SEJAK dunia termasuk Malaysia dilanda pandemik Covid-19 tiga tahun lalu, kegusaran rakyat tentang kelangsungan hidup terutama ketika semuanya serba-serbi mahal tetap menjadi tanda tanya dan menimbulkan kerisauan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan noktah bagi segala persoalan rakyat dengan memperuntukkan 15.2 peratus atau RM59 bilion daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2023 iaitu RM388.1 bilion untuk tujuan subsidi dan bantuan sosial.
Benar kata beliau, yang belanjawan kali ini banyak tersirat berita baik untuk rakyat. Anwar yang juga Menteri Kewangan menyedari betapa rakyat madani meletakkan harapan tinggi menggunung terhadap pembentangan semula Belanjawan 2023 ini.
Yang sering kali berlegar di minda, yang terpapar di dada akhbar dan televisyen adalah bagaimana rakyat masih sengsara berdepan ketidaktentuan ekonomi sekali gus meletakkan harapan agar kerajaan dapat membantu meringankan bebanan kewangan isi rumah termasuk mengurangkan komitmen bulanan bersandarkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Pada Disember 2022, Malaysia merekodkan 434,197 ketua isi rumah (KIR) tergolong dalam kelompok miskin dan miskin tegar ketika negara terus mengalami tekanan kos sara hidup tinggi akibat inflasi.
Mereka ini mungkin isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, umur dan sebagainya. Kerana itu, kita terus mendengar desakan untuk pengeluaran sekali lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga ke hari ini.
Jika semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berhasrat memastikan Belanjawan 2023 berteraskan kesejahteraan dan kebajikan segenap lapisan masyarakat dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi tahun hadapan (tahun ini) dengan antara tumpuan utama dalam memastikan pemulihan pasca Covid-19 yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.
Beliau juga mahu memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat, kerajaan hari juga apa kurangnya apabila memperuntukkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara sekali gus ia menggambarkan kerajaan sangat serius untuk membantu melaksanakan beberapa program ekonomi bertujuan meneruskan agenda pertumbuhan juga untuk memastikan aktiviti ekonomi tidak terganggu malah digalakkan serta digiatkan lagi dengan harapan pelaburan asing terus melekat dalam negara.
Berdasarkan belanjawan ini, secara keseluruhan menggambarkan betapa kerajaan meletakkan rakyat dan ekonomi negara di tangga teratas dalam tiga bulan pertama selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Anwar banyak memberi fokus kepada perkara-perkara untuk memperbaiki isu ekonomi, pendapatan dalam kalangan rakyat dan menggalakkan pelaburan asing. Bahkan dalam hampir 100 hari kepimpinannya, Perdana Menteri ke-10 itu terus bekerja untuk memperbaiki ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
INISIATIF LAIN
Pun begitu, Mazlan berharap kerajaan mempunyai inisiatif lain seperti lebih banyak subsidi bersasar bagi mereka yang memerlukan. “Kerajaan juga disaran memberi inisiatif lain termasuk inisiatif tidak langsung terus kepada rakyat yang layak terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” sarannya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berpandangan, belanjawan kali ini dilihat dapat membantu rakyat terutama yang terkesan tanpa perlu pengeluaran KWSP.
Baginya, pengeluaran KWSP bukanlah satu penyelesaian terbaik sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang. Ini kerana ada kes wang yang dikeluarkan disalahgunakan.
Oleh itu, Abu Sofian menyokong kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP lagi ekoran terdapat pelbagai inisiatif lain bagi meringankan bebanan rakyat seperti Menu Rahmah dan subsidi bahan petrol bersasar.
“Saya percaya akan ada lagi inisiatif lain yang akan kerajaan perkenalkan untuk menstabilkan harga dan kemungkinan dapat menurunkan harga barangan keperluan selepas belanjawan ini. Walaupun bagaimanapun, ia memerlukan masa dan kerjasama daripada semua agensi kerajaan.
“Saya juga percaya kerajaan sudah ada perancangan dan akan melaksanakan secara serentak mengikut agensi-agensi yang terlibat. Kita tunggu dan lihat,” jelasnya. Malah Abu Sofian turut menjangkakan kerajaan akan menjalankan beberapa inisiatif lain bagi mengekang kenaikan harga barangan dan kos kehidupan.
Ini mungkin termasuk memberi subsidi yuran prasekolah, memberi diskaun untuk transit, memberi inisiatif dalam sektor pertanian, bantuan dalam sektor pendidikan, mudah cara dan pinjaman kepada peniaga-peniaga baharu selain menangguhkan kenaikan OPR dalam masa terdekat ini.
“Peruntukan 15.2 peratus adalah anggaran perbelanjaan tetapi sekiranya inisiatif dan bantuan ini dapat memanfaatkan ramai rakyat, saya berpendapat peruntukan itu akan dinaikkan atau ditambah di masa hadapan.
“Ia bukan sesuatu yang muktamad kerana belanjawan adalah suatu unjuran dan ia boleh dikurangkan atau dinaikkan bergantung kepada pelaksanaanya nanti,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











