Presiden Pas benarkah, menangkah?

Presiden Pas benarkah, menangkah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMKA dalam pendapat pujangganya menyatakan ‘jika burung boleh dikenal dengan bunyinya, manusia dikenal dengan ucapannya.’

Apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia suatu sedekah, agak sukar sebahagian besar orang menerima penjelasan itu.

Mana mungkin perkara itu boleh dibenarkan dalam situasi kempen ibu atau ‘segala bapak’ pilihan raya sedang berlangsung. Apatah lagi jelas sekali dari klip video yang tular memaparkan ‘akad siap sumpah menyebut supaya mengundi Pas’, lantas wang tunai diserahkan secara terbuka kepada pengundi di beranda sebuah rumah.

Mana mungkin orang awam terbabit bisa mengagihkan wang sebegitu banyak jika tidak ada penyumbangnya.

“Bukan rasuah tetapi sedekah daripada orang awam,” demikian reaksi Abdul Hadi yang orang kurang cerdik sahaja sanggup akur menerimanya. Susulan itu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15.

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, Pas menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu, iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15 dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.

Apa disebutkan Hamka di awal tadi benar. Kenyataan atau ucapan diungkapkan Abdul Hadi sebelum ini sering mencetuskan polemik dan kontroversi. Adakah lain di mulut, lain di hati? Atau cakap tak serupa bikin?

Antaranya:

1. Prinsip Pas dalam isu lompat parti. Abdul Hadi sekitar September 2015 bukan main lantang dalam soal ‘katak.’ Semasa berucap dalam program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai, Dungun, beliau mengulangi gesaannya supaya wakil rakyat Pas meletak jawatan jika menyertai parti lain termasuk Parti Amanah Negara (Amanah). Ia susulan semua calon Pas pada PRU 2013 telah melafazkan baiah bersumpah dan mereka ‘akan dilaknati Allah SWT jika melanggar baiah itu.’ Satu perkara yang bila sering ditanyakan kepada akar umbi UMNO kenapa mereka menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak dipersetujui Abdul Hadi pada layanan UMNO terhadap sekutunya itu – jawapannya tetap sama sepanjang masa:

“Kerusi-kerusi Parlimen kami (UMNO) yang menang telah ‘dicuri.’ Adakah Pas akan memaafkan pencuri kerusi mereka?”

2. Ramai perasan sebelum PRU14, Pas kata mereka begitu luhur perjuangan politiknya. Yang paling diingati di benak fikiran orang Melayu tika itu, usaha bersungguh Pas khususnya Abdul Hadi sendiri memperjuangkan habis-habisan pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen. Ia apabila Pakatan Harapan (PH) sekitar 2017 cuba menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah pindaan akta itu.

Dan Abdul Hadi bukan main dengusnya yang disifatkan beliau terhadap penentang pindaan itu sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

“Maka begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” tulis Hadi di Facebook, April 2017.

Orang Melayu bersama Abdul Hadi semasa itu kerana RUU 355 berkenaan tidak menjentik sedikit pun orang bukan Melayu. Tujuannya murni untuk memperkasakan mahkamah syariah.

Cuma sayangnya Pas selepas masuk kerajaan menyertai Perikatan Nasional (PN), tidak lagi nampak hala tuju perjuangannya. Ke bab memperjuangkan isu-isu bersangkut paut Islam, tidak tampak garangnya. RUU 355, dakwa pesaing Pas, sudah hilang dari radar Pas. Ke soal-soal berkisar membela orang Melayu pula, dalam dua tahun bersama PN, tidak ‘tertangkap’ pula dek telinga. Ke soal hal-hal kos sara hidup atau harga barang, diam membatu.

3. Prinsip berbolak-balik terhadap DAP. Bila parti Melayu lain berbaik-baik dengan DAP, habis dilanyak oleh Abdul Hadi. Padahal kerana DAP-lah juga Pas sekurang-kurangnya boleh bernafas sehingga ke hari ini.

Pada 1999, Pas menyertai Barisan Alternatif (BA) bersama dengan PPKR dan DAP. Hasil kerjasama dengan DAP dalam BA (PKR, Pas, DAP), kemenangan Pas bertambah kepada 27 pada 1999. Pada 2004 apabila DAP tidak menyertai BA, Pas memperoleh cuma tujuh kerusi. Pada 2008 dan 2013, apabila BA dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya, prestasi Pas meningkat semula. Pada 2008, Pas memenangi 23 kerusi dan pada 2013 sejumlah 21 kerusi. Yang ketara dari rekod tempoh waktu itu ialah pencapaian Pas menyusut apabila bersendirian. Tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP. Pada 1999, 2008 dan 2013,

Pas mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013. Namun, rekod Pas dalam PRU14 menunjukkan tanpa bersama DAP, Pas kuyup.

Waima apa pun bercakap pasal tindak tanduk Abdul Hadi, kita serahkan sahaja kepada mahkamah untuk memutuskan kedudukan petisyen di Marang yang difailkan oleh Ahmad tempoh hari.

Dan barangkali juga dalam isu ‘sedekah atau rasuah’, Presiden Pas itu ada hujah yang benar dan logik bakal dibangkitkannya atau saksi-saksi terbabit apabila prosiding mahkamah bermula nanti.

Bak kata Presiden Abraham Lincoln: “In view of the inability of others to fathom my style and my thinking, I propose to write up and utter my own speech” (Memandangkan ketidakupayaan orang lain memahami gaya dan pemikiran saya, maka saya menulis dan mengolah ucapan saya sendiri). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN