Beberapa insiden ketidakpatuhan terhadap etika berpakaian di premis kerajaan baru-baru ini menggambarkan masih ada anggota masyarakat yang memandang rendah dan tidak ambil peduli tentang kepentingan penampilan dan etika pemakaian di khalayak. Walaupun etika ini bukan peraturan baharu, namun isu ini terus menjadi satu polemik berpanjangan.
Antara insiden diperdebatkan baru-baru ini ialah seorang wanita mendakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam balai polis untuk membuat laporan mengenai insiden nahas jalan raya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kerana memakai seluar pendek paras paha (atas paras lutut). Dalam satu lagi kejadian, seorang wanita diarah keluar dari kawasan Parlimen kerana berpakaian tidak mematuhi kod etika iaitu memakai skirt pendek terbelah sehingga menampakkan bahagian paha kirinya.
Pada masa sama, kerajaan negeri Terengganu dilaporkan bersedia untuk menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah di negeri tersebut. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, sebelum ini mereka yang ditahan kerana berpakaian mencolok mata hanya diberi nasihat oleh penguat kuasa Majlis Agama Islam Negeri dan daerah tetapi kini sudah tiba masanya untuk menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah.
Situasi ini menunjukkan isu pakaian baik di premis kerajaan atau khalayak secara umumnya sentiasa menjadi perhatian serta mencetuskan polemik dan kontroversi. Justeru, perlu ditangani dengan penuh berhemah.
Misalnya, isu di balai polis tersebut walaupun terdapat pelbagai pandangan tetapi ia banyak tertakluk kepada budi bicara dan penilaian pegawai bertugas pada waktu itu yang membuat keputusan bergantung kepada senario serta tindak tanduk pengadu terbabit. Jadi, kita tidak boleh terlalu cepat menjatuhkan hukum tanpa meneliti situasi sebenar.
Secara umumnya, kita sudah ada kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan dan ia sudah lama diperkenalkan, malah etika berpakaian juga turut dipraktikkan di banyak negara lain antaranya Jepun, United Kingdom dan Australia. Yang menghairankan, kenapa isu ini terus dipolemikkan?
Sepatutnya anggota masyarakat jelas, tahu dan sedar kewujudan serta kepentingan pematuhan terhadap kod tersebut. Ironinya, kita perlu sedar betapa pakaian dan gaya penampilan mencerminkan diri secara peribadi. Apa yang kita pakai menggambarkan diri kita sebenarnya. Pakaian tidak berfungsi sekadar menutup tubuh badan tetapi menggambarkan sifat, adab dan tingkah laku setiap individu.
Justeru, sepatutnya kita wajar menjaga penampilan dan pemakaian sepanjang masa dan bukan di premis kerajaan semata-mata. Setiap individu perlu melihat etika penampilan jauh melangkaui sekadar mematuhinya di premis kerajaan sebaliknya jadikan itu sebagai keutamaan dalam menonjolkan keperibadian positif diri kepada orang lain dalam setiap aktiviti yang kita terlibat. Harus diingat, cara pemakaian kita juga akan memberi keyakinan kepada orang lain ketika berurusan dengan mereka.
Dalam konteks lebih besar, kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan sebenarnya selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan, selain sesuai dengan budaya berbilang kaum di negara ini.
Jujurnya, prinsip kelima ini bermatlamat untuk membentuk masyarakat Malaysia yang memiliki nilai adab, etika, akhlak serta moral yang tinggi dan terpuji dalam menghubungkan masyarakat majmuk berbilang kaum, agama dan budaya. Dalam hal ini, menghormati peraturan adalah sebahagian daripada intipati penting yang didukung oleh prinsip ini.
Pakaian juga sering dikaitkan dengan maruah individu yang turut selari dengan salah satu rukun yang menjadi tonggak pembentukan masyarakat madani, iaitu hormat yang konotasinya turut merujuk kepada maruah manusia. Kita tidak mahu menjadi negara yang hanya maju dari segi fizikal dengan bangunan pencakar langit semata-mata tetapi perlu juga seimbang dengan kemajuan dalam aspek pemikiran, adab, akhlak, budaya, gaya hidup dan pakaian seluruh warganya.
Walaupun pakaian sering dikaitkan dengan hak kebebasan individu, namun masyarakat kita perlu memberi perhatian kepada kepentingan untuk mengamalkan ciri-ciri peribadi yang terpuji dengan mengutamakan aspek kesopanan dan ketertiban dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kita berharap masyarakat dapat berfikir dengan lebih matang dan memahami tujuan etika pakaian diperkenalkan. Sedarlah ia juga selari dengan amalan dan pegangan kita sebagai masyarakat Timur yang dibanggakan sekian lama.
Hakikatnya bila kita memantau keadaan di premis kerajaan, majoriti rakyat Malaysia tiada masalah untuk mematuhi peraturan seperti ini cuma ada segelintir kecil yang sengaja cuba mencetuskan masalah dan mempolemikkan isu ini. Tuntasnya, sedarlah pakaian adalah cerminan diri yang berkait rapat dengan adab dan akhlak, justeru tiada salahnya untuk sentiasa mengamalkan etika penampilan yang terpuji.
Secara prinsipnya kita bersetuju agar kod pakaian ini boleh dilonggarkan sedikit jika ia membabitkan soal kecemasan tertakluk kepada penilaian dan budi bicara pegawai di lokasi, tetapi jangan pula ada yang ambil kesempatan menggunakan alasan tersebut sepanjang masa.
Tiada keperluan juga untuk kita menyemak semula atau mengubah peraturan sedia ada hanya kerana segelintir yang tidak berpuas hati, sebaliknya boleh dilaksanakan pelbagai inisiatif tambahan seperti Kempen Budaya Berpakaian Sopan untuk meningkatkan tahap kesedaran anggota masyarakat tentang kepentingan etika penampilan secara keseluruhannya. Ingat, apa yang kita pakai akan menjadi cerminan keperibadian diri kita sendiri. –UTUSAN
Penulis ialah Pentadbir Universiti dan Penganalisis Isu Semasa











