Seriuskah UMNO menebus keyakinan? - Utusan Malaysia

Seriuskah UMNO menebus keyakinan?

CABARAN besar yang perlu dipikul oleh seluruh pendukung UMNO tidak kira di mana peringkat adalah untuk memperkasakan semula parti itu. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG rakan penulis berbangsa Tionghoa yang saya ringkaskan namanya sebagai Mr. RT, semasa berbual-bual di sebuah Coffee House di ibu negara berkata, “Sebenarnya UMNO perlu mendominasi pemerintahan negara.

“Tidak ada pilihan tepat selain memberi laluan kepada parti yang merintis perjuangan memerdekakan tanah air itu mengepalai pemerintahan. Bukan sedikit jasanya kepada rakyat meliputi semua kaum. Sebetulnya UMNO tetap bertunjang gagah dan berupaya.”

Terkedu penulis seketika mendengar kata-katanya. Ini cerita benar dan bukan rekaan. Dengan bahasa yang indah, Mr. RT menuturkan secara bersahaja apabila topik perbualan kami berkisar kepada suasana politik semasa negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menariknya juga, katanya, UMNO bukan sebuah parti bertaraf kontemporari. Bagaimanapun, perjuangannya jelas dan terbukti berkesan. Justeru, kata beliau, UMNO perlu diperkasakan semula. Inilah cabaran besar yang perlu dipikul oleh seluruh pendukung UMNO tidak kira di mana peringkat.

Lebih menarik lagi, dia menambah, UMNO tidak wajar rebah di bumi Malaysia. Seluruh rakyat, terutama orang Melayu perlu menghargai perjuangan UMNO, termasuk melalui episod melawan Malayan Union.

Konsep ciptaan penjajah itu berjaya ditolak oleh pejuang-pejuang UMNO sehingga tanah air ini dapat ditadbir urus secara aman, tanpa timbul kegelisahan dan terganggu perasaan.

Ini terutama membabitkan soal hak-hak asas, termasuk kedaulatan Raja-Raja Melayu, keistimewaan kedudukan orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu yang sudah berada dalam acuannya tersendiri.

Menyambung kata-katanya, Mr. RT secara terbuka berkata, tanggungjawab besar untuk UMNO mengembalikan semula keyakinan umum terhadap parti itu ialah dengan memberi jawapan yang tepat kepada persoalan, “Kenapa masyarakat, terutama orang Melayu perlu memilih UMNO? Apa yang betul dan apa yang palsu tentang UMNO, tentang isu-isu yang berlegar mengenai UMNO?”

Kata beliau, kegagalan memberi jawapan inilah juga yang membuatkan UMNO seolah-olah diketepikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Mesej utama yang ingin dibawakan di sini ialah betapa UMNO tetap merupakan sebuah parti yang relevan untuk rakyat Malaysia. Kalau seorang bukan Melayu yang berusia sekitar 40-an boleh menyusun kata-kata begitu kemas dan yakin terhadap UMNO, kenapa tidak orang-orang Melayu?

Patutkah sebagai sebuah parti hebat dan berjasa besar sebagaimana digambarkan oleh rakan penulis tadi kini diperlekeh, dicemuh dan semacam sengaja diturunkan nilai ‘harganya’ begitu ketara?

Sementara itu, seorang pemuda berusia sekitar 30-an yang sudah berjaya dalam kariernya dalam bidang kejuruteraan pesawat, apabila diajukan cerita tentang UMNO sebagai sebuah parti yang memiliki pelbagai keistimewaan tersendiri dalam persada politik tanah air dan memang wajar disokong oleh golongan bersilih generasi.

PERSEPSI

Beliau terus menjawab, “Itulah silapnya UMNO, sentiasa bercagarkan latar belakang keistimewaan yang ada, tetapi tidak pernah terfikir bahawa generasi muda melihat mereka bersikap mengambil mudah, seolah-olah buat apa pun boleh diterima termasuk salah laku dan tindak-tanduk yang tidak menyenangkan.”

Suara anak muda itu perlu diterima dengan hati terbuka. Carilah makna di sebalik kata-kata yang diluahkan itu. Gambaran yang diberi, bahawa mereka mengakui di mana duduknya UMNO, tetapi dalam masa sama mereka tidak dapat menerima sebarang hal yang dirasa ‘tidak kena’ berada dalam UMNO. Berilah jawapan yang boleh merungkai persepsi dan andaian mereka!

UMNO perlu mengakui bahawa pengabaian parti itu untuk memberi gambaran kebaikan dan gagal menangkis segala persepsi dan dakwaan umum terhadapnya, merupakan faktor utama kenapa parti itu kelihatan semakin ‘ditolak’ masyarakat. Menerima kenyataan adalah suatu jalan penyelesaian.

Tangani punca sebenar secara jujur dan berterus-terang. Sebaliknya, menyembunyikan sebarang fakta atau sekadar menguntai alasan hanya mampu menutup pekung bersifat sementara.

Masa tidak pernah terlewat membaiki keadaan. Nyatakan kepada umum, banyak lagi kekuatan dan keupayaan masih berbaki pada UMNO. Perlu diyakinkan kepada umum, parti itu memiliki ramai tokoh-tokoh utama yang berkarisma dan berwibawa untuk menerajui dan mengurus tadbir negara. Ramai di antara mereka berupaya merangka, merancang dan melaksanakan dasar untuk kebaikan rakyat dan negara.

Sebahagian dari apa yang didengar dari peringkat akar umbi, mereka meletakkan kelemahan UMNO pada beberapa faktor tertentu. Antaranya, UMNO tidak begitu ‘mesra alam’, kurang mendampingi masyarakat terutama para pendamping, yakni mereka yang ada pengaruh dalam masyarakat.

Dikatakan juga, UMNO tidak menjawab secara serius persoalan negatif yang berbangkit mengenainya. Dan satu punca besar kelemahan UMNO ialah gagal membendung pertelagahan dalaman secara terbuka dalam kalangan sesama ahli, dalam kalangan pemimpin serta ditambah pula dengan serangan berterusan daripada kalangan mereka yang sudah dipinggir dan diketepikan oleh parti.

Untuk jangka panjang, ada yang menyuarakan cadangan supaya menghidupkan semula institusi-institusi yang boleh membina semangat jati diri bangsa. Ini memandangkan sudah tidak ada lagi badan-badan seperti Biro Tata Negara (BTN), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Berjuang, jangan berhenti kerana penat, tetapi berhenti apabila tercapai segala matlamat! – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×