DUAN Nago Bogho filem gengster? Filem makyung? Filem orang Kelantan? Nanti dahulu. Sebenarnya filem arahan Sabri Yunus ini sebuah karya mengenai manusia, seni dan keterlibatan seni dalam menentu arah pekerti dan susila. Duan Nago Bogho filem untuk semua sekalipun mengenai orang Kelantan dan seni yang lestari di negeri itu.
Filem ini menyentuh mengenai manusia yang dipandu kompas seni dan sebati dengan hidupnya. Memahami seni sebenar adalah relung yang jernih – sukar tergelincir dari landasan agama, sosial dan moral.
Hal ini membuktikan yang seni itu sebenar tidak bebas, sebaliknya lebih ketat dilingkari tataetika. Tentulah paksinya agama, budaya dan moral sejagat. Lesen kreatif bukan kuasa untuk melanggar apa yang bertentangan dengan nilai-nilai disebutkan tadi.
Seni sebenarnya mempertajamkan rasa untuk lebih mengerti akan dirinya, juga memahami nasib dan takdir yang tidak serupa di bahu orang lain. Menakluki rasa yang seni itu adalah pencarian, biarpun ia ada kepada setiap manusia. Tinggi dan rendah, nipis dan tebal pencarian itu yang membezakan antara satu dengan lain.
Pada keadaan lain, seni sentiasa menyalakan kemanusiaan, membentang ruang untuk turut berbahagi rasa nasib dan takdir yang sering tidak sama antara satu dengan lain. Maka, rasa seni yang ada pada setiap diri mesti dinyalakan supaya nikmati cahaya sampai terus ke dalam jiwa.
Filem ini diterbitkan oleh Kalamariff Holdings Sdn. Bhd., dihidupkan oleh Asrul Faizal, Datuk Rosyam Nor, Sabri, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Angeline Tan, Jason Chong, Husair Hussain, Saidi Sabri dan Issey Fazlisham.
Memang ada filem yang memerikan dunia seni, akan tetapi sekadar menyapu sisi luaran dan terpisah dengan realiti masyarakat. Sebaliknya lebih memperagakan kemilau berbanding menyusuri makna seni hingga ke dasar jiwa. Maka, terpantul itu tidak menunjukkan seni itu suatu yang terhubung dan bertimbal balik dengan manusia seluruhnya.
Peribadi watak Duan (lakonan Asrul), seorang peran muda makyung dibentuk oleh seni. Sekalipun seni bertarung dan makyung kata Duan, seperti ‘wajib dan sunat’, akan tetapi kedua-dua seimbang. Anak muda hebat seni bertarung itu bukan samseng melulu.
Pada adegan awal, Sabri menghubungkan dunia seni yang diwakili makyung di atas pentas dengan realiti sosial di depan pentas. Kedua-duanya bertimbal balik, antara realiti dan pantulannya dengan seni makyung. Saling berhubungan antara satu dengan lain.
Duan menghayati makyung dalam keadaan sedar. Dia sedar akan ruang dan masa. Kerana sedar, dia peduli apabila seorang isteri dicabul lelaki biadab di depan pentas. Duan keluar dari alam makyung dan masuk dalam realiti di depan pentas.
Dia menyatakan pedulinya terhadap penindasan itu. Lelaki kampung yang mencetus kekecohan di depan pentas dibelasahnya dengan teruk. Ini menunjukkan Duan bukan ‘orang seni’ yang mengasingkan diri dengan masyarakat.

SIHIR
Akan tetapi sentiasa berada di tengah realiti sosial. Babak ini adalah satu penegasan tentang hubungan seni dan manusia yang membentuk Duan yang seorang peduli akan realiti di sekitar sosialnya.
Kepedulian itu satu amanah. Hal ini sekali lagi ditunjukkan apabila Duan menyatakan tanggungjawab melindungi Nancy (lakonan Goh) daripada kepala gengster, Fendi Bukit Bintang (lakonan Rosyam). Kepedulian Duan dibentuk oleh seni yang sebati dengan hidupnya.
Duan tidak lebur dengan sihir kebendaan di kota yang semuanya disukat dengan ringgit dan sen. Hidupnya untuk makyung dan menolak pelawaan Pok Su Ki (lakonan Sabri) menjadi pengawal peribadi.
Jimmy Ang (lakonan Lim Swee Tin) ketika memakai kecopong Pak Situng, watak raja dalam permainan menora di satu sudut di rumahnya menandakan dia kembali menjadi manusia. Semua itu selepas terbabas dengan kegiatan hitam di dunia gelap. Jimmy Ang kembali menjadi ‘manusia’ bersama-sama menora yang balik ke jiwanya.
Saya tertarik dengan sindiran tajam Sabri kepada ahli masyarakat yang taksub melulu kepada ketua. Pok Su Ki sangat dihormati sebagai ketua orang Kelantan di Kuala Lumpur, masa sama dia juga bersekongkol dengan Fendi Bukit Bintang.
Bacalah semiotik (lambang) adegan kepala Pok Su Ki yang ditetak oleh pengikutnya hingga berjurai darahnya. Sabri sebenarnya menyindir sikap sesetengah orang Melayu di luar filem yang tidak berani menegur pemimpin berjuang untuk kepentingan diri.
Filem ini memperlihatkan cara berfikir Sabri sekali gus menemukan bentuk karya yang dekat dengan pengalaman personalnya. Berkarya itu adalah proses menuang kembali pengalaman, pengamatan atau sesuatu yang mengganggu fikiran dalam medium seni.
Bagaimanapun, Duan Nago Bogho juga terselit beberapa persoalan yang agak mengganggu. Antaranya, Nancy yang pulang dari luar negara untuk membuat kajian mengenai makyung. Hal ini tidak ada asas yang meyakinkan, seolah-olah sekadar mencipta sebab untuk dihubungkan dengan Duan.
Nancy menjadi lebih menarik kalau tidak dipaksa terkait dengan Duan melalui penyelidikan makyung. Hal ini menjadikan ruang romantis yang dicipta ini agak mendadak. Begitu juga dengan Salmi (lakonan Krishnasamy) yang terlalu pantas terpikat kepada Duan.
Sabri perlu mencipta pendekatan lain untuk menyakinkan konflik dalam perwatakan Salmi dibangunkan dengan lebih yakin. Salmi memberikan lakonan yang baik sebagai gadis India yang meminati makyung. Akan tetapi sikap watak yang menyukai Duan begitu dan ini agak menjejaskan perwatakannya.
Keseluruhannya filem ini mempertemukan manusia yang dibezakan oleh matlamat hidup dan tinggi atau rendah pengamatan seni sebagai pencerah kehidupan. Sabri tidak membina galur naratif filem ini menjurus genre gengster.
Malah selama ini pun kita belum mempunyai filem gengster. Yang mendakwa karya mereka itu filem gengster sebenarnya hanya sekadar salinan daripada fantasi sosial Hong Kong dan Hollywood. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











