naik sebagaimana konvensional. Ada pula yang menghujahkan pembiayaan patuh syariah ini zalim dan menindas.

Sebelum menghakimi sistem perbankan Islam, suatu perkara asas perlu diiingati dalam pengenalan perbankan patuh syariah adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini tidak lagi terjerumus kepada amalan riba melalui pinjaman konvensional yang diamalkan sebelum ini.

Itulah sebabnya nama asal perbankan Islam dahulu adalah Skim Perbankan Tanpa Faedah. Menjadi obligasi utama ahli-ahli penasihat syariah pada awal kewujudan pembiayaan patuh syariah untuk membawa keluar rakyat daripada transaksi berasaskan pinjaman riba yang diharamkan kepada muamalat berdasarkan jual beli yang mengalir darinya keuntungan dihalalkan sebagaimana firman Allah yang menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Maka wujudlah ketika itu pembiayaan dengan akad jual beli di bawah kontrak Bai’ Muajjal atau Bai Bithaman Ajil (BBA) yang bermaksud jual beli dengan harga tertangguh sebagai solusi terhampir untuk mematuhi kepada larangan Allah terhadap riba.

KADAR KEUNTUNGAN TETAP

Setelah diamalkan puluhan tahun, terdapat keperluan untuk kontrak BBA tersebut dikaji semula bagi memastikan kontrak jual beli yang diamalkan oleh perbankan Islam itu adalah proses jual beli yang lebih sempurna dan tidaklah menakutkan pelanggannya.

Kenapa saya katakan ia menakutkan pelanggan, kerana pada ketika itu kontrak pembiayaan perbankan Islam menggunakan kadar keuntungan tetap yang mana jumlah keseluruhan pembayaran semula kepada bank ditetapkan kepada pelanggan dengan telus pada awal kontrak hingga jumlah pembiayaan yang ditambah dengan jumlah keuntungan itu dilihat begitu menakutkan sedangkan tanpa disedari pelanggan perbankan konvensional juga perlu membayar jumlah yang sama atau lebih pada akhir tempoh pembiayaan tetapi ia tidaklah pula dinyatakan secara jelas dari awal kontrak.

Nilai yang perlu dibayar oleh perbankan Islam untuk berlaku telus dalam aqad kontrak mereka tidaklah murah. Pada 2003 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Affin Bank Berhad lawan Zulkifli Abdullah mengejutkan komuniti perbankan Islam apabila mahkamah menyatakan jumlah harga jualan ditetapkan dalam kontrak Bai Bithaman Ajil adalah lebih menyusahkan ke atas peminjam yang kurang bernasib baik dan mahkamah menetapkan perlu ada formula jelas terhadap rebat atau ibra’ dalam dokumentasi perbankan Islam agar kadar rebat itu adalah jelas dan tidak hanya tertakluk kepada budi bicara bank.

Akur dengan penghakiman itu, institusi perbankan Islam menambah baik dokumentasi lebih mesra pelanggan tanpa mengetepikan asas-asas syariah yang diputuskan melalui pelbagai fatwa.

KADAR KEUNTUNGAN BOLEH UBAH

Setelah dikritik hebat pada sekitar tahun 2000, dek kerana ketelusan perbankan Islam untuk menetapkan harga jualan yang tetap dan selari dengan maslahah masyarakat, perbankan Islam mula memperkenalkan kaedah pembiayaan dengan kadar keuntungan boleh ubah tertakluk kepada kadar siling yang lazimnya ditetapkan pada kadar 10%. Demikianlah namanya insan.

Hari ini kadar keuntungan boleh ubah dikritik pula. Mengapa siling 10% itu wajar, kerana sekitar 1998 kadar pinjaman asas bank pernah melonjak sekitar 13%. Jadi oleh kerana pembiayaan perumahan ini lazimnya mengambil tempoh pembayaran melebihi 20 tahun, maka adalah pruden untuk institusi perbankan Islam mengambil siling yang tidak akan menyebabkan mereka jatuh bankrap hingga kemudiannya tiada lagi institusi yang boleh mengangkat perbankan Islam.

Ada bertanya mengapa perbankan Islam perlu mengambil keuntungan? Kita sedang berbicara soal institusi yang dinamakan bank yang mana tentunya perlu mendapatkan keuntungan dalam perniagaannya.

Membuat perbandingan antara koperasi perumahan di luar negara dengan perbankan Islam kita adalah tidak tepat kerana kedua-dua entiti itu mempunyai objektif penubuhan berbeza. Ada ahli ekonomi yang mengkritik perbankan Islam dan mencadangkan kewujudan pembiayaan alternatif seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina rumah dengan memberikan pembiayaan tanpa faedah atau qardhul hassan.

Oleh kerana saya adalah peguam yang menyediakan dokumentasi pembiayaan bagi SPNB, maka saya boleh mengesahkan sememangnya itu adalah antara modus operandi SPNB yang menyediakan pinjaman qardhul hassan bagi projek Rumah Mesra Rakyat. Idea untuk memperkasakan pembiayaan alternatif melalui entiti selain perbankan adalah lebih wajar berbanding mencari salah perbankan Islam. Tentunya kerajaan perlu memperkasakan pembiayaan alternatif ini agar boleh diperluaskan lagi.

MANFAAT PERBANKAN ISLAM

Selain menjadi dinding bagi mengelakkan riba, perbankan Islam sedang dan perlu terus melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan. Justeru, selain kontrak jual beli murabahah tawarruq, kontrak sewaan seperti ijarah mausufah fi zimmah juga digunakan oleh beberapa institusi perbankan Islam yang menggunakan akad sewaan yang mempunyai bayaran sewaan bulanan yang tidak tetap.

Antara elemen yang boleh dilihat dalam kontrak ijarah ini adalah pengecualian bayaran sewa pada bulan tertentu yang boleh dipertimbangkan mengikut budi bicara bank jika berlakunya keadaan luar jangka yang mewajarkan sesuatu tindakan pengecualian diberikan.

Jangan kita lupa perbankan Islam hanya mengenakan caj pembayaran lewat terhadap kerugian yang sebenarnya ditanggung dan lebihan daripadanya akan disalurkan untuk tujuan kebajikan.

Malahan mungkin ada yang tidak menyedari bahawa ada juga institusi perbankan Islam yang tidak mengenakan caj pembayaran lewat kepada pelanggan mereka.

Bagi meraikan naratif berbeza, pelbagai inisiatif boleh dibuat bagi meningkatkan kualiti pembiayaan patuh syariah selagi mana kita sedar bahawa persoalan samaa da produk perbankan itu patuh syariah atau tidak, perlu dilihat dari lensa pandang syariah dan bank adalah sebuah institusi komersial. – MINGGUAN MALAYSIA

DATUK IKBAL SALAM ialah Peguambela dan Peguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.